Asal-Usul Syaitan Dan Perbezaan Antara Syaitan Dan Jin

Akidah Jumlah paparan: 1076

Terdapat teks al-Quran yang menyatakan dengan jelas Iblis adalah dari kalangan jin iaitulah firman ALlah SWT: 

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآدَمَ فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ كَانَ مِنَ الْجِنِّ فَفَسَقَ عَنْ أَمْرِ رَبِّهِ ۗ

maksudnya: "Dan ketikamana Kami perintahkan kepada para malaikat: sujudlah kamu semua kepada Adam, lalu kesemuanya sujud, melainkan Iblis yang merupakan dari kalangan jin, dan dia telah menderhakai perintah tuhannya." (al-Kahf: 50) 

DEmikian juga al-Quran membuktikan jin diciptakan terlebih dahulu sebelum manusia. Iaitulah berdasarkan firman ALlah SWT: 

وَالْجَانَّ خَلَقْنَاهُ مِن قَبْلُ مِن نَّارِ السَّمُومِ

maksudnya: Dan Kami telah menciptakan jin sebelum (Adam) dari api yang sangat panas. (al-Hijr: 27) 

Pada asalnya iblis makhluk yang menyembah Allah SWT. Dia tinggal di langit bersama dengan para malaikat dan memasuki syurga. Namun dia menderhakai Allah SWT ketikamana dia diperintahkan untuk sujud kepada Adam, kerana angkuh dan besar diri.

Para ulama berbeza pandangan apakah iblis itu adalah asal-usul kepada jin atau ia salah satu dari kalangan jin? 

Pandangan pertama menyatakan iblis bukan asal-usul atau moyang kepada jin. Bahkan iblis adalah salah satu dari kalangan jin. Dialah jin pertama yang ditimpa kecelakaan kerana menderhakai perintah ALlah SWT. Pandangan ini berdalilkan firman Allah SWT: 

إِلَّا إِبْلِيسَ كَانَ مِنَ الْجِنِّ

maksudnya: "melainkan Iblis yang merupakan dari kalangan jin(al-Kahf: 50) 

Kata Ibn 'Abbas RA: "al-Jaan (الجان) adalah moyang jin. mereka bukan syaitan. Syaitan adalah cucu-cicit kepada iblis." (tafsir al-Qurtubi)

Pandangan kedua mengatakan iblis adalah asal usul atau moyang kepada jin, sama ada jin yang beriman ataupun yang kafir, moyang mereka atau asal usul mereka adalah dari iblis. Ia seperti manusia sama ada yang beriman atau yang kafir, adalah anak-cucu kepada Adam AS. Kata al-Hasan al-Basri ketika memberi komentar terhadap firman Allah: 

إِلَّا إِبْلِيسَ كَانَ مِنَ الْجِنِّ

maksudnya: "melainkan Iblis yang merupakan dari kalangan jin", kata beliau: "Iblis bukanlah dari kalangan malaikat sama sekali, dengan hanya sekali pandang (dapat difahami dari ayat ini), sebaliknya Iblis adalah asal-usul kepada jin sepertimana Adam itu asal-usul kepada manusia." (Lihat tafsir al-Tabari

Selain al-Hasan al-Basri, pandangan ini juga dinukilkan dari Mujahid dan Qatadah. Pandangan ini juga dipilih oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dan Ibn Qayyim al-Jauziyyah RH. 

Berdasarkan pandangan ini, maka iblis adalah moyang kepada jin seluruhnya sama ada yang beriman atau tidak. Sama seperti Adam adalah moyang kepada manusia seluruhnya sama ada yang beriman ataupun tidak. Justeru golongan kuffar dari kalangan jin adalah syaitan. Iblis pula berperanan menggerakkan para syaitan dari kalangan jin untuk mendatangkan keburukan kepada manusia dan jin yang beriman. 

Cetak
Wallahu a'lam