Benarkan Ayat Ini Menunjukkan Nabi SAW Pernah Hendak Membunuh Diri?

Al-Quran dan Ulumnya Jumlah paparan: 2039

Soalan: 

Ustaz, apakah maksud firman Allah dari surah al-Kahfi: 6 "Maka barnagkali egkau (wahai Muhammad)  akan mencelakakan dirimu kerana bersedih hati setelah mereka berpaling, sekiranya mereka tidak beriman kepada keterangan ini (al-Quran)." 

soalan saya benarkan ayat ini menunjukkan Nabi SAW pernah hendak membunuh diri? saya dengar perkara ini dari mulut seorang tokoh agama di negara kita. Benarkah ustaz?

Jawapan: 

Ayat 6 dari surah al-Kahf ialah firman Allah SWT: 

فَلَعَلَّكَ باخِعٌ نَفْسَكَ عَلى آثارِهِمْ إنْ لَمْ يُؤْمِنُوا بِهَذا الحَدِيثِ أسَفًا

maksudnya: "Maka jangan pula engkau (wahai Muhammad) membinasakan dirimu setelah mendapati mereka berpaling dan tidak beriman kepada al-Quran kerana terlalu sedih." 

Berinteraksi dengan al-Quran, demikian juga dengan perkara yang berkait dengan Nabi SAW menuntut kita berhati-hati. Jika tidak sia-sialah sikap berhati-hati para ulama hadis sebelum menerima sesuatu perkhabaran dari Nabi SAW. Jika meriwayatkan ucapan Nabi SAW menuntut sikap berhati-hati, maka bagaimana pula meriwayatkan atau mengambil kefahaman tentang Nabi dan hubungan baginda dengan Allah SWT? Apakah masuk akal, bagi seorang yang hadam sirah Nabi SAW sehingga dikatakan tokoh agama, secara gopoh menyampaikan maklumat separa masak kepada orang ramai terutama dalam persoalan yang membabitkan keteguhan rohani dan keyakinan sebaik-baik Nabi? Bukankah sirah telah membuktikan betapa teguh dan kukuhnya keyakinan dan penyerahan diri Nabi Muhammad SAW kepada ALlah SWT?

Saya tidak menafikan, jika tidak berhati-hati, ketika membaca beberapa tafsir, boleh membawa kepada kefahaman tersebut. Namun sepetutnya dalam persoalan seperti ini, hendaklah kita lebih berhati-hati dan merujuk kepada beberapa kitab tafsir terutama yang ada menghuraikan maksud kalimah-kalimah al-Quran secara terperinci. Jika kita merujuk kepada beberapa kitab tafsir kita akan dapati kalimah بَاخِعٌ tidak semestinya bermaksud seorang yang hendak membunuh diri. Jika melihat kepada terjemahan al-Quran Abdullah Basmeih beliau menterjemahkan sebagai: 

"Maka jangan pula engkau wahai Muhammad membinasakan dirimu disebabkan menanggung dukacita terhadap kesan-kesan perbuatan buruk mereka jika mereka enggan beriman kepada keterangan AlQuran ini" Alhamdulillah, penterjemah tidak menterjemahkan sebagai seorang yang hendak membunuh diri seperti penceramah yang dikatakan tokoh agama itu.

Kalimah باخع boleh juga diterjemahkan sebagai "seorang yang bertungkus-lumus sehingga melemahkannya", di mana kata terbitannya ialah البَخْعُ bermaksud الجُهْدُ iaitulah bersungguh-sungguh atau bertungkus-lumus sehingga melemahkan. Maksud ini diambil dari perkataan orang 'Arab yang berkata:

 بَخَعْتُ الأرْضَ بِالزِّراعَةِ إذا جَعَلْتَها ضَعِيفَةً بِسَبَبِ مُتابَعَةِ الحِراثَةِ

bermaksud "Aku bakha' akan tanah ini dengan penanaman" apabila kamu menjadikan tanah itu lemah dengan sebab berturutan bercucuk-tanam di atasnya."

Inilah yang dinyatakan oleh seorang rujukan bahasa 'Arab, al-Kisa-ie (الكِسائِيُّ).

Selain itu kalimah باخع boleh juga membawa makna مُهْلِكٌ نَفْسَكَ، iaitulah "membinasakan diri".  Kedua-dua makna ini tidak memaksudkan baginda Nabi SAW hendak membunuh diri... Maha Suci Allah dari memilih sebaik-baik Nabi seorang yang berhasrat hendak membunuh diri sendiri.

Oleh itu ayat 6 dari surah al-Kahfi sebenarnya bermaksud: "Maka jangan pula engkau (wahai Muhammad) bertungkus-lumus dan bersungguh-sungguh sehingga akan membinasakan dirimu (ناهِكُها وجاهِدُها حَتّى تُهْلِكَها menggiatkan dakwah) setelah mendapati  mereka berpaling dan tidak beriman kerana terlalu sedih." Inilah terjemahan yang sebenar dan lebih tepat pada pandangan saya dan lebih bersesuaian dengan keperibadian Nabi SAW. Hendaklah dianbil perhatian oleh orang-orang yang mahu berfikir dan sayangkan Nabinya SAW.

Ayat ini bermaksud tegahan lunak dari Allah SWT agar baginda tidak membebankan diri dengan berdakwah di luar kemampuan diri sehingga boleh membinasakan diri baginda kerana terlalu sedih melihat kaum baginda berpaling dari menerima al-Quran.

Di bawah ini terjemahan bersama sedikit olahan semula dari saya, tafsir salah seorang Imam tafsir, al-Syeikh Mutawalli al-Sya'rawi RH. Ketika beliau menafsirkan firman ALlah SWT dari surah al-Furqan ayat 34:

'ٱلَّذِينَ يُحْشَرُونَ عَلَىٰ وُجُوهِهِمْ إِلَىٰ جَهَنَّمَ أُوْلَٰٓئِكَ شَرٌّ مَّكَانًا وَأَضَلُّ سَبِيلًا 

maksudnya:  "Dan orang-orang yang akan diserat ke neraka jahannam dengan tertiarap di atas mukanya, merekalah orang-orang yang amat buruk keadaanya dan amat sesat jelannya." Kata al-Sya'rawi: 

"...mengapa al-Quran tidak menyebut nama-nama individu zalim yang membantah ajaran Islam? kata para ulama: Perkara seumpama ini termasuk dalam bab memberi peluang kepada lawan untuk menyatakan apa yang ada di dalam dirinya jika dia seorang yang benar. Allah Taala mengajar rasul-Nya SAW cara menjawab dan berdebat dengan lembut terhadap mereka (orang-orang yang tidak beriman) dengan cara yang paling baik. (Demikian juga) ketika orang-orang kafir menuduh Nabi SAW itu palsu, al-Quran itu rekaan dan pendustaan, dibantah dengan firman ALlah: "Apakah mereka berkata Muhammad telah mengada-adakannya (al-Quran)? Katakan kepada mereka: "Datangkan satu surah yang seumpamanya..." (Yunus: 38)... oleh itu, ketika mana al-Quran berbicara tentang orang-orang kafir Quraisy yang membantah dan menolak al-Quran, menyakiti Rasulullah dalam berbagai bentuk, al-Quran tetap menghadapi mereka dalam bentuk lunak tidak menyebut nama individu sebaliknya secara umum dengan menyebut "Orang-orang yang...", iaitulah dalam bentuk lunak dan memujuk bagi menghilangkan permusuhan dan kedegilan. Allah Taala berfirman kepada Rasul-Nya SAW: 

 فَبِمَا رَحْمَةٍۢ مِّنَ ٱللَّهِ لِنتَ لَهُمْ ۖ

maksudnya: "Maka dengan sebab rahmat dari Allah kepadamu wahai Muhammad, engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka..." (Ali Imran: 159). Ayat in seperti memberitahu, engkau tidak akan bersikap lemah-lembut atau lunak terhadap mereka dengan tabiat yang ada padamu (wahai Muhammad), kerana kedegilan mereka akan menimbulkan kemarahan kepada kamu dan akan menjadikan kamu kasar. Akan tetapi dengan sebab rahmat Allah kamu mampu berlemah lembut terhadap mereka..." Ini bermaksud, para pendakwah hendaklah memiliki keluasan hati. Ini kerana dakwah adalah mengeluarkan orang yang menyeleweng dari sesuatu yang menjadi kebiasaan mereka dan sesuatu yang mereka tidak suka. Maka jangan ubah mereka dengan cara yang mereka tidak suka pula sehingga menghimpunkan dua perkara yang tidak mereka sukainya. Sebaliknya hendaklah berlemah-lembut dan lunak sepertimana firman Allah kepada Musa dan Harun ketika memerintakan mereka berdua berdakwah kepada Fir'aun: 

فَقُولَا لَهُۥ قَوْلًا لَّيِّنًا لَّعَلَّهُۥ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَى

maksudnya: "Kemudian hendaklah kamu berdua berkata kepadanya dengan kata-kata yang lemah-lembut semoga ia beringat atau takut" (Taha: 44).... Dalam ayat lain Allah SWT mengajar Nabi SAW cara berdailog dengan orang-orang musyrikin dengan firman-Nya: 

قُل لَّا تُسْـَٔلُونَ عَمَّآ أَجْرَمْنَا

maksudnya: "Katakanlah (wahai Muhammad): "Kamu semua tidak akan bertanggungjawab tentang kesalahan yang kami lakukan(Saba': 25) Apakah tergambar kesalahan dan dosa dari seorang Rasul? Berikutnya ALlah berfirman: 

 

maksudnya: "dan kami pula tidak akan bertanggungjawab tentang apa yang kamu kerjakansedangkan dari sudut logik berdailog ialah dengan mengatakan: "dan kami pula tidak akan bertanggungjawab tentang kesalahan yang kamu lakukan", akan tetap Allah mengajar Nabi SAW menisbahkan kesalahn kepada diri baginda dan tidak menisbahkan kesalahan kepada orang yang sedang didakwahkan. Apakah masih ada lemah-lembut dan pujukan kepada hati yang lebih dari apa yang ditunjukkan di dalam al-Quran ini? 

Allah SWT membentangkan semua persoalan ini, bagi mensabitkan bahawa Rasul-Nya SAW adalah seorang yang benar-benar bersungguh-sungguh ingin menjadikan kaumnya beriman. Baginda sama sekali tidak akan meninggalkan sebarang usaha untuk menjadikan kaumnya menerima hidayah sehingga sampai ke tahap baginda melakukannya melebihi dari yang dituntut oleh Allah, sehingga ALlah SWT berfirman:  

فَلَعَلَّكَ باخِعٌ نَفْسَكَ عَلى آثارِهِمْ إنْ لَمْ يُؤْمِنُوا بِهَذا الحَدِيثِ أسَفًا

maksudnya: "Maka jangan pula engkau (wahai Muhammad) membinasakan dirimu setelah mendapati mereka berpaling dan tidak beriman kepada al-Quran kerana terlalu sedih." (al-Kahf: 6) dan firman-Nya SWT lagi:

لَعَلَّكَ بَٰخِعٌ نَّفْسَكَ أَلَّا يَكُونُواْ مُؤْمِنِينَ

maksudnya:  "Dan jangan pula engkau (wahai Muhammad) membinasakan dirimu kerana mereka tidak menjadi orang-orang yang beriman." (al-Syu'araa': 3), ayat-ayat ini memaksudkan: "Jangan kamu (wahai Muhammad) membinasakan diri (melakukan sesuatu di luar kemampuanmu) untuk menjadikan mereka menerima hidayah. Tidak menjadi kewajipan ke atasmu melainkan hanya menyampaikan. Tuhan Muhammad (Allah SWT) tidak berfirman dengan firman ini kepada baginda melainkan Dia tahu sesungguhnya Nabi SAW amat berharap dan inginknan kaum baginda beriman dengan al-Quran." (Lihat Tafsir al-Sya'rawi: 17/10436-10439

Ketika menafsirkan firman Allah SWT: 

وَمَن كَفَرَ فَلَا يَحْزُنكَ كُفْرُهُۥٓ ۚ إِلَيْنَا مَرْجِعُهُمْ فَنُنَبِّئُهُم بِمَا عَمِلُوٓاْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌۢ بِذَاتِ ٱلصُّدُورِ

maksudnya: "Dan sesiapa yang kufur ingkar maka janganlah engkau wahai Muhammad berdukacita tentang kekufurannya itu; kepada Kamilah tempat kembalinya mereka kemudian Kami akan memberitahu kepada mereka tentang apa yang mereka telah kerjakan Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala isi hati yang terkandung di dalam dada" (Luqman: 23)

Kata al-Sya'rawi: 

"Setelah Allah SWT menerangkan kepada-Nyalah akan kembali setiap sesuatu dan kesudahannya, Allah mahu menghilangkan kesedihan Rasul utusan-Nya, maka ALlah berfirman dengan firman-Nya di atas ("Dan sesiapa yang kufur ingkar..."), ayat ini bermaksud: Setelah kami nyatakannya berkaitan dailog dengan ilmu dan petunjuk berdasarkan al-Quran yang memberi cayaha, setelah diterangkan keperluan menyerah diri kepada Allah, maka sesiapa yang kafir setelah itu: "Maka janganlah engkau wahai Muhammad berdukacita tentang kekufurannya itu."  (Luqman: 23). 

Perkataan ini adalah perkataan Allah kepada Rasul utusan-Nya yang menunjukkan Allah mengetahui Rasul utusan-Nya itu benar-benar inginkan ummatnya keseluruhan beriman sehingga baginda amat sedih dan memikul bebanan dengan kekufuran dan keengkaran mereka. al-Quran banyak kali mengulangi ungkapan ini. Antaranya firman Allah SWT: 

فَلَعَلَّكَ باخِعٌ نَفْسَكَ عَلى آثارِهِمْ إنْ لَمْ يُؤْمِنُوا بِهَذا الحَدِيثِ أسَفًا

maksudnya: "Maka jangan pula engkau (wahai Muhammad) membinasakan dirimu setelah mendapati mereka berpaling dan tidak beriman kepada al-Quran kerana terlalu sedih." (al-Kahf: 6) dan firman-Nya SWT lagi:

لَعَلَّكَ بَٰخِعٌ نَّفْسَكَ أَلَّا يَكُونُواْ مُؤْمِنِينَ

maksudnya:  "Dan jangan pula engkau (wahai Muhammad) membinasakan dirimu kerana mereka tidak menjadi orang-orang yang beriman." (al-Syu'araa': 3). Allah Taala seperti mahu mengatakan kepada rasul utusan-Nya, Muhammad SAW: "Kami mengutuskan kamu sebagai seorang yang menyampaikan dakwah semata-mata. Apabila kami telah sampaikan apa yang diperintahkan, maka tiada lagi kewajipan yang lebih dari itu untuk kamu lakukan. Banyak terdapat dalam al-Quran ungkapan teguran kepada rasul utusan-Nya dalam permasalahan ini. Ia merupakan teguran untuk kebaikan baginda, bukan untuk keburukan baginda. Ia sepertimana seseorang kamu menegur anaknya yang melampau bersungguh-sungguh mengulangkaji pelajarannya, kerana bimbangkan keselamatan dianak." (Lihat Tafsir al-Sya'rawi: 19/11710)  

Di tempat lain, ketika menukilkan ayat 3 dari surah al-Syu'araa' ini, al-Syarawi berkata: 

"Adalah baginda Rasulullah SAW amat suka dan amat mengharapkan kebaikan untuk kaum keluarga baginda, baginda yang telah mengecapi kemanisan iman, akan berasa sedih apabila mereka tidak beriman. Lalu Allah taala memberi peringatan kepada baginda, bahawa tugas yang baginda pikul adalah menyampaikan sahaja apa yang diperintahkan, baginda tidak dibebankan lebih dari yang itu. Allah menghendaki menjadikan manusia memiliki hak memilih, Allah telah menundukkan alam ini untuk manusia. Di kalangan manusia ada yang beriman dan ada pula yang kafir. Dalam kalangan yang beriman itu pula ada yang seketika melakukan ketaatan dan melakukan maksiat pada ketika yang lain. Inilah kehendak Allah untuk keseimbangan ciptaan-Nya, maka janganlah kamu bersedih wahai Rasulullah, Allah lah yang menghendaki demikian itu... kerana itulah Dia berfirman: 

وَلَوْ شَآءَ رَبُّكَ لَءَامَنَ مَن فِى ٱلْأَرْضِ كُلُّهُمْ جَمِيعًا ۚ أَفَأَنتَ تُكْرِهُ ٱلنَّاسَ حَتَّىٰ يَكُونُواْ مُؤْمِنِينَ

maksudnya:  "Dan bukanlah tanggungjawabmu wahai Muhammad menjadikan seluruh umat manusia beriman jika Tuhanmu menghendaki nescaya berimanlah sekalian manusia yang ada di bumi. Janganlah engkau bersedih hati tentang kedegilan orang-orang yang ingkar itu; kalau Tuhan tidak menghendaki maka patutkah engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman" (Yunus: 99) 

Kesimpulannya, ayat 6 dari surah al-Kahf, tidak menunjukkan Nabi SAW pernah berputus asa sehingga bercita-cita hendak membunuh diri. Sebaliknya ia menggambarkan betapa inginnya baginda melihat umat baginda beriman seluruhnya, sehingga baginda bercita-cita meningkatkan usaha dakwah luar dari kemampuan seorang manusia dan boleh membinasakan diri, setelah melihat kaum baginda tetap kufur.

Cetak
Wallahu a'lam