SDI 0884: Betul ke guna tisu basah baby wipes tetap tidak menghilangkan najis?

Soalan: 

Betul ke guna tisu basah baby wipes tetap tidak menghilangkan najis? Akhirnya najis yg kekal ada pada badan bayi berpindah ke merata rumah? Betul ke ustz?

Jawapan:

Dakwaan tersebut bukan suatu yang PUTUS, MUKTAMAD atau MESTI DEMIKIAN, TIDAK SELAINNYA. Hal ini sedemikian kerana para ulama berbeza pandangan dalam persoalan apakah najis mesti dihilangkan dengan air atau tidak semestinya.

Satu yang perlu disedari bahawa keempat-empat para imam mazhab sepakat bahawa menghilangkan kotoran najis tidak disyaratkan dari perbuatan manusia dan tidak disyaratkan juga niat. Najis tetap dihukum hilang dan tempat yang terkena najis itu dihukum suci sekalipun dengan curahan air hujan dari langit.

Ini menunjukkan, perbuatan menghilangkan najis dan kotoran itu, ia bukanlah ibadah yang dimaksudkan sehingga hanya cara tertentu sahaja diterima dengan syarat-syarat tertentu pula pada sebahagian ulama. Sebaliknya yang dikehendaki oleh agama dengan perintah menghilangkan najis ialah agar umat islam menjauhkan diri lagi bebas dari najis dan kotoran. Oleh itu apa-apa sahaja cara yang dapat menghasilkan maksud ini (bebas dari najis), maka ia diterima.

Satu benda yang suci seperti badan bayi atau apa-apa yang terkena najis, dihukum sebagai bernajis apabila ada najis (keberadaan najis pada perkara suci dinamakan illah yang menjadikan benda asal suci itu dihukum bernajis). Apabila hilang najis (hilang illah), maka badan bayi yang asalnya suci itu kembali kepada hukum asalnya sebagai suci, dengan apa cara sekalipun najis itu dihilangkan. Yang penting najis itu telah hilang dan dinyahkan. Inilah yang dimaksudkan dengan kaedah:

الحكم يدور مع علته وجودا وعدما

Sesuatu hukum beredar bersama sebabnya (illahnya), samada keberadaan atau ketiadaannya (hukum tersebut).

Inilah pandangan yang disebut oleh syeikh alIslam Ibn Taimiyyah RH.

Oleh itu, menghilangkan najis dengan tisu basah (baby wipes) dengan dipastikan hilang sifat-sifat najis tersebut terdiri dari bau, warna dan rasa MENSUCIKAN badan bayi dan menjadikannya tidak bernajis lagi.


Cetak  
Wallahu a'lam