SDI 0085: Maksud Perintah Sujud Kepada Nabi Adam AS

Soalan:

1) Apakah yang dimaksudkan dengan perintah para malaikat sujud kepada nabi Adam AS? Apakah kita juga dibenarkan untuk sujud kepada selain ALlah SWT? 

2) Benarkan iblis asalnya malaikat kemudian disumpah kerana engkar arahan ALlah supaya sujud kepada Adam, lalu menjadi Iblis?

Jawapan: 

1) Perintah Allah SWT kepada para malaikat agar sujud kepada Nabi Adam AS, antaranya terdapat di dalam Firman ALlah SWT:

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآدَمَ فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ أَبَىٰ وَاسْتَكْبَرَ وَكَانَ مِنَ الْكَافِرِينَ (34)

Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada Para Malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam," Maka sujudlah mereka kecuali Iblis; ia enggan dan takabur dan adalah ia Termasuk golongan orang-orang yang kafir.” (al-Baqarah: 34)

Sujud yang dimaksudkan di sini ialah perbuatan sujud sebagai memulia dan mengagungkan. Namun perbuatan sujud bagi tujuan memulia dan mengagungkan kepada selain Allah tidak dibenarkan di dalam Syariat Nabi Muhammad SAW. Sebuah hadis yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin Abi Aufa katanya:

لَمَّا قَدِمَ مُعَاذٌ مِنْ الشَّامِ سَجَدَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا هَذَا يَا مُعَاذُ قَالَ أَتَيْتُ الشَّامَ فَوَافَقْتُهُمْ يَسْجُدُونَ لِأَسَاقِفَتِهِمْ وَبَطَارِقَتِهِمْ فَوَدِدْتُ فِي نَفْسِي أَنْ نَفْعَلَ ذَلِكَ بِكَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَا تَفْعَلُوا فَإِنِّي لَوْ كُنْتُ آمِرًا أَحَدًا أَنْ يَسْجُدَ لِغَيْرِ اللَّهِ لَأَمَرْتُ الْمَرْأَةَ أَنْ تَسْجُدَ لِزَوْجِهَا وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَا تُؤَدِّي الْمَرْأَةُ حَقَّ رَبِّهَا حَتَّى تُؤَدِّيَ حَقَّ زَوْجِهَا وَلَوْ سَأَلَهَا نَفْسَهَا وَهِيَ عَلَى قَتَبٍ لَمْ تَمْنَعْهُ

Maksudnya: “Ketikamana Mu’az sampai dari Syam, beliau sujud kepada Nabi SAW. Lalu baginda bertanya: “Apa semua ini wahai Mu’az?” beliau menjawab: “Aku pergi ke Syam, aku dapati mereka sujud kepada ketua dan pemimpin mereka, maka aku bercita-cita untuk melakukan perkara yang sama kepada engkau.” Jawab Rasulullah SAW: “Jangan kamu melakukan demikian itu. Sesungguhnya jika aku mahu menyuruh seseorang untuk sujud kepada selain dari Allah, sudah tentu aku akan menyuruh seorang wanita untuk sujud kepada suaminya. Demi (Allah) yang jiwa Muhammad berada di dalam gengamanNya, seorang perempuan tidak dapat menunaikan hak suaminya, sehinggalah dia menunaikan hak (permintaan) suaminya untuk bersama dengannnya sekalipun ketika di belakang unta.” (HR Ibn Majah. Dinilai Sahih oleh al-Albani)

2) Berdasarkan pandangan sebahagian ulama, iblis bukan dari kalangan malaikat. Sebaliknya Iblis adalah dari kalangan jin. Pandangan ini bertepatan dengan firman ALlah SWT tentang Iblis: 

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآدَمَ فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ كَانَ مِنَ الْجِنِّ فَفَسَقَ عَنْ أَمْرِ رَبِّهِ

Maksudnya: “Dan ketika Kami (Allah SWT) memerintahkan para malaikat agar sujud kepada Adam, kesemua mereka sujud melainkan iblis, dan dia (Iblis) adalah dari kalangan jin. Dan dia mengingkari arahan tuhannya.” (al-Kahf: 50).

Di sisi sebahagian ulama, ayat ini menunjukkan Iblis bukan dari kalangan Malaikat, sebaliknya ia adalah dari kalangan jin. Al-Imam Ibn Kathir berkata:

Allah memperingatkan di sini bahawa iblis adalah dari kalangan jin, iaitulah dia diciptakan dari api seperti dalam firmanNya: “(Iblis berkata) Aku lebih baik daripadanya (Adam). Engkau ciptakan aku daripada api, sedangkan Engkau menciptakannya dari tanah.” (al-A’raf: 12) kata al-Hasan al-Basri: “Bukanlah Iblis itu dari kalangan malaikat sama sekali. Sebaliknya dia adalah asal kepada Jin, sepertimana Adam adalah asal kepada manusia.” Kata Ibn Kathir: “Ibn Jarir meriwayatkan riwayat ini dengan sanad yang sahih.”

Setelah itu Ibn Kathir menyertakan juga pandangan lain melalui riwayat yang berbagai dalam menerangkan siapakah iblis sebenarnya. Ada yang berpandangan ia adalah satu kaum dari kalangan malaikat yang digelar dengan jin. Ada juga yang berkata iblis adalah dari kalangan malaikat yang paling mulia, seterusnya menjadikan timbul rasa takabbur di dalam dirinya yang menggerakkan dia engkar terhadap arahan tuhannya untuk sujud kepada Adam dan terdapat pandangan yang lain juga. Setelah itu al-Imam Ibn Kathir berkata terhadap riwayat yang berbagai ini: “Dan telah diriwayatkan dalam persoalan ini athar yang banyak daripada salaf (generasi awal), dan kebanyakannya adalah bersumberkan al-Israiliyyat, yang dinukilkan bagi tujuan pemerhatian. Wallahu a’lam.” Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim.


Cetak  
Wallahu a'lam