Tafsir مَٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ

Al-Quran dan Ulumnya Jumlah paparan: 2001

مَٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ ٤

“Yang menguasai Hari Pembalasan.” (4)

Boleh dibaca مَلِكِ يَوْمِ الدِّينِ bermaksud “Yang Memiliki hari pembalasan” atau مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ bermaksud: “Yang Menguasai hari pembalasan” di mana kedua-duanya diriwayatkan dari Nabi SAW, Abu Bakar dan ‘Umar seperti yang dinyatakan oleh al-Imam al-Tirmizi RH. Di kalangan ulama ada yang mengatakan bacaan مَلِكِ (Yang Memiliki) adalah sifat musyabbah yang menjadi nama kepada yang memiliki penguasaan dan kerajaan (المُلك), ia adalah lebih umum dan lebih menyampaikan maksud berbanding مَالِكِ, (Yang Menguasai) yang berupa kata nama pelaku yang bersifat menguasai, kerana setiap مَلِكِ adalah مَالِكِ dan tidak sebaliknya. Ini kerana kata mereka setiap malik  مَلِكِ adalah pelaksana kepada apa-apa yang dimilikinya. Manakala maalik boleh disebut kepada yang tidak memiliki namun dia hanya menguasai.

Berbeza dengan pandangan Abu ‘Ubaidah dan al-Mubarrid yang berkata maalik adalah lebih menyampaikan maksud berbanding malik. Di mana maalik adalah Yang Memiliki sekaliannya, maka al-Maalik adalah lebih menyampaikan maksud. Selain itu al-Maalik juga memiliki maksud tambahan iaitulah pemilikan (التملك).

Al-Tantawi menyatakan al-Maalik adalah sifat dari pemilikan (المِلك) dengan membawa maksud memiliki sesuatu bersama kuasa menggunakannya. Manakala bacaan malik dari penguasaan atau kerajaan (المُلك), iaitulah tuhan yang memiliki penguasaan dan kerajaan, Dialah yang memiliki pentadbiran terhadap segala urusan hari kiamat. Dialah yang memiliki kuasa pada hari pembalasan, pada hari itu semua perkara di bawah kuasanya dan berlaku dengan perintah daripada-Nya. Firman Allah SWT:

يَوۡمَ هُم بَٰرِزُونَۖ لَا يَخۡفَىٰ عَلَى ٱللَّهِ مِنۡهُمۡ شَيۡءٞۚ لِّمَنِ ٱلۡمُلۡكُ ٱلۡيَوۡمَۖ لِلَّهِ ٱلۡوَٰحِدِ ٱلۡقَهَّارِ ١٦

Maksudnya: “(Yaitu) hari (ketika) mereka keluar (dari kubur); tiada suatupun dari keadaan mereka yang tersembunyi bagi Allah. (Lalu Allah berfirman): "Kepunyaan siapakah kerajaan pada hari ini?" Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Mengalahkan.” (Ghafir: 16)

            Pengkhususan sebutan malik (pemilik/yang memiliki) dan maalik (penguasaan/yang menguasai) hari kiamat kepada Allah di dalam ayat ini bukanlah menafikan pemilikan dan penguasaan Allah terhadap segala sesuatu selain pada hari kiamat. Bahkan Allah adalah penguasa dan pemilik segala-galanya dan pemilikan Allah terhadap segala sesuatu telah tergamar dalam firman-Nya رَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ yang bermaksud “Tuhan semesta alam” yang merujuk kepada penguasaan dan pemilikannya terhadap segala sesuatu sama ada di langit mahupun di bumi, sebelum atau selepas berlakunya kiamat. Tujuan pengkhususan sebutan pemilikan dan penguasaan Allah pada hari kiamat dalam ayat ini bagi menekankan bahawa, tiada seorangpun yang memiliki sebarang hak di hari kiamat sehinggakan tiada siapapun yang boleh berbicara melainkan dengan keizinan dari-Nya jua. Allah SWT berfirman:

يَوۡمَ يَقُومُ ٱلرُّوحُ وَٱلۡمَلَٰٓئِكَةُ صَفّٗاۖ لَّا يَتَكَلَّمُونَ إِلَّا مَنۡ أَذِنَ لَهُ ٱلرَّحۡمَٰنُ وَقَالَ صَوَابٗا ٣٨

Maksudnya: “Pada hari, ketika ruh dan para malaikat berdiri bershaf-shaf, mereka tidak berkata-kata, kecuali siapa yang telah diberi izin kepadanya oleh Tuhan Yang Maha Pemurah; dan ia mengucapkan kata yang benar.” (al-Naba: 38)

al-Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya meriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

يَقْبِضُ اللَّهُ الأَرْضَ وَيَطْوِى السَّمَاءَ بِيَمِينِهِ، ثُمَّ يَقُولُ: أَنَا الْمَلِكُ أَيْنَ مُلُوكُ الأَرْضِ

Maksudnya: “Allah menghimpunkan bumi (dengan yang lainnya sehingga menjadi satu) dan menghancurkan langit dengan tangan kanan-Nya, kemudian berfirman: “Akulah Yang Memiliki (raja). Di mana raja-raja di muka bumi dahulu?”

Di dalam Sahih Muslim daripada Ibn ‘Umar RA, Nabi SAW bersabda:

يَطْوِي اللهُ عَزَّ وَجَلَّ السَّمَاوَاتِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، ثُمَّ يَأْخُذُهُنَّ بِيَدِهِ الْيُمْنَى، ثُمَّ يَقُولُ: أَنَا الْمَلِكُ، أَيْنَ الْجَبَّارُونَ؟ أَيْنَ الْمُتَكَبِّرُونَ، ثُمَّ يَطْوِي الْأَرَضِينَ بِشِمَالِهِ، ثُمَّ يَقُولُ: أَنَا الْمَلِكُ أَيْنَ الْجَبَّارُونَ؟ أَيْنَ الْمُتَكَبِّرُونَ

Maksudnya: “Allah azza wa jalla menghancurkan semua langit pada hari kiamat, kemudian mengambil kesemuanya dengan tangan kanan-Nya dan berfirman: “Akulah yang memiliki (raja). Di manakah al-Jabbarun (orang-orang yang zalim dalam penguasaannya)? Di manakah al-Mutakabbirun (orang-orang yang angkuh)?” Kemudian Allah mengambil bumi dengan tangan kiri-Nya, kemudian Dia berfirman: “Akulah yang memiliki (raja). Di manakah al-Jabbarun (orang-orang yang zalim dalam penguasaannya)? Di manakah al-Mutakabbirun (orang-orang yang angkuh)?”       

 يَوۡمِ ٱلدِّينِ

Bermaksud: “di Hari Pembalasan” (al-Fatihah: 4)

Hari pembalasan yang dimaksudkan di sini ialah hari kiamat, hari diberikan balasan kepada manusia terhadap setiap amalan dan perbuatan yang mereka lakukan di dunia sama ada baik ataupun buruk. Pada hari tersebut Allah akan menzahirkan kepada semua makhluk kesempurnaan kekuasaan, pemilikan, keadilan dan kebijaksanaan-Nya. Tiada lagi kekuasaan dan pemilikan selain dari-Nya, sehingga setiap manusia pada hari kiamat kelak semuanya sama dan setara. Tiada lagi perbezaan antara raja dan orang biasa juga hamba, kesemua mereka merendahkan diri, hina-dina kepada keagungan dan ketinggian Allah SWT. Semua mereka sedang menantikan hukuman daripada-Nya jua dalam keadaan diselubungi ketakutan dan rasa cemas.

Kalimah ٱلدِّينِ di dalam ayat ini bermaksud perhitungan atau pembalasan (الحساب، الجزاء). Orang ‘Arab berkata: كَمَا تَدِينُ تُدَانُ bermaksud: “Sepertimana yang kamu lakukan, seperti itu kamu diperlakukan.” Demikian juga perkataan mereka: دِنْتُه بما صَنَعَ yang bermaksud: “Aku balas dia dengan apa yang dia lakukan.”

Ibn Kathir menukilkan di dalam tafsirnya perkataan al-Dahhak (الضحاك) daripada Ibn ‘Abbas RA yang berkata:

مالك يوم الدين يقول: لا يملك أحد في ذلك اليوم معه حكما، كملكهم في الدنيا. قال: ويوم الدين يوم الحساب للخلائق، وهو يوم القيامة يدينهم بأعمالهم إن خيرا فخير وإن شرا فشر، إلا من عفا عنه. وكذلك قال غيره من الصحابة والتابعين والسلف، وهو ظاهر

Maksudnya: “Yang menguasai hari pembalasan: beliau berkata: “Tiada seorangpun pada hari tersebut yang memiliki hukuman (berhak membuat hukuman), sepertimana penguasaan mereka (para makhluk) ketika di dunia. Yaum al-Din, adalah hari perhitungan terhadap  semua makhluk. Ia adalah hari kiamat, akan dibalas semua mereka berdasarkan perbuatan-perbuatan mereka, jika baik maka balasannya baik, jika buruk, maka balasannya buruk, melainkan sesiapa yang diberi kemaafan oleh Allah. Demikian juga yang dinyatakan oleh ramai sahabat, tabi’ien dan salaf selain Ibn ‘Abbas. Huraian ini suatu yang jelas.”

            Penyebutan sifat رَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ seterusnya ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ bukan semata-mata sebutan sifat-Nya, bahkan sebenarnya sebutan sifat-sifat ini di bahagian awal surah merupakan satu pemberitahuan kesempurnaan sifat berlemah-lembut dalam pentadbir dan mengurusankan urusan manusia dari Allah SWT dalam semua perkara. Kerana itu Allah SWT menurunkan perintah dan tegahan yang bertujuan menjaga kebaikan manusia seluruhnya. Antaranya ialah membebaskan manusia dari menjadi hamba kepada nafsunya sendiri yang akan menempatkan manusia dalam keadaan sukar dan sempit.

            Disebut sifat Rabb yang terkandung di dalam maksudnya sebagai tuhan yang menguasai dan mengurus juga mentadbir urusan manusia secara berperingkat-peringkat bagi menjadikan mereka berjaya sampai ke peringkat kesempurnaan hidup. Setelah itu disertakan dengan sifat al-Rahman yang layak bagi kemuliaan dan keagungan Allah SWT yang tidak sama dengan makhluk. Asal makna rahmah ini mengandungi maksud kelembutan jiwa yang mendorong sesiapa yang bersifat dengannya akan bersikap lembut dan lunak terhadap pihak yang dibelas dan dikasihani, sehingga akan mencurahkan kebaikan, menolak kemudharatan dan memberi bantuan ketika menghadapi kesukaran dan kesempitan. Sekali lagi ditegaskan sifat rahmah pada Allah tidaklah sama seperti sifat yang ada pada makhluk. Rahmah di sisi Allah adalah sifat yang maha sempurna sesuai dengan keagungan Allah SWT. Sesiapa yang membaca al-Quran yang dimulai dengan ayat-ayat seperti ini sepatutnya menghadirkan rasa benar-benar mendambakan keampunan dari Allah yang bersifat rabb dan rahmah agar mengurniakan kepadanya kemaafan di atas semua ketaksiran dan kekhilafan yang pernah dan bakal dilakukannya kerana kelemahan dirinya sendiri.

            Setelah itu, agar manusia tidak tertipu dengan dirinya sendiri, sehingga merasakan selesa dengan dosa dan maksiat, kerana seolah-olah semua kesalahannya pasti akan diampun oleh Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang, disusul selepasnya:  مَٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ berperanan sebagai peringatan bahawa yang memiliki keputusan hukum dan pemilik, juga yang menguasai hari pembalasan adalah Allah SWT semata-mata. Firman Allah SWT:

ٱلۡيَوۡمَ تُجۡزَىٰ كُلُّ نَفۡسِۢ بِمَا كَسَبَتۡۚ لَا ظُلۡمَ ٱلۡيَوۡمَۚ إِنَّ ٱللَّهَ سَرِيعُ ٱلۡحِسَابِ ١٧

Maksudnya: “Pada hari ini tiap-tiap jiwa diberi balasan dengan apa yang diusahakannya. Tiadak kezaliman pada hari ini. Sesungguhnya Allah amat cepat hisabnya.” (Ghafir: 17)

            Balasan atas perbuatan bertujuan memberi kebaikan semua makhluk. Balasan tersebut sama ada balasan gembira di atau perbuatan baik atau balasan siksa di atas perbuatan jahat. Kedua-dua bacaan, sama ada malik atau maalik adalah berasal dari kalimah مَلَكَ, yang asalnya merujuk kepada pengurusan yang keras dan tegas. Kerana itu diberi pilihan antara menyebutnya sebagai Malik atau Maalik yang disandarkan kepada “hari kiamat” di mana malik مَلِكِ adalah merujuk kepada raja yang menegakkan keadilan tanpa sikap lembut kerana hendak menjamin terlaksananya kebaikan dan keadilan kepada rakyat di bawah penguasaannya dan menolak kezaliman dari mereka semua. Manakala Maalik  مَٰلِكِ merujuk kepada penguasaan Allah SWT yang memiliki kuasa sepenuhnya memutuskan balasan dan hukuman yang setimpal.  

Tidak sesuai di sebut di sini رَبِّ يَوْمِ الدِّيْن kerana kalimah رَبِّ memiliki makna yang boleh menjadikan golongan menyeleweng mengambil kesempatan kerana merasakan رَبِّ adalah tuhan yang maha pemurah dan sering memberi kemaafan seperti yang telah dijelaskan sebelum ini.

Cetak
Wallahu a'lam