SDI 0759: Salahkah Seorang Janda Berkahwin Dengan Pemuda Yang Lebih Muda Daripadanya?

 
Soalan: 
ustaz,
Sblm ni saya seorg janda beranak satu. Saya baru shj berkahwin dgn seorg lelaki yg muda sedikit dr saya. Ada org cemuh saya. Mereka kata saya tak sedar diri dan gatal. Saya tertekan. Apakah ada nasihat utk saya?
 
Jawapan:
 
1) Tahniah puan dengan pertemuan jodoh yang telah ditetapkan oleh Allah SWT kepada puan. Saya doakan:
 
بارك الله لكما وبارك عليكما وجمع بينكما في خير
 
Semoga Allah memberkati perkahwinan puan dengan pasangan, semoga Allah mencurahkan keberkatan kepada puan dan pasangan dan menghimpunkan puan serta pasangan di dalam kebaikan.
 
2) Puan sepatutnya tidak perlu menghiraukan apa yang orang cemuhkan. Sebaliknya tumpukan kehidupan baru puan bersama suami. Usahakan yang berbaik. Pasti puan akan mendapati Allah sentiasa bersama-sama puan. 
 
3) Agama tidak menganggap salah seorang janda beranak, mengahwini seorang lelaki teruna yang lebih muda daripadanya. Kisah seorang Sahabiah Mulia (sahabat Nabi SAW) bernama Subai'ah binti alHarith alAslamiyyah RA saya sertakan untuk puan.
 
Hadis ini diriwayatkan oleh alBukhari 3991 dan Muslim 1484, daripada Abdullah bin 'Utbah, bahawa bapanya pernah menulis surat kepada Umar bin Abdillah bin alArqam alZuhri. Memerintahkannya agar berjumpa dengan Subai'ah binti alHarith alAslamiyyah, bertanyakan hadis tentang beliau dan berkaitan apa yang Rasulullah SAW sabdakan kepada beliau, ketika beliau memintakan fatwa daripada baginda. Lalu Umar bin Abdillah bin alArqam memberitahu Abdullah bin Utbah dengan menceritakan bahawa Subai'ah binti alHarith telah menceritakan kepadanya bahawa beliau dahulu isteri kepada Sa'ad bin Khaulah (salah seorang Sahabat Nabi SAW). Sa'ad dari Bani 'Amir bin Luaiy, juga dari kalangan mereka yang menyertai peperangan Badar. Suami kepada Subai'ah meninggal dunia ketika peristiwa Hajjah alWada', ketika Subai'ah sedang sarat mengandung anak mereka. Tidak lama selepas itu (sebahagian riwayat mengatakan setengah bulan, ada juga yang mengatakan 25 hari selepas kematian suami beliau) Subai'ah melahirkan anak. Apabila habis nifas, beliau berhias (yang dibenarkan) mempersiapkan dirinya untuk dipinang oleh mana-mana lelaki yang berhasrat memperisterikannya. 
 
Melihat keadaannya itu, Abu alSanabil bin Ba'kak, seorang lelaki dari Bani 'Abd alDar berkata kepada beliau: "Apa yang aku tengak kamu berhias untuk mereka yang berhasrat memperisterikan kamu? Kamu hendakkan pernikahan? Sesungguhnya engkau, demi Allah tidak boleh lagi bernikah selagi tidak beriddah selama empat bulan 10 hari." 
 
Kata Subai'ah: "ketikamana alSanabil berkata sedemikian kepadaku, aku memakai pakaian biasaku (tidak berhias) dan mendatangi Rasulullah SAW bertanyakan baginda tentang hal tersebut. Lalu baginda memberikan fatwa kepadaku dengan mengatakan aku telah bebas dari iddah (dengan melahirkan anak), dan memerintahkan kepadaku boleh berkahwin jika aku mahu." 
 
Di dalam Musnad Ahmad hadis bilangan 26715 terdapat tambahan:
 
"Lalu dua orang lelaki masuk meminang Subai'ah al-Aslamiyyah setelah kewafatan suaminya setengah bulan (setelah melahirkan anaknya). Lalu masuk meminangnya dua lelaki, salah seorangnya pemuda dan seorang lagi orang tua. Lalu beliau menerima pinangan pemuda tersebut... Sabda Nabi SAW: "Kamu telah bebas dari iddah (dengan melahirkan anak) kahwinlah dengan sesiapa yang kamu kehendaki."
 
Soalan: 
 
Ustaz,
Berdasarkan hadis di atas, tempoh iddah wanita mengandung yang kematian suami adalah sehingga melahirkan anak? Atau ada pandangan lain yang berbeza.
 
Jawapan: 
 
Ya. Itulah pandangan majoriti ulama. Ada pandangan lain yang mengatakan iddahnya adalah iddah yang terpanjang. Namun hadis di atas menguatkan pandangan majoriti ulama.
 
 

Cetak  
Wallahu a'lam