Huraian Fiqh Sunnah: (9) Orang Mengantuk Mengubah Tempatnya

(9) Orang Mengantuk Mengubah Tempatnya

Kata Syed Sabiq RH:

(٩) تحول من غلبه النعاس عن مكانه: يندب لمن بالمسجد أن يتحول عن مكانه إلى مكان آخر إذا غلبه النعاس: لان الحركة قد تذهب بالنعاس وتكون باعثا على اليقظة، ويستوى في ذلك يوم الجمعة وغيره. فعن ابن عمر أن النبي ﷺ قال: (إذا نعس أحدكم وهو في المسجد فليتحول من مجلسه ذلك إلى غيره) رواه أحمد وأبو داود والبيهقي والترمذي وقال: حديث حسن صحيح.

Maksudnya: “Disunatkan kepada sesiapa yang berada di dalam masjid berpindah dari tempatnya ke tempat lain jika mengantuk. Ini kerana pergerakan kadang-kala boleh menghilangkan rasa mengantuk dan dapat menjadi pendorong agar terus segar. Perkara ini sama hukumnya sama ada ketika hari Jumaat atau lainnya. Daripada Ibn ‘Amar RA, Nabi SAW bersabda: “Apabila seseorang daripada kamu merasa mengantuk, sedangkan dia berada di dalam masjid, maka hendaklah dia mengubah tempat ke tempat lain.” Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud, al-Baihaqi dan al-Tirmizi, beliau berkata: “Hadis ini hasan sahih.”

Huraian

Hadis yang disebut oleh Syed Sabiq diriwayatkan dengan beberapa lafaz. Dalam sebahagian riwayat lain dengan lafaz:

إذا نعَسَ أحدُكم يومَ الجمعةِ فلْيتحوَّلْ عن مجلِسِه ذلكَ

Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu mengantuk pada hari Jumaat, maka hendaklah dia berpindah dari tempat duduknya tersebut.” (Abu Daud dan al-Tirmiz)

            Hadis ini berbicara tentang adab pada hari Jumaat ketika mendengar khutbah. Demikian juga ketika berada dalam situasi yang sama seperti ketika mendengar khutbah hari raya dan seumpamanya. Di mana setiap yang hadir hendaklah berusaha memberi perhatian untuk mendengar khutbah yang disampaikan oleh khatib. Apa-apa tindakan yang boleh memalingkan maksud ini hendaklah dijauhi termasuk mengantuk.

Anjuran dari Nabi SAW kepada sesiapa yang mengantuk supaya berpindah tempat duduk adalah bagi mengembalikan kecergasan agar dapat mengambil pengaaran dari khutbah yang disampaikan. 


Cetak  
Wallahu a'lam