Putuskan Pertunangan kerana melihat sesuatu yang buruk di dalam mimpi

Fiqh Munakahat Jumlah paparan: 698

Sunday, February 22, 2009

 
Soalan :

Bolehkan memutuskan pertunangan kerana melihat sesuatu yang buruk di dalam mimpi setelah melakukan istikharah

Jawapan :

Seseorang muslim berhukum berdasarkan kenyataan yang dilihatnya, timbangan kefahamannya dan sebab-musabab yang disuruh oleh ALlah swt untuk kita mengambil kira dengannya. Kerana ini datangnya syariat Islam yang menyuruh melihat/menimbang dan berfikir dengan menggunakan akal dan pengalaman. Allah swt berfirman :

Maksudnya : "Demikian itu Allah menerangkan ayat-ayatnya (hukum-hakamnya) kepada kamu semua, mudah-mudahan kamu semua memahami." (al-Baqarah : 242)

Bukan sekali-kali dari ajaran syariat Islam untuk menyerah kepada petunjuk yang dilihat di dalam mimpi tidur. Mimpi tidak dijadikan petunjuk di dalam urusan keduniaan, tidak juga untuk urusan akhirat. Ini kerana pengetahuan atau maklumat yang diperolehi dari mimpi bukan suatu yang tepat dan kukuh, bukan juga suatu yang menyakinkan. Bahkan ada padanya keraguan dan syak. Maka dengan itu tidak mungkin urusan hidup manusia dirujuk kepada suatu yang meragukan dan berperasangka yang langsung tidak boleh dijadikan maklumat yang boleh diikuti.

Abu Hurairah ra. meriwayatkan :

Maksudnya : "Mimpi itu ada 3 jenis. Mimpi yang baik, sebagai khabar gembira daripada Allah. Mimpi sebagai khabar sedih dari syaitan, dan mimpi yang datang dari diri sendiri."

Berdasarkan hadith ini, maka syaitan kadang-kadang ada peranannya di dalam mimpi yang dilihat di dalam tidur. Sama juga diri kita sendiri ada peranan di dalam mimpi tidur. Dalam keadaan sedemikian, untuk membezakan mimpi-mimpi tersebut tidak ada suatu yang jelas yang boleh dijadikan ukuran. Oleh yang demikian bagaimana seseorang muslim boleh berasa tenang untuk bersandar kepada apa yang dilihatnya di dalam tidur ??? sedangkan dia tahu syaitan juga kadang-kadang ada peranannya di dalam mimpi.

Terutamanya dalam urusan perkahwinan. Jangan seseorang terpesona dengan apa yang dilihatnya di dalam tidur. Turutilah apa yang diajarkan oleh Nabi saw di dalam urusan perkahwinan ini, iaitulah sepertimana yang disebut di dalam hadith :

Maksudnya : "Jika datang kepada kamu orang yang kamu redho agama dan akhlaknya, maka kahwinkanlah ia, jika tidak maka akan berlaku fitnah di atas muka bumi dan kerosakan. Lalu sahabat bertanya kepada Rasulullah saw : "Wahai Rasulullah jika ia seorang yang kurang hartanya atau tidak sekufu?" Sabda Nabi saw : "Jika datang kepada kamu seorang yang kamu redha agamanya dan akhlaknya, maka kahwinkanlah ia. (Nabi saw menyebutnya 3x)" (Hadith riwayat al-Tirmizi dan katanya Hasan Gharib. Hadith ini diHasankan oleh al-ALbani di dalam Sahih al-Tirmizi)

Berdasarkan hadith ini Nabi saw telah menjadikan akhlak dan agama sebagai ukuran yang sepatutnya dinilai oleh manusia dalam menerima atau menolaknya. Telah ditanya kepada al-Syeikh Muhammad bin SOleh al-Uthaimin di dalam Liqa' al-Bab al-Maftuh :

"Seorang lelaki telah meminang seorang wanita, kemudian wanita tersebut telah bermimpi yang lelaki tersebut mencukur janggutnya (perbuatan yang tidak baik), apakah dia perlu mempercayai mimpi itu? Sedang dalam keadaan jaga zahir lelaki itu nampak kelihatan baik, dia tidak mencukur janggutnya, dan dia adalah seorang yang beriltizam dengan agama."

Jawab al-Syeikh Ibn Uthaimin : "Wanita yang melihat lelaki yang telah meminangnya di dalam mimpi, seorang yang mencukur janggut, sedang realitinya lelaki tersebut bukanlah seorang yang mencukur janggutnya, tidaklah memberi sebarang kesan kepada wanita tersebut dengan apa yang dilihatnya di dalam mimpinya. Tidak sepatutnya mimpi itu menghalang wanita itu berkahwin dengan lelaki tersebut selamamana bagus agama dan akhlaknya." -tamat petikan-

Perlu juga di ingatkan di sini bahawasanya solat Istikharah tidak ada kaitan dengan mimpi - sepertimana yang disangka kebanyakan manusia - Sesungguhnya tujuan membuat Istikharah itu ialah untuk meminta atau berdoa kepada Allah untuk memudahkan memilih antara dua perkara. dan berlindung kepada Allah subhanah dalam menunjukkan kepada sebaik-baik perkara. Maka Istikharah itu adalah doa, apabila Allah memperkenankan untuknya, maka ALlah akan mudahkan urusan yang dipilihnya (oleh orang yang memilih) - setelah berfikir dan memerhatikan - dan tidak ada kaitan antara doa dari orang yang hampir mahupun jauh dengan mimpi di dalam tidur.
Cetak
Wallahu a'lam