Dua Sisi Menyeleweng Dalam Bab Niat Solat: Satu Kumpulan Memestikan Lafaz Niat, Satu Kumpulan Lagi Memadai Niat Nak Solat Sahaja

Fiqh Ibadat Jumlah paparan: 1035

Soalan:

Niat solat ni waktu nak mai masjid ka? Waktu berdiri ka? Waktu takbir?

Jawapan:

Waktu kita takbir tu, ada apa dalam hati kita? Atau soalan yang lebih tepat, kenapa kita bertakbir? Jawapannya: kerana nak solat. Maka itulah niat, dah ada niat la tu. Tak wajib susun lafaz, hatta ulama mazhab Syafie juga tak kata wajib susun lafaz niat. Kenapa jadi masalah dalam lafaz niat ni dalam masyarakat kita? Macam saya bagitahu tadi, kerana sebahagian dalam masyarakat kita yang terlampau memberi penekanan dalam perkara yang tidak perlu.

Kalau kita tanya orang yang melafazkan niat solat tu: "kenapa bertakbir?" Kalau dia jawab: kerana nak solatlah!" Maka itu menunjukkan dia telah ada niat.

Tapi perlu diberi penekanan, seorang yang hendak solat, mesti tahu solat apa yang hendak dia lakukan. Tahu solat apa yang hendak dilakukan ini termasuk dalam tuntutan niat. Kita tahu dak kita nak solat apa? Sudah pasti kita tahu selepas solat Maghrib, tentu solat Isyak. Sebab kita dah solat Maghrib sebentar tadi. Kadang-kadang orang tanya kepada kita, solat apa yang kita nak tunaikan ni? Kita nak jawab, tetapi nama solat tu tak datang dalam fikiran kita ketika itu. Itu bukan bermakna kita tak ada niat, sebalik ada niat, cuma nama solat itu tidak datang untuk diungkapkan. Buktinya kalau kita solat pasti kita tunaikan empat rakaat Isyak. Bahkan kalau imam tersilap buat tiga rakaat, pasti kita akan tegur. Itu menunjukkan kita tahu solat apa yang kita hendak tunaikan, dan itulah niat.

Di kesempatan ni, kita nak nasihat, kita tak boleh melampau dari dua sisi. Dalam bab niat ni ada dua golongan yang melampau. Kumpulan pertama, melampau-lampau dalam bab melafazkan niat, sehingga seolah-olah melafazkan niat itu satu kewajipan atau satu rukun. Ini melampau. Nak Usalli-usalli apa? Kamu dah berada dalam saf selepas azan Isyak. Bukankah kamu nak solat? bukan nak makan! Kalau tak, buat apa berada dalam saf? Cuba tanya lagi kepada orang yang "usalli-usilli": "nak solat apa ni?" Kalau dia jawab: "tadi solat Maghrib...". Kita kata kat dia: "Habis tu apakah lepas Maghrib solat Zohor? Atau Isyak!?" Mestilah Isyak. Jadi apa yang susah sangat nak usalli bagai? sebab tu tak semestinya perlu lafaz-lafaz niat ini. Ini satu kumpulan melampau dalam bab lafaz niat. perkara yang tak perlu, tapi bagi jadi susah.

Satu lagi kumpulan, iaitulah mereka yang cuai dan mengabaikan, seolah-olah niat ni tak penting. "Solat sahaja, Allah tahu". Siapa kata macamtu? sebaliknya Allah menghendaki adanya solat Zohor dan ada pula solat Asar, ada solat Maghrib, ada pula solat Isyak. Walaupun Zohor dan Asar itu sama sahaja perbuatannya. Allah bukan sahaja menghendaki perbuatan solat, Allah juga menhendaki jenis solat yang ditunaikan.  Maka yang membezakan perkara ini adalah niat. Niat apa? iaitulah nak buat Zohor bukan buat Asar. Niat nak buat Asar bukan Zohor. 

Contoh mudah dalam perkara ni, kita bermusafir, sebahagian kawan kita tidur dalam kereta. kita berhenti di salah satu RNR yang ada untuk tunaikan jamak dan qasar secara ta’khir, iaitulah dalam waktu Asar. Kawan kita tidur dalam kereta dari sebelum Zohor lagi. Bila kita berhenti di RNR pukul 5 petang dan solat dua rakaat, kemudian bagi salam, kawan kita ikut. Selepas tu kita bangun lagi buat dua rakaat, kemudian bagi salam kerana jama’ dan qasar, kawan kita ikut juga. Habis solat, kita tanya kepada kawan kita: “Hang tadi solat Zohor dulu atau Asar dulu?” Kawan kita tu pun, baru tengak jam, dia tengak jam pukul 5 petang dan dia baru tahu ketika itu jam pukul 5 petang. lalu dia jawab: “Mana-manalah, salah satu Zohor, salah satu Asar.”

Sekarang saya nak tanya kepada tuan-tuan, orang ni dia dikira telah melaksanakan solat Zohor dan Asar? Sah tak solat Zohor dan Asar yang dia tunaikan tadi? atau tak sah?

Maka jawapannya ialah solat orang tersebut tidak sah. Dia belum menunaikan solat Zohor, dia juga belum menunaikan solat Asar. kenapa? Kerana ketika dia menunaikan solat tadi, dia tidak meletakkan kepastian mana satu solat Zohor dan mana satu solat Asar, sedangkan Allah menghendaki solat Zohor adalah solat Zohor, solat Asar adalah solat Asar. Dua solat yang berbeza. Mungkin dia akan jawab: “Ustaz, saya ada niat nak buat Zohor dan Asar, sebab tu saya berhenti solat di siang hari ni. solat apa lagi kalau bukan Zohor dan Asar?” Kita jawab: “Masalah pada hang ialah, hang tak tetapkan mana satu solat Zohor dan mana satu solat Asar. Maka solat yang hang tunaikan tadi bukan solat Zohor dan bukan juga solat Asar.” Tak sah solat hang tadi.

Ini golongan yang cuai, sehingga merasakan “niat ini tak ada apa lah.. agama itu mudah…” dan seumpamanya. Sedangkan Allah dan Rasul menghendaki Zohor dan Asar itu dibezakan dengan niat. sedangkan dia solat tadi, dia tak bezakan mana satu Zohor dan mana satu Asar. Maka tak sah solat jama’ dan qasar seperti itu.

Kita tak nak dua kumpulan ini. Satu melampau dalam memestikan lafaz niat dan satu lagi cuai dalam memastikan niat ibadah yang hendak dilakukan. Yang kita nak ialah amalan berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah menurut huraian para ulama, kita mesti tahu solat apa yang hendak kita tunaikan. Tapi seperti yang saya sebut di awal tadi, jangan melampau pula sehingga memestikan lafaz niat atas alasan tak masuk niat dan macam-macam lagi, yang ni kita tak nak.

Kita nak beramal berdasarkan ilmu, ikut petunjuk dan bimbingan para ulama, kerana Allah SWT yang perintahkan di dalam firman-Nya فاسألوا أهل الذكر إن كنتم لا تعلمون maksudnya: “tanyalah kepada ulama jika kamu tidak mengetahui.” maka ikutlah bimbingan para ulama.     

Cetak
Wallahu a'lam