Tafsir Buya Hamka RH: Sahabat Bimbangkan Kemunafikan Ada Di Dalam Diri Mereka

Al-Quran dan Ulumnya Jumlah paparan: 647

Kata Buya Hamka: “Tafakkurlah kita memikirkan bahawa seorang muslim yang besar Sayyidina ‘Umar bin al-Khattab, yakni reda Allah terlimpah kiranya kepadanya”, itu maksud "radhiyallahu ‘nhu" (رضي الله عنه), ataupun “semoga Allah meredhainya”. Sebutan "semoga Allah meredainya" itu bukanlah satu perkara yang belum pasti. Bahkan kita wajib menyakini Allah Taala telah meredai ‘Umar bin al-Khattab, antaranya berdasarkan ayat al-Quran:

وَالسَّابِقُونَ الْأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُم بِإِحْسَانٍ رَّضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ

Maksudnya: “Orang-orang awal dari kalangan Muhajirin dan Ansar…”, ‘Umar bin al-Khattab secara pasti dan yakinو beliau salah seorang dari kalangan muhajirin. Allah Taala kata: “Allah Taalah reda kepada mereka.” Maka wajib kita yakini ‘Umar termasuk dalam kalangan orang yang diredai oleh Allah SWT.

Kata Buya Hamka lagi:

“Sayyidina ‘Umar bin al-Khattab yang selalu bertanya kepada seorang sahabat lagi yang alim tentang penyakit-penyakit jiwa manusia iaitulah Huzaifah bin al-Yaman. Beritahu kepada kuو mungkin padaku ada sifat-sifat munafik yang aku sendiri tidak sedar.”

Lihatlah tuan-tuan, ‘Umar, ‘Umar, Umar yang ahli syurga tanya kepada Huzaifah bin al-Yaman, wahai Huzaifah apakah pada diri aku ini ada sifat munafik?

Kita hari ini؟ dalam diri kita, apa yang kita rasa? Pasti kita rasa kita tak ada sifat munafik. Orang lain yang ada sifat munafik. Kalau sebut tentang sifat munafik, kita hanya nampak orang lain, si fulan dan si fulan. Semua kita tunjuk kepada orang lain. Tetapi diri kita? Kita tak pernah bimbangkan. Sedangkan kata para ulama:

“Sesiapa yang berasa aman dari sifat munafik, maka ada kemunafikan pada dia.”

Kerana orang munafik itu, dosa besar yang dia lakukan, dia rasa seperti lalat yang hinggap di atas hidungnya. Dengan hanya kais sedikit sahaja, lalat itu akan lari. Maksudnya orang munafik dengan dosa besar yang dia lakukan, dirasakan kecil dan mudah sahaja untuk dihilangkan, dengan istighfar sahaja Allah akan ampun. Itu sifat orang munafik. Sifat itu ada pada diri kita tuan-tuan, pada saya dan pada tuan-tuan semua.

Sedangkan sifat orang mukmin yang sebenarnya, kata salah seorang tabi’ie;

“Aku telah berjumpa dengan lebih 70 orang sahabat Nabi SAW, tidak aku jumpa mereka, melainkan kesemua mereka bimbang ada nifak di dalam diri mereka.”

Ya Allah, sahabat bimbangkan ada kemunafikan di dalam diri mereka, sedangkan kita berasa aman dari sifat kemunafikan di dalam diri kita?

Maka kita wajib perbaiki diri kita. Ada sudut yang pincang pada pengajian kita, ada sudut yang pincang pada cara fikir kita. Kita memohon kepada Allah agar membimbing kita ke jalan yang lurus.

Cetak
Wallahu a'lam