SDI 0700: Bilal Azan Awal Seminit, Apa Hukum Puasa Orang Yang Berbuka Ketika Itu?

Fiqh Ibadat Jumlah paparan: 1144
Soalan: 
 
Assalamualaikum.Maaf nak bertanya tentang kesahan puasa.Muazzin azan se minit lebih awal dari waktunya.Para jemaah terus iftar.Apakah kedudukan puasa pada hari tersebut.
 
Jawapan:
 
Jumhur atau majoriti ulama berpandangan puasa orang yang berbuka kerana MENYANGKA matahari telah terbenam, kemudian ternyata sangkaan mereka itu salah, puasa tersebut BATAL dan wajib Qadha. (Lihat alMughniy 4/389) tidak dikira berdosa dengan kesilapan tersebut. 
 
Puasa tersebut batal kerana hukum asal ialah hari masih siang. Hukum kesiangan hari tidak berubah melainkan setelah jelas tenggelam matahari. Namun masalahnya datang sangkaan telah tenggelam matahari disebabkan azan yang dilaungkan. Setelah itu jelas azan tersebut tersilap. Justeru laungan azan adalah suatu sangkaan sahaja telah terbenamnya matahari. Ternyata sangkaan itu salah, maka hukum dibina di atas sesuatu yang asal dan yakin iaitulah hari masing siang dan puasa telah dibuka pada siang hari. Natijahnya puasa tersebut batal. Di dalam kaedah dinyatakan:
 
اليقين لا يزول بالشك
 
Maksudnya: "Sesuatu yang yakin tidak gugur dengan sesuatu yang syak."  
 
Namun sebahagian ulama lain berpandangan puasa tersebut SAH dan tidak perlu kepada qadha. Pandangan ini dinukilkan daripada Mujahid dan alHasan. Pandangan ini juga yang dinyatakan oleh Ishak bin Rahuwaih dan Ahmad berdasarkan satu riwayat daripada beliau. Demimian juga alMuzani dan Ibn Khuzaimah. (Lihat Fath alBari 4/200). Pandangan inilah yang dipilih oleh Syeikh alIslam Ibn Taimiyyah (Majmu' alFatawa 25/231) dan ditarjihkan oleh Ibn 'Uthaimin (alSyarh alMumti' 6/402-408) 
 
Dalil mereka ialah hadis riwayat alBukhari daripada Hisyam bin 'Urwah, daripada Fatimah daripada Asma' binti Abi Bakr alSiddiq RA yang berkata:
 
أَفْطَرْنَا عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ غَيْمٍ ثُمَّ طَلَعَتْ الشَّمْسُ . قِيلَ لِهِشَامٍ : فَأُمِرُوا بِالْقَضَاءِ ؟ قَالَ : لا بُدَّ مِنْ قَضَاءٍ . وَقَالَ مَعْمَرٌ : سَمِعْتُ هِشَامًا يقول : لا أَدْرِي أَقَضَوْا أَمْ لا ؟
 
Maksudnya: "Kami pernah berbuka di zaman Nabi SAW pada suatu hari yang berawan. Kemudian terbit matahari (nampak matahari masih belum tenggelam). Dikatakan kepada Hisyam: "Apakah diperintahkan mereka semua untuk qadha"? Jawab Hisyam: "Sudah semestinya kena qadha." Kata Ma'mar: "Aku pernah mendengar hisyam berkata: "Aku tidak tahu, apakah mereka qadha ataupun tidak."  
 
Perkataan hisyam: "semestinya kena qadha" adalah berdasarkan kefahaman beliau sendiri bukan dari perintah Nabi SAW. Kerana itu Hisyam tidak mengatakan ia adalah perintah dari Baginda SAW. Kata alHafidz Ibn Hajar RH: 
 
"Adapun hadis Asma', tidak dihafaz padanya mengsabitkan qadha atau nafi." 
 
Syeikh alIslam Ibn Taimiyyah berkata: "Ini menunjukkan tidak wajib qadha (bagi yang berbuka kerana menyangka telah tenggelam matahari). Sesungguhnya jika Nabi SAW perintah untuk qadha sudah tentu perkara tersebut tersebar sepertimana tersebarnya mereka telah berbuka secara tersilap. Ketikamana tidak dinukilkan hal itu, ia menunjukkan baginda tiada memerintahkan qadha. Jika dikatakan: "bukankah telah ditanya kepada Hisyam: "Apakah mereka semua diperintahkan qadha? Lalu Hisyam menjawab: Sudah tentu kena qadha." Dijawab: Hisyam menyatakan hal ini berdasarkan pandangannya, beliau tidak meriwayatkan dari hadis. Ini menunjukkan beliau tiada maklumat hadis tentang perkara ini. Ditambah Ma'mar ada meriwayatkan daripada Hisyam yang berkata: "Aku ada mendengar Hisyam berkata: "Aku tidak tahu apakah mereka qadha atau tidak." AlBukhari menyatakan hal ini daripada Ma'mar. Dan ada juga nukilan daripada Hisyam sendiri daripada bapanya 'Urwah yang menyatakan mereka tidak diperintahkan untuk qadha. Dan 'Urwah adalah lebih tahu dari anaknya (Hisyam)." (Nukilan beserta olahan semula) 
 
Namun jika ditanya apakah pandangan yg lebib berhati2. Maka jawapannya ialah qadha.
 
Cetak
Wallahu a'lam