Tafsir إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ

Al-Quran dan Ulumnya Jumlah paparan: 1657

  

إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ ٥

Maksudnya: “Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami meminta pertolongan” (5)

Mendahulukan pujian dan pujaan kepada Allah SWT, setelah itu mempersembahkan kepada-Nya kemurnniaan ibadah dan pengharapan pertolongan dari-Nya semata-mata adalah uslub berbicara yang indah.

“Hanya kepada Engkau yang kami sembah” satu pengakuan kepada makna لا إله إلا الله kerana ia tersusun dari dua perkara iaitulah penafian (al-Nafy) dan pengithbatan (al-Ithbat).

Penafian di sini ialah menafikan semua sembahan selain Allah Taala dalam melakukan semua bentuk pengibadatan. Manakala pengithbatan pula adalah menunggalkan Allah yang esa dalam semua bentuk pengibadatan seperti yang disyariatkan.

Dalam ertikata lain ayat ini dapat dimaksudkan sebagai: “Kami hanya mengkhususkan kepada-Mu (Ya Allah) segala bentuk ibadah dan demikian juga kami hanya mengkhususkan kepada-Mu dalam semua bentuk permohonan meminta tolong. Kami adalah orang-orang yang lemah tidak memiliki apa-apa. Semua kebaikan dan kurniaan adalah milik-Mu semata-mata. Kami memohon pertolongan dari-Mu jua, tiada keupayaan dan kekuatan dari kami melainkan dengan pertolongan-Mu.”

Pengkhususan segala ibadah kepada Allah demikian juga segala permohonan tolong adalah kerana Dialah yang memiliki dan berkuasa atas segala sesuatu. Dialah tuhan yang memudahkan perkara yang susah, mendekatkan perkara yang jauh, Dialah juga yang memberi taufiq kepada sesiapapun, Dialah yang membantuk seseorang hamba sehingga mampu melakukan ketaatan sehingga dapat memperolehi kebaikan di dunia dan di akhirat. Semua ini kerana Dialah tuhan pemiliki segala-galanya.

Ayat ini sebenarnya berupa penawar jiwa kepada orang-orang yang beriman dari kebergantungan harap kepada selain dari-Nya. Ia juga penawar jiwa orang-orang yang beriman dari penyakit riya’, ujub, sombong dan seumpamanya. Seseorang yang melakukan kebaikan tidak mengharapkan pujian dan sanjungan manusia. Kerana yang dia harapkan dari kebaikan yang dilakukannya adalah balasan pahala dan kasih sayang dari sisi Allah.

إِنَّمَا نُطۡعِمُكُمۡ لِوَجۡهِ ٱللَّهِ لَا نُرِيدُ مِنكُمۡ جَزَآءٗ وَلَا شُكُورًا ٩

Maksudnya: “Sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu hanyalah untuk mengharapkan keridhaan Allah, kami tidak menghendaki balasan dari kamu dan tidak pula (ucapan) terima kasih.” (al-Insan: 9)

Susulan dari ayat ini, Allah SWT mengajar kita untuk memohon hidayah dan petunjuk yang termasuk dalam semulia-mulia permohonan. Justeru itu Allah mengajar kita bagaimana cara hendak memohon petunjuk atau hidayah ke jalan yang lurus itu. Iaitulah dengan cara memulakan permohonan dengan memuji, memuja dan mengagungkan Allah. Kalimah الله، الحمد لله، الرب، رب العالمين، الرحمن الرحيم، مالك يوم الدين؛ semuanya termasuk di dalam kumpulan nama dan sifat Allah SWT. Setelah itu mengikrarkan pengibadatan yang hanya dilakukan kerana-Nya dan pertolongan yang hanya diminta dari-Nya.

Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah mengatakan, hampir-hampir setiap doa dan permohonan itu tidak akan ditolak jika didahulukan dengan dua cara ini.

Sepatutnya kita dapat perhatikan susunan surah al-Fatihah ini dengan baik. Ia dimulakan dengan bertawassul dengan nama dan sifat Allah sebelum membuat permintaan penting dan utama. Setelah itu bertawassul pula dengan pengisytiharan kehinaan, kefakiran diri yang sebenar-benarnya dan dibelenggu kelemahan bagi memperoleh keperluan dan keinginan, jesteru segera memohon pertolongan dari tuhan yang Maha Pencipta yang memiliki segala-galanya untuk mendapatkan apa yang dihajati dan diperlukannya, di mana segalanya tidak akan diperolehi melainkan dengan pertolongan dan keizinan dari-Nya jua.

Oleh itu surah al-Fatihah ini memiliki dua bahagian. Pertama ialah bahagian Allah yang berupa pujian dan pemujaan yang diucap dan dan diperakui oleh seseorang hamba. Manakala bahagian keduanya ialah permohonan dari hamba dari tuhannya. Nabi SAW menyatakan hal ini di dalam hadis baginda:

قَالَ اللَّهُ تَعَالَى: قَسَمْتُ الصَّلَاةَ بَيْنِي وَبَيْنَ عَبْدِي نِصْفَيْنِ، وَلِعَبْدِي مَا سَأَلَ، فَإِذَا قَالَ الْعَبْدُ :الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ، قَالَ اللَّهُ تَعَالَى: حَمِدَنِي عَبْدِي، وَإِذَا قَالَ: الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ، قَالَ اللَّهُ تَعَالَى: أَثْنَى عَلَيَّ عَبْدِي، وَإِذَا قَالَ: مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ، قَالَ: مَجَّدَنِي عَبْدِي - وَقَالَ مَرَّةً: فَوَّضَ إِلَيَّ عَبْدِي - فَإِذَا قَالَ: إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ، قَالَ: هَذَا بَيْنِي وَبَيْنَ عَبْدِي، وَلِعَبْدِي مَا سَأَلَ، فَإِذَا قَالَ: اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ صِرَاطَ الَّذينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ، قَالَ: هَذَا لِعَبْدِي وَلِعَبْدِي مَا سَأَلَ

Maksudnya: “Allah berfirman: “Daku bahagikan surah al-Fatihah antaraKu dan hamba-Ku, dua bahagian. Untuk hamba-Ku (Aku akan kurniakan) apa yang dipohonnya. Apabila dia membaca: الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ Allah Taala akan berfirman menjawab: “Hamba-Ku memuji-Ku” Apabila dia membaca: الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ Allah Taala berfirman menjawab: “Hamba-Ku memuja-Ku.” Apabila dia membaca: مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ Alla Taala akan menjawab: “Hamba-Ku mengagungkan-Ku.”. Apabila dia membaca: إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ Allah Taala berfirman menjawab: “Di sini antara Aku dengan Hamba-Ku, dan untuk hamba-Ku apa yang dia hendak minta.” Apabila dia membaca: اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ صِرَاطَ الَّذينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ Allah Taala menjawab: “Permintaan ini untuk hamba-Ku, dan dia akan memperolehi apa yang dii pintakan ini.“ (Riwayat Muslim di dalam Kitab al-Solat – Bab Wujub Qira-ah al-Fatihah fi Kulli Rak’ah…)

Cetak
Wallahu a'lam