Majlis Ilmu Fiqh, Hadis, Tafsir Termasuk Majlis Zikir

Dakwah Jumlah paparan: 1695

alSyeikh 'Abd alRazzaq bin 'Abd alMuhsin alBadr berkata:

Termasuk perkara yang mesti difahami oleh seorang muslim, bahawa Zikrullah Taala tidak dikhususkan kepada majlis-majlis yang disebut di dalamnya nama Allah dengan bertasbih, bertakbir, bertahmid dan seumpamanya. Bahkan ia merangkumi apa-apa majlis yang disebut di dalamnya perintah dan tegahan Allah, halal dan haram, apa yang disukai dan diredhai oleh Allah. Bahkan barangkali zikir seperti ini adalah lebih bermanfaat dari zikir yang hanya semata-mata menyebut nama Allah. Ini kerana mengetahui halal dan haram adalah kewajipan dalam beberapa berkara ke atas setiap muslim. Adapun zikirullah dengan lisan, kebanyakannya adalah sunat, kadang-kala ia menjadi wajib seperti zikir di dalam solat fardhu. Adapun mengetahui perintah Allah, apa-apa yang disukai, diredhaiNya dan apa-apa yang tidak disukaiNya adalah menjadi kewajipan ke atas setiap orang yang perlu mengetahuinya.

Kerana itu, Ibn Mas'ud RA, apabila beliau menyebut hadis Nabi SAW yang bermaksud:

 "Taman-tama syurga itu adalah halaqah-halaqah zikir."

Beliau berkata:

"adapun aku tidak memaksudkan alQussas (penceramah-penceramah yang menyebut kisah pengajaran), akan tetapi (aku maksudkan) halaqah-halaqah fiqh." Diriwayatkan juga dari Anas perkataan yang sama dengan ini. 

Kata 'Athoo alKhurasaniy: "Majlis zikir adalah majlis (menerangkan) halal dan haram, bagaimana kamu hendak berjual-beli, bagaimana kamu hendak menunaikan solat, berpuasa, bernikah, tentang talak dan seumpamanya."

Kata Yahya bin Abi Kathir: "pembelajaran fiqh itu adalah (seperti) solat."

Dahulunya Abu alSawwar al'Adawi dalam satu halaqah ilmu, bersama dengan mereka ketika itu seorang pemuda yang berkata:

"sebutlah subhanallah walhamdulillah." Maka marahlah Abu alSawwar dan beliau berkata: "binasa kamu, jika demikian, sekarang ini kita sedang berada dalam majlis apa (bukankah halaqah ilmu ini adalah majlis zikir mengingati Allah?)." Athar (riwayat-riwayat dari generasi selepas Nabi) tentang hal yang sama seperti ini amat banyak.

Oleh kerana itu pusat-pusat ilmu, universiti-universiti islam, sekolah-sekolah agama dan seumpamanya yang memberi tumpuam pengajaran ilmu islam kepada orang ramai, menjelaskan halal dan haram, kebenaran dan kebatilan, petunjuk dan kesesatan, dibaca ayat-ayat alquran di dalamnya, diajarkan hadis-hadis Rasulullah SAW, disebarkan ilmu, maka ia tanpa ragu termasuk majlis-majlis zikir yang dianjurkan di dalam syariat kita untuk bersama dengan mereka dan mengambil faedah dari mereka."

Cetak
Wallahu a'lam