Bilakah Berdoa Dan Memohon Bantuan Kepada Selain Allah Boleh Terjerumus Ke Lembah Kesyirikan?

Akidah Jumlah paparan: 553

Bilakah Berdoa Dan Memohon Bantuan Kepada Selain Allah Boleh Terjerumus Ke Lembah Kesyirikan?

Oleh: Fadhilah Dr. Sultan al-‘Umairi

Terjemahan mafhum: Ustaz Mohamad Abdul Kadir bin Sahak

 

Apabila thabit bahawa doa bukanlah dari jenis ibadat mahdhah, sebaliknya ia termasuk dari perbuatan-perbuatan yang memiliki kebarangkalian. Ini semestinya membawa makna bahawa bukan semua doa kepada selain Allah adalah satu ibadah kepada pihak yang dipohon yang seterusnya menjadi satu perbuatan syirik dengan Allah. Doa tidak akan menjadi ibadah melainkan dalam beberapa keadaan yang menjadikan doa padanya terkandung makna al-Ta‘abbud dan al-Tanassuk. Keadaan-keadaan yang dimaksudkan ini berupa keadaan berkaitan hati dan boleh pula berkait dengan amalan zahir. Keadaan-keadaan ini boleh dihimpunkan pada satu kriteria dengan dikatakan: “Setiap gambaran yang menunjukkan bahawa doa kepada makhluk tertentu termasuk dalam sesuatu yang menjadi pengkhususan Allah atau menunjukkan ia termasuk dalam sesuatu yang menjadi pengkhususan untuk Allah dengan bukti-bukti yang terzahir.”

Beberapa Keadaan dan Bukti Yang Jelas

Keadaan pertama: Doa kepada makhluk yang disertai dengan keyakinan (iktikad) bahawa makhluk itu bersifat dengan sifat-sifat al-Rububiyyah secara bersendirian atau secara yang dapat memberi kesan kepada kekuasaan dan kehendak Allah (قدرة الله وإرادته), seperti seorang yang berdoa (kepada makhluk) berkeyakinan, makluk yang diajukan doa (permohonan) kepadanya itu (المدعو) memiliki kemampuan mengurus alam dan mengubah peraturan-peraturannya. Atau orang yang berdoa itu berkeyakinan makluk yang diajukan permohonan berkeupayaan memberi kesan pada kekuasaan dan kehendak Allah. Maka sesiapa yang berdoa kepada seseorang makhluk dalam gambaran sebegini, dia telah terjebah ke dalam lembah kesyirikan yang besar tanpa ada sebarang keraguan.

Keadaan kedua: Berdoa atau memohon daripada makhluk yang tidak diketahui pada ‘adah mustaqirrah di sisi orang-orang yang memiliki akal yang sejahtera, makhluk itu wajar diajukan permohonan dan permintaan kepadanya. Seperti seorang yang berdoa atau memohon kepada matahari, bulan, bintang-bintang, api, pokok dan batu. Maka perbuatan mengajukan permohonan kepada makhluk-makhluk ini adalah satu perbuatan syirik yang besar (terkeluar daripada Islam). Hal ini sedemikian kerana semua makhluk itu bukan wajar diajukan permohonan dan permintaan kepada mereka. Seorang mukalaf yang mengajukan permohonan dan meminta pertolongan kepada makhluk-makhluk ini pasti menunjukkan dia berkeyakinan makhluk-makhluk itu memiliki sifat al-Rububiyyah, kerana hakikat dirinya yang berdoa kepada makhluk dalam perkata yang makhluk itu sendiri tidak memiliki kemampuan melakukannya (tiada kemampuan memperkenankan permohonan dan permintaan pertolongan).

Sekumpulan ulama telah menyatakan bahawa ta‘alluq (pergantungan harapan) dengan bintang-bintang dan galaksi-galaksi, mengajukan permohonan (doa) kepada mereka adalah satu perbuatan syirik besar (الشرك الأكبر). Kerana itu beberapa ulama mazhab Syafie telah membuat pernyataan bahawa apabila seseorang ahli sihir mendekatkan dirinya kepada bintang-bintang (dengan melakukan amalan tertentu) dan berkeyakinan bahawa bintang-bintang itu dapat memperkenankan permintaannya, maka pengamal sihir ini telah terjerumus ke dalam lembah kekafiran.[1]   Kata al-Qarafi: “Sihir tidak akan sempurna perlaksanaannya melainkan dengan kekufuran, seperti seorang yang mengamalkan sihir akan bangun berdiri, jika dia mahukan Sihir Sultan, (dia bangun dan berdiri) kepada galaksi al-Asad sambil berkata dalam keadaan merendahkan dan mahu mendekatkan diri kepada galaksi al-Asad tersebut sambil menyeru: “Wahai penghulunya (penghulu galaksi al-Asad), wahai yang agung yang menguasainya, kepada engkaulah memohonnya para raja, pihak-pihak berkuasa dan segala singa. Aku memohon kepadamu agar kamu menjadikan hati fulan itu tunduk kepadaku.” 

Keadaan ketiga: Permintaan dan permohonan daripada berhala yang sedia dimaklumi dilakukan pengibadatan kepadanya selain dari Allah, seperti seorang yang berdoa kepada berhala budha atau hubal atau selainnya. Ini kerana tawajuh kepada berhala-berhala ini dengan memohon doa dan permintaan merupakan bukti kuat menunjukkan seseorang yang berdoa itu jantung hatinya melaksanakan ibadah kepada berhala-berhala tersebut yang membawa kepada syirik akbar (terkeluar daripada Islam).

Keadaan keempat: permintaan berlaku daripada makhluk merangkumi meminta perkata yang tidak mampu dilakukan melainkan Allah taala. Seperti seorang yang berdoa atau meminta dari makhluk supaya menurunkan hujan, menghidupkan makhluk yang telah mati, menyembuh penyakit, memberi rezeki kepada orang miskin dan selainnya terdiri dari perkara-perkara yang tidak mampu dilakukan oleh makhluk. Tiada perbezaan berkaitan doa ini antara kepada yang hidup ataupun yang telah mati. Perbuatan ini termasuk dalam kumpulan doa yang pelakunya melakukan syirik akbar (terkeluar daripada Islam). Hal ini sedemikian kerana, perbuatan ini mengandungi iktikad bahawa berhala yang diajukan doa kepadanya itu memiliki ciri-ciri kekuasaan Allah taala, sama ada secara istiqlalah atau tab‘an.

Keadaan kelima: Doa diajukan kepada makhluk ghaib yang tidak mendengar pada kebiasaannya seperti seorang yang berdoa kepada sesuatu makhluk hidup atau telah mati yang jauh daripadanya berbatu-batu. Maka berdoa dalam keadaan ini adalah satu kesyirikan yang besar, kerana ia mengandungi iktikad bahawa makhluk yang diajukan doa kepadanya itu bersifat dengan sesuatu sifat dari keistimewaan sifat-sifat ilmu Allah taala, tidak mendengar doa orang-orang yang berdoa yang jauh dan tiada yang dapat membantu mereka melainkan Allah taala sahaja.

Dalam keadaan ini, berbeza doa dengan perbuatan menyembelih dan nazar. Di mana seorang yang melakukan sembelihan atau bernazar kepada yang ghaib lagi jauh, tidak semestinya dengan semata-mata perbuatannya itu bermakna dia beriktikad bahawa al-Mazbuh atau al-Manzur itu mendengar atau mengetahui. Hal ini kerana sembelihan dan nazar tidak memerlukan Sima’ al-Mazbuh dan al-Manzur. Oleh kerana itu, bukan setiap sembelihan atau nazar kepada yang ghaib semata-mata dikira satu perbuatan syirik besar. Sebaliknya hendaklah disertai dengan bukti-bukti yang menunjukkannya.

Keadaan keenam: doa berlaku dalam keadaan disertai rasa hina dan rendah diri kepada makhluk, seperti seorang yang berdoa kepada makhluk dalam keadaan hatinya merasakan kemuncak kehinaan dan rendah diri yang tidak berlaku melainkan kepada Allah semata-mata, yang menggambarkan hakikat ibadah dan gambarannya, sama ada meminta sesuatu dari makhluk tersebut dalam perkara yang berada di dalam keupayaannya atau bukan. Sama yang diminta itu dekat dengan individu yang meminta atau tidak.

Kedaan Ketujuh: Doa yang dilakukan dihalakan kepada makhluk dengan keadaan keseluruah atau sejumlah besar. Maknanya seperti seseorang yang tidak akan berdoa melainkan kepada makhluk dalam setiap keadaannya atau kebanyakannya. Kamu akan dapati orang ini, setiap kali menimpanya sesuatu perkara atau dia hendak melakukan sesuatu atau bercita-cita melakukannya, dia akan pergi mengharapkan para makhluk sama ada makhluk yang hidup atau yang telah mati, lalu membuat permohonan yang dikehendaki tersebut. Kedaan ini berlaku kepada ramai dari kalangan mereka yang hatinya bergantung kepada kubur dan orang yang telah mati.   Jika seseorang insan telah sampai ke tahap ini dalam setiap atau kebanyakan keadaannya, maka dia pada hakikatnya terjebak dalam perkara yang menjadikan dia melakukan syirik besar. Ini kerana keadaannya mengandungi maksud berpaling dari Allah, bergantung kepada makhluk dan mengalihkan rasa pengharapan (kasih sayang) dan bimbangnya (terhadap kemurkaan dan balasan) kepada makhluk.

Perhatian:

Beberapa para penghurai kitab tauhid ada menyebut, termasuk di dalam gambaran istighathah yang syirik iaitulah istighathah yang dihalakan kepada individu yang telah mati secara mutlaq, iaitulah sama ada permohonan tolong itu daripada yang dekat mahupun yang jauh. Ataupun minta pertolongan secara langsung daripada mereka (yang telah mati), atau meminta individu yang telah mati memohon kepada Allah. Hujah pandangan ini ialah, seseorang yang telah meninggal dunia berada pada hukum seorang yang ghaib dan lemah. Maka setiap permintaan yang dihalakan kepada mereka (orang yang telah meninggal dunia), pada hakikatnya satu permintaan yang dihalakan kepada yang lemah dan tiada.

Sebenarnya, keadaan ini memiliki beberapa gambaran. Sebahagiannya menimbulkan perbezaan pendapat di kalangan ulama Ahl al-Sunnah. Yang sahih ialah ia bukan satu kesyirikan, iaitulah persoalan meminta doa daripada mayat di sisi kuburnya.

Berdasarkan kenyataan ini, tidak boleh mengumumkan perkataan bahawa setiap istighathah dengan orang yang telah mati dihitung sebagai satu syirik besar. Sebaliknya ia mesti dikaitkan atau dengan adanya bukti jelas syirik seperti yang telah dinyatakan sebelum ini.  

----------------------------------------------------------- 

[1] Lihat Juhud al-SYafi’iyyah Fi Taqrir Tauhid al-‘Ibadah oleh Abdullah al-‘Anqariy

Cetak
Wallahu a'lam