SDI 0822: Wanita Yang Bermusafir Tanpa Mahram Tak Boleh Buat Solat Qasar dan Jamak?

 
Soalan: 
Assalamualaikum ustaz. Bagaimanakah pandangan Islam tentang hal ini? Jazakallahu khayra.
 
Jawapan:
Waalaikumussalam warahmatullah.
Mungkin ustaz yang ditanya berpegang kepada pandangan haram seorang wanita bermusafir tanpa mahram. Lalu terus beliau mengatakan perempuan yang bermusafir tanpa mahram telah melakukan maksiat. Oleh itu pelaku maksiat tidak boleh mengambil keringanan (rukhsah) yang disediakan oleh agama. Membenarkan seorang yang bermaksiat mengambil rukhsah solat qasar dan jamak adalah perbuatan menolong dia dalam melakukan maksiat. Hal ini adalah dilarang. Hal ini tidak khusus kepada wanita sahaja sebaliknya kepada lelaki juga, jika prrmusafirannya adalah bertujuankan maksiat. Maka sebahagian para ulama tidak membolehkan qasar dan jamak bagi mereka. Inilah pandangan majoriti.
 
Namun, pandangan majoriti yang tidak membenarkan qasar dan jamak ini adalah bagi permusafiran yang BERTUJUANKAN maksiat seperti bermusafir untuk mencuri, memutuskan silaturrahim atau seumpamanya. Manakala jika musafir itu BUKAN bertujuan maksiat, sebaliknya bertujuan perkara yang dibenarkan, namun dalam permusafiran yang harus atau dibenarkan itu bercampur pula dengan maksiat, maka TIADA HALANGAN untuk mengambil keringanan qasar dan jamak. Di dalam Tuhfah alMuhtaj Syarh alMinhaj dari mazhab alSyafi'ie dinyatakan:
 
ﺃﻣﺎ ﺍﻟﻌﺎﺻﻲ ﻓﻲ ﺳﻔﺮﻩ، ﻭﻫﻮ ﻣﻦ ﻳﻘﺼﺪ ﺳﻔﺮﺍ ﻣﺒﺎﺣﺎ ﻓﻴﻌﺮﺽ ﻟﻪ ﻓﻴﻪ ﻣﻌﺼﻴﺔ ﻓﻴﺮﺗﻜﺒﻬﺎ، ﻓﻴﺘﺮﺧﺺ؛ ﻷﻥ ﺳﺒﺐ ﺗﺮﺧﺼﻪ ﻣﺒﺎﺡ ﻗﺒﻠﻬﺎ ﻭﺑﻌﺪﻫﺎ
 
Maksudnya: "dan adapun seorang yang bermaksiat dalam permusafirannya iaitulah sesiapa yang memaksudkan permusafiran yang harus, namun dia berhadapan dengan maksiat dalam permusafirannya itu sehingga dia melakukannya, maka dia boleh mengambil keringanan (qasar dan jamak), kerana sebab untuk dia mengambil keringanan ini adalah perkara harus, sebelum dan sesudahnya (maksiat tersebut)."
 
Berdasarkan ini, saya berpandangan kenyataan ustaz yang diajukan solan itu tidak tepat. Sebaliknya wanita yang bermusafir tanpa mahram masih boleh melakukan solat qasar dan jamak (sekalipun bagi mereka yang berpandangan haram wanita bermusafir semata-mata tanpa mahram) selagi musafirnya itu bertujuankan perkara yang harus dan bukan maksiat.

Cetak  
Wallahu a'lam