Penjenayah Bawah Umur: Keluarga Mangsa Terkorban Berhak Mendapat Diat (6)

Fiqh Jinayat Jumlah paparan: 688
1) Pandangan mazhab Syafie dan Hambali yang mengatakan illah difardhukan diat ke atas sekumpulan ahli keluarga adalah kerana kedekatan mereka dengan pembunuh tersilap. Hal ini sepatutnya tidak mengecualikan seorangpun yang hampir dan dekat dengan sipembunuh tersilap jika terdapat pada mereka illah kedekatan sebagai mengamalkan kaedah usul yang mengatakan:

"hukum-hakam itu beredar bersama dengan illah-illahnya, keberadaan atau ketiadaan" الأحكام تدور مع عللها وجودا وعدما tanpa boleh membezakan antara seorang yang kecil mahupun yang besar, lelaki mahupun perempuan. 
 
Namun nas-nas dari hadis Nabi SAW membuktikan ada pengecualian sebahagian ahli keluarga yang hampir hatta yang bersangatan hampir dengan pembunuh tersilap seperti anak kandung ataupun bapa kepada pembunuh tersilap. Antara dalil tersebut ialah: 
 
i) Daripada 'Amr bin alAhwash yang bersama dalam peristiwa haji wada' dengan Nabi SAW, baginda bersabda:
 
لا يجني جان إلا على نفسه، ولا يجني والد على ولده ولا مولود على والده

Maksudnya: "Tidak menanggung kesalahan jenayah seseorang melainkan dirinya sendiri, tidak menanggung seorg bapa akan kesalahan anaknya, tidak juga seorang anak menanggung kesalahan bapanya."
 
ii) Daripada alKhashkhas al'Anbari الخشخاش العنبري RA yang berkata: "Aku mendatangi Nabi SAW, dan bersama dengan aku anak lelakiku. Lalu baginda bertanya: "Anak kamu ini?" Aku menjawab: "Ya" sabda baginda: "Dia tidak memikulkan kesalahannya ke atas kamu, dan kamu juga tidak menanggungkan kesalahan ke atasnya."

Dua hadis ini menunjukkan bahawa seorg anak sekalipun amat dekat dan hampir dengan bapanya, namun sianak tidak memikul kesalahan bapanya sedikitpun, demikian juga seorang bapa tidak menanggung kesalahan anaknya sedikitpun. Hal ini menjadikan mazhab Syafie dan Hambali mengecualikan anak dari memikul diat bapanya yang tersilap bunuh demikian juga bapa terkecuali dari memikul diat tersilap bunuh oleh anaknya. Ini menunjukkan kedekatan hubungan keluarga tidak boleh dijadikan asas dan illah dalam pensyariatan 'Aqilah.

2) Mazhab Syafie dan Hambali juga mengaitkan ikatan aqilah dengan perwarisan, sebagai mengamalkan kaedah kerugian menanggung diat sebagai  imbalan dengan keuntungan mewarisi harta. Lalu mereka menjadikan diat suatu yang wajib dipikul ke atas aqilah yang mewarisi, agar bayaran diat ditanggung dengan harta yang diwarisi. Akan tetapi pemerhatian mendalam terhadap nas-nas syara' menunjukkan tidak seperti yang dinyatakan, antara buktinya:

i) Hadis daripada 'Amr bin alAhrash seperti di atas.

ii) Riwayat alBukhari RH di dalam Sahih beliau daripada Abu Hurairah RA yang berkata:

"Rasulullah memutuskan pada janin wanita Lahyan yang keguguran dengan dibayar seorang hamba sama ada seorang hamba lelaki atau perrmpuan. Setelah itu wanita yang dijatuhkan hukuman tersebut meninggal dunia, lalu baginda Rasulullah SAW memutuskan pewarisannya kepada anak lelaki dan suaminya, dan aqilah ke atas ashabah."

iii) Riwayat alBaihaqi di dalam Sunannya bahawa alZubair dan 'Ali pernah angkat perbalahan tentang hamba-hamba Safiah kepada 'Umar bin alKhattab RA. Lalu Umar memutuskan pewarisan kepada alZubair dan 'Aqilah ke atas 'Ali.

Athar ini jelas menunjukkan tidak semestinya aqilah mesti orang yang mewarisi. Imam Ibn Hajar ketika memberi komentar kepada hadis Abu Hurairah di atas berkata:

"Kandungan khabar ini menunjukkan bahawa sesiapa yang mewarisi tidak menjadi aqilah, jika ia bukan dari asabah seseorang. Ia adalah suatu yang disepakati (ijmak) di kalangan ulama sepertimana yang dikatakan oleh Ibn alMunzir."

Dari sudut lain pula, para fuqahaa' mazhab yang empat telah sepakat bahawa wanita dan kanak-kanak kecil tidak menanggung sedikitpun bayaran diat bersama aqilah, sekalipun mereka dari kalangan orang kaya sedangkan dalam beberapa kes mereka mewarisi harta. Sehingga Ibn alMunzir menukilkan ijmak pengecualian wanita dan anak kecil dari memikul diat pembunuhan tersilap.

Hal ini jelas menunjukkan pewarisan tidak boleh dijadikan Iilah disebabkan ia tidak boleh dikenakan kepada setiap individu yang mewarisi.

3) Ulama mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali bersepakat bahawa asas dibinanya ikatan aqilah ialah alNusrah (pertolongan).

i) Kata alSarakhsiy dari ulama Hanafi di dalam alMabsuth:
 
"Dijadikan alTa'aqul التعاقل (ikatan aqilah) ke atas alDiwan kerana mengambil kira alTanasur التناصر (saling bantu-membantu). Sikap saling bantu-membantu dalam kalangan alDiwan yang berlainan qabilah menunjukkan ahli diwan sekalipun dari qabilah yang berbagai namun sesama mereka tertegaknya sikap saling bantu-membantu."

ii) Di dalam Mawahib alJalil dari mazhab Maliki dinyatakan:

"Dan mazhab di sisi para sahabat kami bahawa bayaran diat diagihkan ke atas sesiapa yang ada sekitarnya. Imam Malik berkata: dikhaskan kepada yang ada disekitarnya (الحاضر) kerana tanggungan (التحمل) adalah dengan alNusrah yang hanya berlaku di kalangan mereka yang bersama dan sekitar seseorang. Kemudian beliau berkata: "Dan berdasarkan mazhab Malik bahawa seseorang lelaki yang berada dalam satu keluarga, pada asalnya bukan aqilah bersama keluarganya sebaliknya aqilahnya bersama kaum yang bersama dgnnya."

Katanya lagi: "dan tiada dimasukkan seorang badwi bersama seorang hadhari, seorang Syami bersama seorg Mesir secara mutlaq, iaitulah aqilah seorang penjenayah tersilap, jika dalam kalangan aqilah ada seorang badwi dan hadhari, maka seorang badwi tidak masuk bersama seorang hadhari demikian sebaliknya. Dan tidak masuk seorang Syami bersama seorang Mesir demikian sebaliknya, sama ada yang diambil sama jenis atau tidak, kerana illah adalah alTanasur (saling tolong menolong), demikian juga seorang Syami tidak membantu seorang Mesir, juga seorang badwi tidak membantu seorang hadhari, bahkan diat berdasarkan ahli negerinya."

iii) Ibn Hajr alHaitami dari mazhab Syafie di dalam Tuhfah alMuhtaj berkata:

"Tidak termasuk aqilah seorang faqir, kanak-kanak dan seorang gila sekalipun gila yang terhenti-henti sekalipun gila yang sedikit. Ini kerana mereka bukan dari kalangan ahli alNusrah dari satu sudut, berbeza seperti sakit yang berpanjangan, kerana orang yang sakit berpanjangan memiliki pandangan dan boleh berkata-kata."

Di dalam Hasyiah alJamal dinyatakan: "tidak seorang faqir, seorang hamba, seorang budak, seorang gila, seorang perempuan dan tidak juga seorang khunsa. Ini kerana asas aqilah adalah alNusrah, dan tiada alNusrah dengan mereka. Dan tidak menjadi aqilah muslim atas seorang kafir, demikian sebaliknya, kerana tiada mawlah antara mereka berdua, tiada juga nusrah."

iv) Kata al-imam alBuhuti dari ulama mazhab Hambali: "dan bukan ke atas seorang faqir, kanak-kanak dan bukan juga seorang yang tiada akal. Ini kerana tanggungan (diat) kerana sifat saling bantu-membantu (التناصر), manakala mereka berdua bukan dari kalangannya, dan bukan juga seorang perempuan, bukan juga seorang yang berbeza agama dengan pelaku jenayah tersilap untuk memikul sesuatu dari diat, kerana memikul diat kerana alNusrah dan tiada alNusrah bagi orang yang berbeza agama."
Cetak
Wallahu a'lam