Huraian Matla' al-Badrain: Bab Ahkam Taharah (1)

Fiqh dan Usul Jumlah paparan: 1286

Ahkam al-Taharah

Kata mualif, al-Syeikh Muhammad bin Ismail Daud Fatani RH:

Kitab Ahkam al-Taharah

Ini suatu kitab pada menyatakan hukum bersuci (bermula) segala air yang sah buat bersuci dengan dia barang yang turun daripada langit atau yang keluar daripada bumi seperti air hujan dan air embun dan lainnya dan air laut dan air sungai dan air mata air dan lainnya atas barang mana sifat ada ia daripada asal kejadiannya.

 

HURAIAN

Kalimah kitab (كِتاب) dalam bahasa Arab bermaksud himpun dan kumpul (الضَّمُّ والجَمْعُ). Maka apabila dikatakan وكَتَبَ  ia bermaksud seseorang yang menulis dengan pena yang padanya terdapat perbuatan menghimpunkan kalimat dan huruf. 

Kalimah taharah (الطَّهارَةُ) adalah kata terbitan dari طَهُرَ atau طَهَرَ , dan bacaan huruf ha difathahkan adalah lebih afsah (أفْصَحُ) – طَهَرَ- يَطْهُرُ  pada bahasa ialah bermaksud kebersihan dan bebas dari kotoran hissi mahupun maknawiyyah

Pada syarak ia bermaksud perbuatan yang membolehkan solat - atau apa-apa yang berada pada hukumnya (hukum taharah) - seperti wudhu bagi orang yang tidak dalam keadaan berwudhu, mandi bagi yang wajib mandi dan menghilangkan najis dari pakaian, badan dan tempat.

 

Kata muallif RH:

“(bermula) segala air yang sah buat bersuci dengan dia barang yang turun daripada langit…”

Asas perkara ini adalah firman Allah SWT:

وَأَنزَلۡنَا مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءٗ طَهُورٗا ٤٨

Maksudnya: “…dan Kami turunkan dari langit air yang membersihkan.” (al-Furqan: 48)

Air yang turun dari langit ada tiga, seperti kata muallif: “…air hujan dan air embun dan lainnya…” dan satu lagi adalah air salji. Di dalam Mughniy al-Muhtaj menyebut tiga jenis air yang turun dari langit adalah: المَطَرُ، وذَوْبُ الثَّلْجِ والبَرَدِ iaitulah air hujan, air cairan dari salji dan al-Barad yang makna sebenarnya ialah hujan batu bukan air embun. Di dalam al-Misbah al-Munir oleh al-Fayumi 1/249 dinyatakan:

البَرَد (بفتحتين): شيءٌ ينزِلُ مِن السَّحابِ يُشبِهُ الحصى

Maksudnya: “al-Barad (dengan dibaca fathah huruf Ba’ dan Dal) adalah sesuatu yang turun dari awan (hujan) menyerupai betu-batu kecil.”

Al-Zabidiy (الزَّبيديُّ) di dalam Taj al-‘Urus 7/413 menyatakan:

البَرَدُ بالتَّحريك: حَبُّ الغَمَامِ. وعبَّرَه اللَّيثُ فقال: مَطَرٌ جامدٌ

Maksudnya: “al-Barad ialah butiran Ghamam, dan diibaratkan oleh al-Laith sebagai hujan yang berbeku.”

 al-Mausu‘ah al-Kuwaitiyyah 39/355 dinyatakan:

ماءُ البَرَدِ وهُوَ ما نَزَل مِنَ السَّماءِ جامِدًا ثُمَّ ماعَ عَلى الأْرْضِ، ويُسمّى حَبُّ الغَمامِ وحَبُّ الْمُزْنِ

Maksudnya: “Air al-Barad iaitulah apa yang turun dari langit dalam bentuk berbuku, kemudian mencair di atas bumi. Dinamakan juga sebagai hab al-Ghamam dan Habb al-Muzn.”

Kalimah طَهُورٗا yang ada di dalam ayat ini bermaksud مُطَهِّرًا iaitulah yang membersihkan. Ia dinamakan juga sebagai air mutlaq. Air adalah asas sebagai alat bersuci atau taharah. Di samping itu ada pula alat bersuci yang badal atau gantian seperti tanah dan batu untuk istinja’.

 

Kata muallif RH:

“…atau yang keluar daripada bumi…”

Kerana mengambil kira air yang menyucikan (طَهُورٗا) yang dilihat dengan mata kepala ia keluar dari bumi. Ia ada empat iaitulah kata muallif: “…dan air laut dan air sungai dan air mata air dan lainnya…” yang berpada dengan menyebut tiga secara jelas dan dengan ungkapan: “…dan lainnya…”.

Di dalam Mughniy al-Muhtaj disebut empat jenis air yang keluar dari bumi ialah: ماءُ العُيُونِ، والآبارِ، والأنْهارِ، والبِحارِ  iaitulah air mata air, air telaga, air sungai dan air laut.

 

Kata muallif RH:

“…atas barang mana sifat ada ia daripada asal kejadiannya.”

Iaitulah air yang kekal berada pada sifat asal kejadiannya (الباقي على أصل خلقته), disebut juga sebagai air yang kena padanya nama air tanpa kaitan lain (ما يَقَعُ عَلَيْهِ اسْمُ ماءٍ بِلا قَيْدٍ).

 

BAHAGIAN AIR

Kata muallif RH:

“(kemudian) adalah air terbahagi ia atas empat bahagian. (pertamanya) suci pada dirinya lagi menyucikan bagi yang lainnya tiada makruh isti’malnya…”

Pembahagian air kepada empat bahagian yang dimaksudkan ialah dari sudut air yang boleh dibuat bersuci dan air yang tidak boleh dibuat bersuci ada empat jenis.

  1. Pertama iaitulah air yang suci pada dirinya lagi menyucikan bagi yang lainnya. Tiada makruh isti’malnya, bermaksud tiada makruh menggunakannya. Hal ini kerana di sisi mazhab Syafi’ie terdapat air yang suci pada dirinya lagi menyucikan bagi yang lain, namun makruh isti’malnya, iaitulah makruh menggunakannya. Insya Allah akan dijelaskan nanti apabila sampai perbincangan tentang air musyammas.

 

Kata muallif RH:

“…dan yaitu air yang mutlaq daripada qaid yang lazim…”

Air yang suci pada dirinya lagi menyucikan bagi yang lainnya, tiada makruh isti’malnya itu adalah Air Mutlaq, iaitulah air yang kekal berada pada sifat asal kejadiannya (ما بقي على أصل خلقته), disebut juga sebagai air yang boleh diberi padanya nama sebagai air tanpa dikaitkan dengan yang lain (ما يَقَعُ عَلَيْهِ اسْمُ ماءٍ بِلا قَيْدٍ), sama ada kaitan idhafah seperti ماء ورْدٍ, sifat seperti ماءٌ دافِقٌ mahupun ‘ahd seperti dalam hadis: نَعَمْ إذا رَأتْ الماءَ  iaitulah air mani yang dinamakan juga sebagai air di dalam hadis, yang dapat difahami berdasarkan kisah pengucapan Nabi SAW tersebut. Qaid atau kaitan atau keterikatan yang mesti sebegini, di mana air tersebut tidak boleh berpada dengan menyebutnya sebagai air sahaja tanpa disandarkan kepada perkara lain, sama ada penyandaran kaitan itu sebagai nama air, sifat air atau ia dinamakan air semata-mata berdasarkan kerana ia sedia difahami membawa maksud air tertentu bukan air mutlaq, maka semua air yang memerlukan keterikatan sebegini tidak termasuk dalam kumpulan air mutlaq, kerana ia memerlukan qaid yang lazim seperti yang dinyatakan oleh mualif.

Berbeza ماء البِئْرِ iaitulah air telaga, ماء البحر iaitulah air laut dan ماء النهر iaitulah air sungai. Sekalipun ia tersusun secara idhafah yang dijadikan sebagai kata nama, namun ia bukan qaid lazim, kerana air laut, air telaga dan air sungai boleh diitlaqkan sebutan air kepadanya tanpa perlu dikaitkan kepada perkataan telaga, laut ataupun sungat.  

 

Kata muallif RH:

“…maka tiada memberi mudarat qaid yang berurai pada keadaannya mutlaq seperti air telaga atau air sungai atau lainnya dan keluar dengan qaid yang terurai qaid lazim seperti air tebu dan air nyur dan umpamanya.”

Perkataan muallif: "maka tiada memberi mudarat qaid yang berurai pada keadaannya mutlaq seperti air telaga…" iaitulah seperti perkataan al-Khatib al-Syarbini di dalam al-Iqna’ yang berkata ketika menerangkan maksud air mutlaq:

وهُوَ ما يَقع عَلَيْهِ اسْم ماء بِلا قيد بِإضافَة كَماء ورد أو بِصفة كَماء دافق أو بلام عهد كَقَوْلِه ﷺ نعم إذا رَأتْ الماء يَعْنِي المَنِيّ قالَ الوَلِيّ العِراقِيّ ولا يحْتاج لتقييد القَيْد بِكَوْنِهِ لازِما لِأن القَيْد الَّذِي لَيْسَ بِلازِم كَماء البِئْر مثلا ينْطَلق اسْم الماء عَلَيْهِ بِدُونِهِ فَلا حاجَة للِاحْتِراز عَنهُ وإنَّما يحْتاج إلى القَيْد فِي جانب الإثْبات كَقَوْلِنا غير المُطلق هُوَ المُقَيد بِقَيْد لازم

Maksudnya: “ia (air mutlaq) ialah apa-apa yang berlaku atasnya nama air tanpa (perlu) kaitan dengan idhafah, seperti air mawar, atau (tanpa perlu kaitan) dengan sifat seperti air dafiq atau (tanpa perlu) dengan kaitan Lam ‘Ahd seperti sabda Baginda SAW: “Ya, apabila seseorang perempuan itu melihat air.” Iaitulah air mani (baginda berpada menyebut air bagi memaksudkan air mani, kerana huruf Alif dan Lam pada kalimah الماء di atas telah terbiasa atau sedia dimaklumi pada akal pendengar ia memaksudkan air mani berdasarkan susunan ayat). Kata al-Waliy al-‘Iraqi: “dan tidak perlu mengaitkan sesuatu kaitan (kepada air mutlaq) kerana hal keadaannya suatu yang mesti (sebagai air), kerana kaitan yang bukan mesti seperti air telaga, (boleh juga) disebutkan padanya nama air tanpa sebarang kait. Maka tidak perlu menjauhinya (tidak menyebut air sahaja). Sebaliknya diperlukan kepada qaid pada sisi mensabitkan seperti perkataan kita: “tidak mutlaq” iaitulah mengkaitkannya dengan qaid lazim.”  

Bagus juga ditambah di sini perkataan al-Imam al-Nawawi di dalam Minhaj al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin:

فالمتغير بمستغنى عنه كزعفران تغيرا يمنع إطلاق اسم الماء غير طهور ولا يضر تغير لا يمنع الاسم ولا متغير بمكث وطين وطحلب وما في مقره وممره وكذا متغير بمجاور كعود ودهن أو بتراب طرح فيه في الأظهر

Maksudnya:  “Maka air yang berubah dengan sesuatu (yang suci) yang boleh dielakkan seperti za’faran dalam keadaan perubahan yang terhalang dari diitlaqkan nama air, tidak tahur, dan tidak mengapa perubahan yang tidak menghalang penamaan (sebagai air), tidak mengapa juga dengan air yang berubah disebabkan lama menetap, disebabkan tanah dan disebabkan lumut yang terapung di,permukaan air dan apa-apa yang berada di tempat tinggal air dan tempat laluannya. Demikian juga air yang berubah disebabkan dengan mujawir (tidak larut) seperti ‘ud dan duhn (minyak) atau dengan sebab tanah yang dibuang ke dalamnya pada pandangan al-Azhar.”

Cetak
Wallahu a'lam