SDI 0086: Hukum Guna Harta Dari Sumber Yang Haram

Thursday, September 25, 2008


Soalan: 
Bagaimana jika pelakon atau penyanyi menggunakan wang yang diperolehi dari nyanyian atau lakonan digunakan untuk bersedekah?

Jawapan:

1) Asal lakonan dan nyanyian adalah termasuk dalam perkara yang HARUS di dalam Islam. Cuma ia menjadi terlarang apabila lakonan dan nyanyian itu tidak memenuhi adab-adab dan akhlak Islam seperti mendedahkan aurat, pergaulan lelaki dan wanita yang tidak terkawal, berlakunya sentuh-menyentuh, peluk-memeluk sesama mereka dan banyak perkara-perkara haram yang lain lagi.

2) Harta haram terbahagi kepada dua:

i. Harta itu sendiri merupakan harta yang haram seperti harta yang diperolehi dari mencuri, menyamun, merampas dan seumpamanya. Harta haram dalam kategori ini, haram dimanfaatkan oleh si pelaku atau orang lain yang mengetahui harta itu dicuri dan seumpamanya, kerana harta seperti ini wajib dikembalikan kepada pemiliknya.

Cuma jika ada keuzuran untuk memulangkan semula harta sebegini kepada tuannya, seperti tuan harta tersebut gagal dihubungi, demikian juga warisnya, maka harta ini boleh digunakan untuk kepentingan umat Islam seperti membina masjid dan seumpamanya. Jika tuan harta atau warisnya boleh dihubungi wajib mengembalikan harta tersebut kepada mereka.

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah berkata:

إذا كانت الأموال قد أخذت بغير حق وقد تعذر ردها إلى أصحابها ككثير من الأموال السلطانية ; فالإعانة على صرف هذه الأموال في مصالح المسلمين كسداد الثغور ونفقة المقاتلة ونحو ذلك : من الإعانة على البر والتقوى ; إذ الواجب على السلطان في هذه الأموال - إذا لم يمكن معرفة أصحابها وردها عليهم ولا على ورثتهم - أن يصرفها - مع التوبة إن كان هو الظالم - إلى مصالح المسلمين . هذا هو قول جمهور العلماء كمالك وأبي حنيفة وأحمد وهو منقول عن غير واحد من الصحابة وعلى ذلك دلت الأدلة الشرعية . . .

Maksudnya: “Jika harta-harta itu telah diambil tanpa hak dan ia tidak dapat dikembalikan kepada pemilik asalnya seperti kebanyakan harta pemerintah (yakni yang dirampas secara tanpa hak oleh pemerintah), maka harta seperti ini hendaklah diuruskan untuk kepentingan umat Islam seperti membiaya kawalan sempadan Negara umat Islam, menampung perbelanjaan para tentera dan seumpamanya yang termasuk dalam membantu perkara-perkara yang baik dan taqwa, di mana wajib ke atas pemerintah terhadap harta-harta sebegini, jika tidak dapat dikenal-pasti pemilik-pemiliknya untuk dikembalikan kepada mereka atau kepada waris mereka, hendaklah harta-harta itu diuruskan untuk kepentingan umat Islam di samping perlu bertaubat jika harta itu diambil secara zalim. Inilah pandangan kebanyakan ulama seperti Malik, Hanafi dan Ahmad, Ia juga merupakan pandangan yang dinukilkan dari ramai sahabat… ” (al-Siyasah al-Syar’iyyah, ms. 35)

2. Harta yang menjadi haram disebabkan usaha mendapatkannya itu dengan cara yang haram seperti harta yang diperoleh dari menjual khamar, atau berinteraksi dengan riba, atau bayaran nyayian (yang haram), bayaran daripada zina dan seumpamanya. Harta sebegini haram ke atas pelakunya sahaja.

Adapun jika harta ini diserahkan kepada orang lain dengan cara yang dibenarkan, orang yang menerima harta itu HARUS menggunakannya. Maka harta dalam ketegori ini boleh digunakan untuk kepentingan umat Islam, disedekahkan, digunakan untuk membina masjid, untuk perbelanjaan anak-anak dan isteri dan ia tidak menjadi haram kepada mereka menggunakannya. Sebaliknya haram kepada sipelakunya sahaja, iaitu yang berusaha mendapatkan harta dari jalan yang haram dan menggunakannya. Bukti dalam perkara ini boleh diambil dengan tindakan Nabi SAW yang berurusniaga dengan orang Yahudi di Madinah dan menerima pemberian mereka, dalam keaadaan Nabi SAW sedia maklum Yahudi Madinah sentiasa berinteraksi dengan riba. Jalan untuk bertaubah dari harta seumpama ini ialah dengan membebaskan diri darinya dan menggunakannya untuk kebaikan seperti membina masjid dan seumapamanya.

Al-Imam al-Nawawi di dalam al-Majmu’ (9/330) berkata:

قال الغزالي : إذا كان معه مال حرام وأراد التوبة والبراءة منه - فإن كان له مالك معين - وجب صرفه إليه أو إلى وكيله , فإن كان ميتا وجب دفعه إلى وارثه , وإن كان لمالك لا يعرفه ويئس من معرفته فينبغي أن يصرفه في مصالح المسلمين العامة , كالقناطر والربط والمساجد ، ونحو ذلك مما يشترك المسلمون فيه , وإلا فيتصدق به على فقير أو فقراء . . . وهذا الذي قاله الغزالي ذكره آخرون من الأصحاب , وهو كما قالوه , لأنه لا يجوز إتلاف هذا المال ورميه في البحر , فلم يبق إلا صرفه في مصالح المسلمين , والله سبحانه وتعالى أعلم

Maksudnya: “al-Ghazali (yakni Imam al-Ghazali) berkata: “Jika seseorang memiliki harta yang haram atau dia mahu bertaubat dan bebas dari harta yang haram tersebut – jika harta tersebut masih ada pemiliknya – wajib menyerahkannya kepada pemiliknya itu atau kepada wakilnya, jika pemiliknya telah mati, wajib menyerahkannya kepada warisnya. Jika pemiliknya tidak dapat dikenal-pasti dan telah habis harapan untuk mengenali pemiliknya, maka harta itu hendaklah diuruskan untuk kepentingan umat Islam keseluruhannya seperti membina jambatan, membina kawalan sempadan negara, membina masjid dan seumpamanya yang boleh diambil manfaat oleh semua umat Islam, jika tidak dia boleh bersedekah kepada orang fakir dan miskin.” Inilah yang dinyatakan oleh al-Ghazali dan selainnya dari kalangan al-Ashab, Hukum dalam perkara ini adalah seperti yang mereka nyatakan, ini kerana tidak harus memusnahkan harta ini atau membuangnya ke laut, tidak ada jalan lain melainkan menggunakannya untuk kepentingan umat Islam, wallahu subhanahu wa taala a’lam.”

al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-'Uthaimin pula ketika ditanya tentang hukum solat di dalam masjid yang dibina dari harta yang haram menjawab:

" الصلاة فيه جائزة ولا حرج فيها ؛ لأن الذي بناه من مال حرام ربما يكون أراد في بنائه أن يتخلص من المال الحرام الذي اكتسبه ، وحينئذٍ يكون بناؤه لهذا المسجد حلالاً إذا قصد به التخلص من المال الحرام ، وإن كان التخلص من المال الحرام لا يتعين ببناء المساجد ، بل إذا بذله الإنسان في مشروع خيري حصلت به البراءة

Maksudnya: "Harus solat di dalamnyadan tidak ada masalah. Kerana masjid yang dibina dari harta yang haram barangkali orang yang membinanya hendak membebaskan dirinya dari harta haram yang telah diusahakannya. Ketika itu, pembinaan masjid itu adalah halal, jika ia bertujuankan hendak bebas dari harta yang haram. Sekalipun untuk bebas dari harta yang haram tidak terhenti dengan cara membina masjid sahaja, bahkan jika dia serahkan kepada orang lain dalam projek yang baik (yang lain) juga tercapai tujuan untuk bebas dari harta haram tersebut." (Majmu' Fatawa Ibn 'Uthaimin 12/soalan bil 304. Lihat juga al-Syarh al-Mumti' 4/344)

Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buti juga pernah ditanya tentang harta yang diperolehi dari kerjaya nyanyi, beliau menjawab:

المال الذي جاء كله من مهنة الغناء المعروفة في هذا العصر، يعدّ مالاً محرماً يجب أن يصرف في مصارف الأموال الضائعة التي لايعلم صاحبها، أي أن يوضع في مصالح المسلمين.

Maksudnya: “Harta yang diperolehi dari kerjaya nyanyi seperti yang diketahui hari ini, dikira sebagai harta yang haram, wajib dipulangkan harta sebegini ke badan yang menguruskan harta yang tidak diketahui pemiliknya, yakni digunakan untuk kepentingan umat Islam.” (sumber fatwa: Laman rasmi Dr Muhammad Said Ramadhan al-Buthi http://www.bouti.net/fatawas.php?PHPSESSID=70d1787edbab8a31c09fb57cf4239cea&id=960&PHPSESSID=70d1787edbab8a31c09fb57cf4239cea)

Cetak  
Wallahu a'lam