Perbezaan Antara Usul Fiqh Dan Kaedah Fiqhiyyah

Fiqh dan Usul Jumlah paparan: 2557

 

Assalamu‘alaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Soalan dari Ibn Salam berkaitan perbezaan antara Usul Fiqh dan Kaedah Usul Fiqh.

Usul Fiqh ialah yang kita pelajari sekitar dalil-dalil syarak. Seperti contoh kita mempelajari apa itu al-Quran, apa itu al-Sunnah, apa yang dimaksudkan dengan kedua-duanya, apa yang dimaksudkan dengan qat’iyyatud dilalah, qat’iyyatus subuth, sebagai contoh.

Kita pelajari dalil-dalil syarak, seperti contoh; qiyas, apa itu qiyas, rukun-rukun qiyas. Apa itu ijmak, dakwaan-dakwaan ijmak, ijmak sukuti, ijmak Sahabi, demikian juga kita mempelajari dalil-dalil yang lain seperti istihsan, istishab dan lain-lain. Semua ini kita pelajari dalam Usul Fiqh. Dalam ilmu Usul Fiqh itu pula ada kaedah-kaedah atau Al-Qawaid Al-Usuliyyah Al-Fiqhiyyah. Ada di dalamnya kaedah-kaedah Usul Fiqh yang disebut, sebagai contoh الأمر للوجوب yang bermaksud “Sesuatu perintah dari Allah dan Rasul membawa hukum wajib.” Bila kita dah kenal apa itu al-Quran, apa itu al-Sunnah, pembahagian-pembahagiannya, kita dah tahu apa itu qiyas, kita dah tahu rukun-rukun qiyas, kita dah tahu dan kenal ijmak, pembahagian-pembahagian ijmak. Maka di dalam tu kita temui, kita pelajari pula kaedah-kaedah usul di dalam tu. Antaranya الأمر للوجوب maka perintah yang ada di dalam al-Quran dan al-Sunnah mendatangkan hukum wajib. Ini perbezaan antara Usul Fiqh dengan Kaedah Usul Fiqh.

Berbeza pula dengan al-Qawaid al-Fiqhiyyah,. Di mana al-Qawaid al-Fiqhiyyah adalah kaedah-kaedah kulliyyah dan aghlabiyyah, dia bukan setiap persoalan, sebaliknya kebanyakan persosalan. Ada pula perkara-perkara yang terkeluar dari kaedah. Jadi apadia dia kaedah fiqhiyyah ni?

Kaedah Fiqhiyyah ialah kaedah yang menghimpunkan di dalamnya persoalan-persoalan fikah yang sama dan serupa. Inilah kaedah fiqhiyyah.

Jadi, Usul Fiqh ialah ilmu yang membahaskan tentang perkara-perkara usul yang perlu diketahui bagi mengetahui hukum-hakam fiqhiyyah. Ataupun ia merujuk kepada ilmu usul yang perlu dipelajari dan diketahui untuk kita berinteraksi dengan dalil-dalil syarak. Supaya dengan ilmu tersebut kita dapat mengeluarkan hukum dari dalil-dalilnya. Itu ilmu usul fiqh. Dalam ilmu itu, ada pula kaedah usul fiqh seperti الأمر للوجوب iaitulah perintah yang datang dari Allah dan rasul itu menunjukkan wajib, النهي للتحريم iaitulah tegahan yang datang dari Allah dan rasul itu pula menunjukkan pengharaman atau tegahan. Itu kaedah usul fiqh.

Manakala kaedah fiqhiyyah pula adalah himpunan-himpunan persoalan yang sama dan serupa, duduk di dalam satu kaedah. Sebagai contoh اليقين لا يزول بالشك iaitulah perkara yang yakin tidak boleh dihilangkan dengan keraguan. Jadi semua persoalan-persoalan fekah, contoh seorang tanya soalan pada kita: “Saya selepas solat Zohor, saya duduk di dalam masjid, kemudian setelah bersembang dengan kawan sehinggalah masuk waktu Asar. Apabila masuk waktu Asar perlukan saya berwudhu pula?” Kita tanya kepada dia: “Anda yakin anda dalam berwudhu?” Dia jawab: “memanglah saya berwudhu, kerana hendak menunaikan solat Zohor tadi, kemudian saya tunggu sehingga waktu Asar, cumanya saya tak pasti apakah ketika saya bersembang tadi apakah saya ada terkentut atau tidak,” sebagai contoh. Maka kita tanya pula kepadanya, “kentut itu anda yakin atau ragu?” dia jawab: “Saya tidak yakin, tapi ragu dan barangkali” Maka kita jawab: “Sesuatu yang yakin tidak boleh dihilangkan di batalkan dengan sesuatu yang syak. Berdasarkan kaedah اليقين لا يزول بالشك.” Jadi semua hukum-hakum furu’ yang sama dan serupa dengan situasi ini duduk di bawah satu kaedah iaitulah اليقين لا يزول بالشك.

Contoh lain, datang seorang, dia kata: “Saya duduk di rumah, ketika bergurau dengan isteri, saya ikat tangan isteri saya. Isteri saya kata: “Lepaskan saya, lepaskan saya”, dia juga bergurau. Lalu saya kata: “Baik, sekarang saya lepaskan awak.” Maksudnya saya lepaskan ikatan tali di tangan isteri saya. Lalu orang ini tanya: “Saya telah katakan kepada isteri: “Sekarang saya lepaskan awak. Apakah jatuh talak?” Jawapannya, tidak jatuh talak. Kerana tiada kaitan langsung dengan perceraian. Ungkapan “lepas” yang dimaksudkan ialah melepaskan tali ikatan di tangan bukan melepaskan ikatan perkahwinan. Tidak jatuh talak. Ia masuk di dalam bawah kaedah الأمور بمقاصدها iaitulah “Setiap perkara itu menurut tujuannya.”

Jadi semua persoalan-persoalan furuk atau cabang fekah yang sama dan serupa diletakkan di bawah bumbung atau di dalam rumah kaedah yang satu. Inilah kaedah fiqhiyyah. Berbeza dengan kaedah usul, di mana kaedah itu diletak bagi memahami sesuatu perintah dari Allah dan Rasul. Inilah penjelasan mudah untuk dapat membezakan antara kaedah usul fiqh dan kaedah fiqhiyyah.

Cetak
Wallahu a'lam