Tunai Umrah Setiap Tahun Tapi Membiarkan Ibubapa Dalam Keuzuran Itu Tipu Daya Syaitan

Adab dan Akhlak Jumlah paparan: 511

Barangkali saya pernah sebut kepada tuan-tuan. Kalau ada orang setiap tahun dua atau tiga kali pergi umrah. Dalam masa yang sama dia membiarkan emak dan ayah dia yang uzur dan memerlukan bantuan dia dan penjagaan dia. Sedangkan dia membiarkan emak ayah dia yang uzur itu untuk membuat umrah. Kalau sembang dengan orang, dia kata: “aku dengan Mekah dan Madinah ni, betul-betul rindu.” Rindu apa!? Syaitan yang mencampakkan rasa rindu kepada Mekah dan Madinah ke dalam hati kamu itu. Rindu kamu itu adalah rindu kepura-puraan. Kenapa begitu? Kerana bagaimana kamu boleh pulun buat umrah sunat dua atau tiga kali setahun. Sedangkan kamu meninggalkan kewajipan yang paling besar itulah berbakti kepada kedua orang tua? Kamu wajib renung semula, rindu kamu kepada Mekah dan Madinah itu apakah rindu palsu atau apa.

Sama halnya dengan golongan sufi yang menari-nari untuk berzikir. Kononnya bila kami menari-nari ketika berzikir, kami dapat khusu’. Kata Sultan ulama, Izzuddin bin Abdul Salam al-Syafie, orang sufi yang menari dan merasakan khusus dengan tarian dan paluan gendang, sebenarnya mereka tertipu dengan syaitan. Hati mereka sebenarnya terpukau dengan rentak bunyian dan tarian, bukan khusu’ kepada Allah. Inilah tipu-daya syaitan terhadap mereka, lalu mereka merasakan diri mereka khusu’.

Samalah orang yang datang ke masjid dan buat banyak masalah. Pergi buat umrah setiap tahun tetapi membiarkan emak dan ayah dia dalam keadaan kesusahan. Orang yang solat dan puasa tetapi berbuat jahat dengan jiran tetangga dan sesama orang Islam dia buat jahat. Semua mereka ini perlu muhasabah diri mereka. Kalau kita sendiri yang buat perangai begitu, maka kita kena muhasabah diri sendiri kalau nak selamat di akhirat. Itu sahaja.

Jangan bila saya sebut di sini begini, kita asyik tergambarkan orang lain. Gambarkan diri kita sendiri, sejauh mana kita melakukan amalan soleh untuk mendapatkan redha Allah atau hanya sekadar memenuhi rutin harian?

Sebab itu bab niat penting untuk dibahaskan. Tetapi bukan hanya bahas dari sudut lafaz niat. Sebaliknya berkaitan menghadirkan ingatan supaya kita melakukan setiap ibadah kerana ikhlas kepada Allah SWT. Solat yang kita lakukan, kita kena tanya, solat yang kita lakukan itu sebab apa? Kerana nak beribadat dan mendekatkan diri kepada Allah? Lalu kita hadirkan ingatan bahawa ALlah sentiasa melihat dan menghitung amalan yang kita lakukan. Ini satu perkara yang besar dan ia adalah sunnah besar yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad SAW.  

Cetak
Wallahu a'lam