Hukum al-Quran Ditulis Rumi Untuk Saudara Baru

Al-Quran dan Ulumnya Jumlah paparan: 698

HUKUM AL-QURAN DITULIS RUMI

UNTUK SAUDARA BAHARU

Mohamad Abdul Kadir bin Sahak

Jabatan Mufti Perlis

Bahagian Buhuth & Istinbath

 

 

 

PENDAHULUAN

al-quran adalah wahyu yang diturunkan dalam bahasa arab. Firman Allah SWT:

 إِنَّا جَعَلۡنَٰهُ قُرۡءَٰنًا عَرَبِيّٗا لَّعَلَّكُمۡ تَعۡقِلُونَ ٣

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami jadikan Kitab itu sebagai Quran yang diturunkan dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal) memahaminya.” (al-Zukhruf: 3)

ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ ٱلَّذِيٓ أَنزَلَ عَلَىٰ عَبۡدِهِ ٱلۡكِتَٰبَ وَلَمۡ يَجۡعَل لَّهُۥ عِوَجَاۜ ١

Maksudnya: “Segala puji bagi Allah yang telah menurunkan kepada hambaNya (Muhammad), Kitab suci Al-Quran dan tidak menjadikan padanya sesuatu yang bengkok (terpesong)” (al-Kahf: 1)

وَلَوۡ جَعَلۡنَٰهُ قُرۡءَانًا أَعۡجَمِيّٗا لَّقَالُواْ لَوۡلَا فُصِّلَتۡ ءَايَٰتُهُۥٓۖ ءَا۬عۡجَمِيّٞ وَعَرَبِيّٞۗ قُلۡ هُوَ لِلَّذِينَ ءَامَنُواْ هُدٗى وَشِفَآءٞۚ وَٱلَّذِينَ لَا يُؤۡمِنُونَ فِيٓ ءَاذَانِهِمۡ وَقۡرٞ وَهُوَ عَلَيۡهِمۡ عَمًىۚ أُوْلَٰٓئِكَ يُنَادَوۡنَ مِن مَّكَانِۢ بَعِيدٖ ٤٤

44. Dan kalaulah Al-Quran itu Kami jadikan (bacaan) dalam bahasa asing, tentulah mereka akan berkata: Mengapa tidak dijelaskan ayat-ayatnya (dalam bahasa yang kami fahami)? Patutkah Kitab itu berbahasa asing sedang Rasul yang membawanya berbangsa Arab? Katakanlah (wahai Muhammad): Al-Quran itu, menjadi (cahaya) petunjuk serta penawar bagi orang-orang yang beriman dan sebaliknya orang-orang yang tidak beriman, (AL-Quran itu) menjadi sebagai satu penyakit yang menyumbat telinga mereka (bukan penawar) dan ia juga merupakan gelap-gelita yang menimpa (pandangan) mereka (bukan cahaya yang menerangi). Mereka itu (dengan perbuatan melarikan diri dari ajaran Al-Quran, tidak ubahnya seperti) orang-orang yang diseru dari tempat yang jauh (masakan mereka dapat mendengar dengan betul atau melihat dengan nyata). (Fussilat: 44)

            Ayat-ayat al-Quran di atas jelas menunjukkan yang dinamakan al-Quran adalah lafaz dan maknanya yang berbahasa Arab. Tidak boleh dikatakan penulisan sebahagian maknanya dalam bahasa selain Arab sebagai al-Quran[1].

            Termasuk dalam perkara yang telah disepakati di kalangan Umat Islam iaitulah al-Quran al-Karim bersifat I’jaz pada lafaz dan maknanya. Ia diturunkan dalam bahasa Arab kepada Nabi SAW. Dengan al-Quran yang berbahasa Arab itu Nabi SAW dan para sahabat baginda menyampaikannya kepada sekalian manusia, Arab dan bukan Arab sehingga mereka semua beriman kepada Allah dan melaksanakan tuntutan agama.

  

HUKUM MENULIS AL-QURAN SELAIN ‘ARAB DI SISI ULAMA MAZHAB

Di bawah ini disertakan pandangan ulama mazhab dalam persoalan hukum menulis al-Quran dengan bukan tulisan Arab:

  1. Mazhab Hanafi

Kata al-Imam al-Syurunbulali الشرنبلالي al-Hanafi di dalam risalahnya al-Nafhah al-Qudsiyyah fi Ahkam Qira-ah al-Quran w Kitabatih bi al-Farisiyyah: 

أما كتابة القرآن بالفارسية فقد نص عليها في غير ما كتاب من كتب أئمتنا الحنفية المعتمدة، منها ما قاله مؤلف الهداية الإمام الأجل شيخ مشايخ الإسلام حجة الله تعالى على الأنام برهان الدين أبو الحسن علي بن أبي بكر المرغيناني الكبير رحمه الله في كتابه التجنيس والمزيد ما نصه ويمنع من كتابة القرآن بالفارسية بالإجماع لأنه يؤدي إلى الإخلال بحفظ النظم والمعنى فإنه دلالة على النبوة ولأنه ربما يؤدي إلى التهاون بأمر القرآن

Maksudnya: “Adapun penulisan al-Quran dengan bahasa Parsi, sesungguhnya telah dinaskan dalam banyak kitab para imam ulama Hanafi yang muktamad. Antaranya apa yang dikatakan oleh penulis kitab al-Hidayah al-Imam al-Ajall, Syeikh kepada masyaikh al-Islam Hujjatullah Taala ke atas makhluk, Burhan al-Din Abu al-Hasan ‘Ali bin Abi Bakr al-Marghinani al-Kabir RH (W593H) di dalam kitabnya al-Tajnis wa al-Mazid, apa yang telah dinaskannya (iaitulah) “Dan ditegah dari penulisan al-Quran dengan bahasa Parsi dengan ijmak, kerana ia merosakkan susunan dan makna (al-Quran), ia juga (al-Quran dengan bahasa Arab) adalah bukti kenabian, demikian juga (penulisan al-Quran dengan bahasa Parsi) akan membawa kepada sikap merendah-rendahkan al-Quran.”

(al-Nafhah al-Qudsiyyah fi Ahkam Qira-ah al-Quran wa Kitabatih bi al-Farisiyyah, 17)    

 

  1. Mazhab Maliki

            Kata Asyhab:

سئل مالك هل يكتب المصحف على ما أحدثه الناس من الهجاء؟ قال: لا إلا على الكتبة الأولى

Maksudnya: “Pernah ditanya kepada Malik: Apakah boleh ditulis mushaf dengan huruf-huruf al-Hija’ yang diadakan oleh orang ramai? Jawab beliau: Tidak boleh, melainkan menurut tulisannya yang awal.”

(al-Madkhal li Dirasah al-Quran al-Karim oleh Muhammad Muhammad Abu Syahbah 348)

 

  1. Mazhab al-Syafi’ie

Di dalam Hawashi al-Minhaj dinyatakan:

إنه ينبغي ألا يكتب المصحف بغير الرسم العثماني، وقال البيهقي في شعب الإيمان: من كتب مصحفا ينبغي أن يحافظ على الهجاء الذي كتبوا به تلك المصاحف ولا يخالفهم فيه ولا يغير مما كتبوه شيئا فإنهم كانوا أكثر علماء وأصدق قلبا ولسانا وأعظم أمانة فلا ينبغي أن نظن بأنفسنا استدراكا عليهم، إلى غير ذلك من أقوال الأئمة في التزام الرسم العثماني

Maksudnya: “Sesungguhnya semestinya tidak ditulis mushaf, lain dari resam Uthmani. Kata al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman: Sesiapa yang menulis mushaf semestinya menjaga huruf-huruf al-Hija’ yang di tulis oleh mereka (para sahabat), tidak menyalahinya dan tidak mengubah apa-apa yang telah ditulis oleh mereka sesuatupun. Kerana sesungguhnya mereka adalah lebih ramai ulama, lebih benar jantung hati dan lidahnya dan lebih kuat amanah. Maka tidak boleh ada sangkaan, kita layak memperbaikinya, dan perkataan-perkataan lain lagi dari para imam yang menunjukkan beriltizam dengan resam uthmani.”

(al-Madkhal li Dirasah al-Quran al-Karim oleh Muhammad Muhammad Abu Syahbah 348)  

 

FATWA SEMASA

  1. Hai-ah Kibar Ulama Saudi

“Sepakat ahli majlis fatwa mengharamkan penulisan al-Quran dengan huruf Latin atau selainnya terdiri dari huruf –huruf bahasa lain (dari bahasa Arab). Demikian itu kerana beberapa sebab:

i. Al-Quran telah diturunkan dengan bahasa Arab pada huruf dan maknanya. Allah berfirman: “Sesungguhnya ia benar-benar penurunan dari tuhan sekalian alam. Diturunkan melalui al-RUh al-Amin ke atas jantung hati mu (Muhammad) agar kamu termasuk dari kalangan mereka yang memberi peringatan dengan lisan Arab yang jelas.” Apa-apa yang tertulis dengan huruf Latin tidak dinamakan al-Quran berdasarkan firman Allah: “Dan demikian itu kami telah wahyukan kepadamu quran yang berbahasa Arab.” Dan berdasarkan firman Allah: “Lisan yang dikatakan diajarkan kepadanya (Muhammad) lisan ajam sedanhgkan al-Quran ini lisan arab yang jelas.”

 

ii. Sesungguhnya al-Quran ditulis ketika penurunannya, himpunannya di zaman Abu Bakar dan Uthman adalah dengan huruf Arab. Seluruh sahabat mempersetujuinya, demikian juga keseluruhan tabi’ien dan mereka yang selepasnya sehinggalah ke zaman kita ini sekalipun wujud orang-orang yang bukan Arab. Telah thabit juga dari sabdaan Nabi SAW: “Hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah para khulafa’ rasyidin selepas daripadaku..” maka wajib memelihara hal ini sebagai beramal dengan apa yang ada di zaman baginda dan para khulafa rasyidin, juga beramal menurut ijmak ummah..

iii. Huruf bahasa-bahasa yang berbagai termasuk dalam perkara yang memiliki maksudnya yang tersendiri. ia terdedah kepada perubahan dengan huruf bahasa lain. Maka dibimbangi jika dibuka kebenaran ini (menulis al-Quran dengan tulisan selain Arab) akan membawa kepada perubahan dalam setiap perkara yang berbeza pada penggunaan. Dibimbangi juga akan menatijahkan berbeza bacaan, dan berlaku kecelaruan. Demikian juga menjadi alat serangan musuh Islam terhadap al-Quran disebabkan perselisihan dan kecelaruan yang berlaku, sepertimana yang berlaku kepada kitab-kitab dahulu. Oleh itu wajib dihalang semua itu sebagai memalihara asas Islam dan menutup kemas pintu keburukan dan kerosakan. 

iv. Dibimbangi jika diberi keringanan atau dipersetujui akan menjadikan al-Quran barang mainan. Maka setiap pihak akan mencadangkan agar ditulis al-Quran menurut tulisan mereka. Tidak diragukan lagi hal sedemikian menjadi sebab perselisihan, maka wajib dipelihara al-Quran dari hal sedemikian sebagai langkah memelihara agama Islam dan memelihara kitab Allah dari dipermain dan wujud kecelaruan.

v. Penulisan al-Quran dengan bukan huruf Arab akan melemahkan umat Islam dari mengetahui bahasa Arab yang berupa perantara untuk mereka beribadah kepada tuhan mereka, memahami dan mempelajari agama Islam.

 

  1. Al-Majma’ al-Fiqh al-Islami

            Majlis fatwa bersetuju dengan sepakat memnyokong keputusan Hai-ah Kibar Ulama di al-Mamlakah al-Arabiyyah al-Saudiah, tidak boleh mengubah tulisan mushaf Uthmani dan wajib kekal dengan tulisan mushaf Uthmani sepertimana ia, agar ia terus menjadi hujah yang kekal tanpa kemasukan sebarang perubahan atau penyelewengan pada teks al-Quran. Demikian juga sebagai menuruti jalan para sahabat, para imam al-Salaf.   

            Adapun berkaitan keperluan pengajaran al-Quran dan memudahkan pembacaannya untuk mereka yang terbiasa dengan tulisan Imla’ie, ianya dapat dilaksanakan melalui cara talqin dari para guru. Di mana pengajaran al-Quran dalam semua keadaan semestinya memerlukan keberadaan guru yang bertanggungjawab mengajarkan mereka yang membesar membaca kalimat-kalimat yang berbeza dengan tulisan Uthmani dari tulisan menurut kaedah Imla’ie yang telah terbiasa. Terutamanya apabila diperhatikan bilangan kalimat-kalimat tersebut sedikit sedangkan pengulangannya sebutannya di dalam al-Quran banyak seperti kalimah al-Solah, al-Samawaat dan seumpamanya. Maka apabila anak muda mempelajari kalimat (al-Quran) menurut tulisan Uthmani, menjadi mudah untuk dia membacanya setiap kali berulang di dalam mushaf.

  1. Dar al-Iftaa al-Misriyyah

Apa hukum menulis teks al-Quran dengan huruf Latin sebagai memberi kemudahan kepada yang bukan Arab, atau yang orang yang baharu memeluk Islam untuk membaca al-Quran melalui tulisan mereka?

Jawapan al-Syeikh Dr. Muhammad Sayyid Tantawi: “Kami mempersetujui apa yang diputuskan oleh Majlis al-Majma’ al-Fiqh al-Islami  dan yang telah dipersetujui secara ijmak oleh anggota-anggotanya keputusan Majlis Hai-ah Kibar Ulama di Saudi Arabiyyah akan tidak bolehnya tulisan mushaf Uthmani dan wajib kekal dengan tulisan Uthmani seperti yang sedia ada….”

 

  1. Majma’ al-Buhuth al-Islamiyyah Kaherah

Telah berlalu perakuan majlis al-Buhuth al-Islamiyyyah pada mesyuarat yang keenam pada 17/1/1970 bahawa al-Quran al-Karim sampai kepada umat Islam sepanjang zaman tertulis dengan tulisan al-‘Uthmani yang terpelihara, sebagai menghalang dari sebarang penyelewengan yang bakal berlaku terhadap lafaz al-Quran al-Karim. Demikian juga tartilnya diwarisi dari satu generasi ke satu generasi dengan penyebutan yang dinukilkan dari Nabi SAW. Ulama umat Islam juga telah menyusun kaedah-kaedah tertentu yang jelas berkaitan ilmu tajwid… demikian juga al-Majma’ dalam mesyuarat yang keempat telah bersepakat bahawa al-Quran al-Karim tidak boleh ditulis melainkan dengan tulisan al-‘Uthmani, juga bahawasanya tidak boleh ditulis al-Quran dengan huruf-huruf Latin.

Pernah ditanya kepada Lujnah fatwa di al-Azhar berkaitan penulisan al-Quran dengan huruf-huruf Latin. Jawapannya:

“Tidak diragukan lagi bahawa huruf-huruf Latin tiada beberapa huruf yang menyamai huruf Arab. Maka huruf-huruf Latin tidak dapat melaksanakan keseluruhan perlaksanaan huruf-huruf Arab.  Jika ditulis al-Quran dengan huruf-huruf Latin menurut susunan Arab – sepertimana yang difahami dari soalan minta fatwa – sudah tentu akan berlaku kecacatan dan penyelewengan pada lafaznya dan menyusulnya perubahan makna dan kerosakan. Nusus syariah telah menetapkan hendaklah dipelihara al-Quran al-Karim dari setiap apa yang mendedahkan al-Quran kepada perubahan dan penyelewengan. Ulama umat Islam salaf dan khalaf telah bersepakat bahawa setiap perlakuan pada al-Quran yang boleh membawa kepada mengubah lafaz atau maknanya adalah terlarang sama sekali dan diharamkan dengan pengharaman yang putus. Sesungguhnya para sahabat RA dan umat Islam selepas mereka sehingga ke hari ini telah beriltizam dengan penulisan al-Quran dengan huruf-huruf Arab.” 

 

Pada tahun (1355H = 1936M) sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan di Mesir yang terdiri daripada ulama al-Azhar untuk perundingan menetapkan tafsiran Arab yang tepat, sebagai persiapan untuk terjemahannya oleh jawatankuasa teknikal terpilih, bagi melaksanakan keputusan Kabinet Mesir yang diadakan pada (16/04/1936M), susulan cadangan Sheikh al-Azhar pada masa itu; dan jawatankuasa ini telah menetapkan beberapa ciri kawalan untuk perlaksanaannya, yang terpenting adalah:

• Tidak dibenarkan menulis al-Quran dalam huruf bukan Arab, sebagai berhati-hati dari berlaku perubahan pada bahasa Arabnya.

• Terjemahan itu dinamakan terjemahan tafsiran al-Quran atau tafsiran al-Qur'an dalam bahasa (sekian.. sekian…), dan dilarang dinamakan terjemahan al-Qur'an.

• Lebih baik terjemahan didahului dengan (nama) tafsir terjemahan, kerana ia lebih dapat menolak keraguan. Padanya juga terdapat penetapan untuk terjemahan bahawa ia adalah tafsir bukan lafaz al-Quran.

 

  1. Dr. Yusuf al-Qaradhawi

 

Kadang-kala mungkin dalam keadaan terlalu terdesak, diberikan keringanan kepada sebahagian orang yang menjadi sukar ke atas mereka mempelajari melalui musyafahah, ditulis untuk mereka surah al-Fatihah sebagai contoh dan sebahagian ayat atau surah-surah pendek, untuk dibaca di dalam solat. Diletakkan juga beberapa tanda lazim berperanan sebagai penerang bagi memastikan betul sebutan. Ia bertujuan membantu hafalan beberapa kalimat yang dituturkan dalam bahasa Arab, dan dirujuk sebutannya kepada individu yang tahu bahasa Arab sehingga pasti kebenaran sebutannya. Setelah mampu menghafal dengan sempurna, tiada lagi keperluan untuk mengekalkan teks yang ditulis dengan huruf Latin itu, kerana telah terlaksana keperluan kepadanya.

Barangkali antara bukti yang  boleh menyokong keringanan ini dengan syarat-syaratnya dan dalam batas-batasnya, iaitulah apa yang telah disepakati oleh umat Islam, bolehnya penulisan teks al-Quran dengan huruf Arab selain resam Uthmani, bahkan dengan resam Imla’ie yang telah terbiasa. Demikian itu untuk tujuan bukan penulisan mushaf, seperti untuk buku-buku pengajaran, majalah-majalah keagamaan dan selainnya dengan niat memberi kemudahan dan keringanan ke atas majoriti orang yang belum terlatih membaca resam Uthmani. (Sumber: https://www.al-qaradawi.net/node/4340)



[1] Al-Mukjizah al-Kubra 611

Cetak
Wallahu a'lam