SDI 1108: Kenapa Masih Ada Yg Berpegang Makruh Air Musyammas Sedangkan Tiada Dalil?

Penyoal: 

Ustaz, bagaimana saya nak terangkan kpd org2 yg masih kata makruh air musyammas?

Bin Sahak:
Tak apa jika itu yang mereka belajar dan faham.

Penyoal:
Bukahkah tak ada dalil makruh air musyammas?

Bin Sahak:
Siapa kata tak ada dalil? Ada dalil yang menjadi pegangan mazhab Syafie, kerana mustahil ulama menyatakan sesuatu hukum tanpa dalil.

Penyoal:
Hadis ttg air musyammas bukan doif ker?

Bin Sahak:
Ya, dhoief. Ulama mazhab Syafie juga tahu kedhaiefan itu. Saya bagi contoh dua hadis yang masyhur dalam masalah ini namun kedua-duanya dhoief:

1. hadis 'Aisyah RA yang berkata:

دخل على رسول الله صلى الله عليه و سلم و قد سخنت ماء فى الشمس فقال لا تفعلى يا حميراء فأنه يورث البرص

Maksudnya: "Rasulullah SAW masuk menemuiku yang telah memanaskan air dengan matahari. Lalu baginda bersabda: "Jangan dikau lakukan sedemikian wahai Humaira (gelaran Aisyah) kerana ia (menggunakan air yang dipanaskan dengan matahari) mendatangkan penyakit sopak." Hadis ini diriwayatkan oleh alDaraqutni di dalam Sunannya 1/38, alBaihaqi di dalam Sunannya 1/7, Ibn 'Adiy di dalam Kamilnya 3/912 dan Abu Nuaim di dalam Kitab alTibb.

Hadis ini TIDAK SAHIH. alDaraqutni sendiri yang meriwayatkan hadis ini memberi ulasan tentang seorang periwayat hadis ini yang bernama Khalid dengan katanya: "Khalid ini seorang Matruk." Ibn 'Adiy pula berkata: "Dia mereka hadis atas nama perawi-perawi thiqat umat Islam."

alImam alBaihaqi yang termasuk ulama mazhab Syafie berkata di dalam Sunannya 1/6: "Hadis ini tidak sahih."

2. Hadis daripada Anas bin Malik RA yang mendengar Nabi SAW bersabda:

لا تغتسلوا بالماء الذي يسخن في الشمس فإنه يعدي من البرص‏

Maksudnya: "Jangan kamu semua mandi dari air yang dipanaskan pada matahari, sesungguhnya ia membawa kepada sopak."

Hadis ini juga tidak sahih. Kerana itu al'Uqaili berkata: "Tidak sahih berkaitan air musyammas walau satu hadis yang bersanad." 2/176.

Penyoal:
Maknanya tak ada dalillah tu ust.

Bin Sahak:
Apa yang anda faham dengan dalil? Dalil bukan terhenti kepada hadis atau alQuran sahaja. Bahkan dalil boleh datang dari sumber lain seperti ijmak, qiyas, pandangan sahabat dan lain-lain yang dibicarakan dalam usul alFiqh.

Berkaitan air musyammas, mazhab syafie berdalilkan salah satunya berdasarkan athar yang diriwayatkan daripada 'Umar bin alKhattab RA yang berkata:

لا تغتسلوا بالماء المشمس، فإنه يورث البرص

Maksudnya: "Jangan kamu semua mandi dengan air Musyammas kerana ia mendatangkan penyakit sopak."

Namun ada perbincangan sekitar athar ini di kalangan ulama. Ia diriwayatkan oleh alDaraqutni di dalam Sunannya. alImam alSyafi'ie juga meriwayatkan athar ini di dalam kitab beliau alUmm. Beliau meriwayatkannya melalui periwayatan yang terdapat seorang rawi bernama Ibrahim bin Abi Yahya alAslami. Ibrahim bin Yahya ini telah dihukum oleh semua ulama nuqqad hadis sebagai Matruk, melainkan alImam alSyafi'ie yang menilainya sebagai seorang yang dipercayai.

alImam alBaihaqi di dalam kitabnya alMa'rifah berkata: "Berkata alSyafi'ie:

كان قدريًا، لكنه كان ثقة في الحديث

Maksudnya: "dia (Ibrahim bin Abi Yahya alAslami) adalah seorang Qadari (bermazhab Qadariah), akan tetapi beliau seorang yang dipercayai di dalam (periwayatan) hadis." 

Kata alBaihaqi: "kerana itu beliau (imam alSyafie) meriwayatkan daripadanya (Ibrahim bin Yahya alAslamai)." 

Selain itu, alBaihaqi telah mendatangkan athar Umar ini melalui jalur lain iaitulah melalui Hassan bin Azhar (حسان بن أزهر) yang dinilah thiqah oleh Ibn Hibban dan dinilai Baik oleh Ibn alMulaqqin di dalam alBadr alMunir

Ini bermakna salah satu DALIL alImam alSyafi'ie mengatakan air Musyammas itu makruh adalah athar dari 'Umar ini. Selain itu, Imam Syafi'ie juga berdalilkan dengan penemuan perubatan, dengan kata beliau di dalam alUmm:

لا أكره الماء المشمس إلا من جهة الطب ولكراهية عمر إياه

Maksudnya: "Tidak aku memakruhkan air Musyammas melainkan dari sudut perubatan dan pandangan Makruh dari Umar." 

Ini bermakna di sisi mazhab alSyafie, mereka tidak menjadikan hadis-hadis yang lemah itu sebagai dalil utama dalam memakruhkan air musyammas. Sebaliknya dalil asas dan utama mereka adalah dua dalil ini. Jika ada hadis-hadis lemah itu disebut di dalam kitab-kitab mazhab alSyafie, ia bertujuan sokongan sahaja bukan asas pendalilan.

Penyoal:

Dari sudut perubatan pun tak ada bukti air musyammas boleh jadi sopak. Saya pun pernah guna air musyammas, tak jadi sopakpun...

Bin Sahak:
Saya tidak tahu bukti perubatan moden. Namun di sisi mazhab alSyafie ada bukti perakuan doktor atau Tabib yang dipercayai di sisi mereka iaitulah Ibn alNafis di dalam Syarhnya kepada kitab alTanbih memperakui air musyammas boleh menyebabkan sopak. Ibn alNafis ini adalah seorang Doktor dalam masa yang sama seorang alim mazhab alSyafie. Beliau telah menulis beberapa tulisan berkaitan perubatan.

Selain itu, pengalaman anda menggunakan air musyammas tidak jadi sopak TAK BOLEH dijadikan sandaran sama sekali. Kerana air musyammas pada anda, yang anda gunakan itu tak semestinya itulah air yang dimakruhkan dalam mazhab alSyafie. Kehidupan anda hari ini dalam suasana kemudahan air yang ada tidak boleh dijadikan kayu ukur memahami maksud sebenar perkataan ulama mazhab alSyafie.

Saya berani kata apa yang anda sangkakan itu, bukan itu yang dimaksudkan oleh ulama mazhab alSyafie. Ini kerana mereka telah meletakkan syarat-syarat tertentu untuk hukum makruh menggunakan air musyammas. Syarat-syarat itu sebahagian besarnya tidak ada pada air yang ana gunakan tersebut. Saya juga percaya kalau anda didatangkan air musyammas yang dihukum makruh oleh mazhab alSyafie, sudah tentu anda juga tidak sanggup menggunakannya. Bukan di sini tempatnya untuk huraian lanjut dalam masalah ini, cukuplah untuk saya sebutkan salah satunya sahaja supaya anda ada gambaran, iaitulah pancaran terik matahari itu sehingga menyebabkan terapung kesan-kesan besi bekas takungan tersebut di permukaan air.

Penyoal:
Bukankah Imam Nawawi pilih tidak makruh air musyammas?

Jawapan:
Ya, benar. Tapi perkara ini panjang ceritanya. Bukan FB ruang yang sesuai. Untuk makluman anda, pemilihan Nawawi kena tengak dari dua sudut. Sama ada pilihan beliau dari sudut dalil atau dari sudut mazhab. Pemilihan alNawawi dalam masalah air musyammas ini dinyatakan oleh ulama sebagai pemilihan beliau dari sudut dalil, bukan pemilihan itu disandarkan kepada qaul mazhab. Saya ingat setakat ini sahaja penjelasan saya. 

Jawapan saya ini juga bukan bermaksud supaya anda tukar pegangan anda. Tidak lain hanya supaya anda tak payak "jaki" kepada orang yang berbeza dengan anda selagi ia mengikut pandangan yang berdalil di sisi ulama yang dipercayai dan diyakininya.


Cetak  
Wallahu a'lam