Alamat Kematian

Tuesday, April 14, 2009 


Soalan dari email: salam ustaz..

saya ingin bertanya..
sejauh manakah kebenaran mengenai tanda-tanda kematian yang disebarkan oleh sesetengah orang melalui emel dan sebagainya? ada juga dinyatakan dalam majalah wanita baru-baru ini? adakah ini benar-benar betul?seperti yang dinyatakan tanda 100 hari sblm meninggal adalah rasa seluruh badan speerti bergegar..40 hari sebelum pusat terasa berdenyut-denyut, 7 hari sebelum tengah dahi akan terasa berdenyut-denyut dan seterunya hinggalah sehari sebelum meninggal..

adakah ini benar?atau jika tidak benar,apakah hukumnya jika seseorang mempercayainya?adakah berdosa?
sekian..wassalam..

Jawapan:

Saya mencari maklumat yang dimaksudkan dari enjin carian google, lalu saya mendapati sememangnya ada artikel yang ditulis tentang tanda-tanda yang akan dialami oleh orang Islam apabila ajalnya hampir sampai. Artikel ini antaranya boleh didapati di sini: http://tranungkite.net/teladan/teladan266.htm

Artikel tersebut mendakwa kononnya seseorang muslim akan dapat merasai tanda-tanda sebelum kematian bermula pada hari yang ke 100 sebelum kematian, 40 hari, 7 hari, 3 hari, sehinggalah 1 hari sebelum ajal seseorang muslim itu datang, bahkan beberapa detik sebelum ajalnya datang juga dia akan dapati tandanya. Ini bermakna orang muslim akan mengetahu bilakah dia akan menemui ajalnya.

Dakwaan artikel ini jelas menyanggahi kefahaman yang sahih, dan sebahagian maklumat yang dinyatakannya juga jelas mengandungi kesalahan dan kekeliruan. Kekeliruan yang saya maksudkan ialah apabila sipenulis mendakwa abang kepada al-Imam al-Ghazali R.H. ialah al-Imam Ahmad bin Hambal… bagaimana dakwaan ini boleh berlaku?

Abang kepada al-Imam al-Ghazali sebenarnya bukanlah Imam Ahmad bin Hambal, akan tetapi namanya ialah Abu al-Fattah Ahmad bin Muhammad bin Muhammad al-Ghazali al-Tusiy yang mendapat gelaran Majd al-Din. Imam Ahmad bin Hambal pula ialah pemuka mazhab Hambali yang hidup beratus-ratus tahun sebelum kelahiran al-Imam al-Ghazali. Al-Imam Ahmad R.H. meninggal pada tahun 241H, manakala al-Imam al-Ghazali R.H. pula lahir pada 450H dan meninggal pada 505H. ini bermakna al-Imam al-Ghazali tidak lahir melainkan setelah lebih 2 ratus tahun kewafatan al-Imam Ahmad bin Hambal. Selain itu bapa mereka juga tidak sama namanya di mana Imam Ahmad berbinkan Hambal sedangkan Imam al-Ghazali berbinkan Muhammad.

Sebenarnya persoalan bila, dimana dan bagaimana kematian berlaku ke atas diri setiap individu muslim adalah termasuk perkara ghaib yang hanya ada di dalam pengetahuan Allah S.W.T. sahaja. Di dalam al-Quran Allah S.W.T. berfirman:

إِنَّ اللَّهَ عِنْدَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ وَيُنَزِّلُ الْغَيْثَ وَيَعْلَمُ مَا فِي الْأَرْحَامِ وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ مَاذَا تَكْسِبُ غَدًا وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya hanya di sisi Allahlah pengetahuan tentang hari kiamat, Dialah (Allah) yang menurunkan hujan dan hanya Dialah (Allah) yang mengetahui apa yang ada di dalam rahim. Dan tidak ada seorangpun yang akan dapat mengetahui secara pasti apakah akan dia usahakannya esok, dan tidak ada seorangpun yang akan mengetahui dibumi manakah dia akan mati, sesungguhnya Allah maha mengetahui lagi maha mengenal.” (Luqman: 34)

Al-Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini berkata: “…(sesuatu jiwa tidak dapat mengetahui apakah) dinegeri tinggalnya atau dinegeri lain dia akan mati, tidak ada seorangpun yang dapat mengetahui perkara itu…”
 
Cuma Allah S.W.T. hanya mendatangkan tanda-tanda yang umum sebagai peringatan dan sebagai sunnatullah seperti sakit dan tua atau yang seumpamanya. Namun tanda-tanda ini tidak semestinya disusuli dengan kematian. Berapa ramai yang mengalami sakit yang teruk, setiap org yang menziarahinya menyangka dia akan mati, tetapi dia disembuhkan oleh Allah semula.

Lalu bagaimana pula penulis artikel tersebut boleh mendakwa setiap muslim akan mendapat tanda sehingga beberapa ketika sebelum kematiannya??? Ini bermakna mereka tahu waktu dan tempat mati mereka, ini jelas bertentangan dengan ayat al-Quran di atas.

Kepada orang yang telah mempercayai artikel tersebut, kita nasihatkan supaya dia meninggalkan kepercayaannya itu… 

Cetak  
Wallahu a'lam