SDI 1321: Mengaku Bercerai Secara Bohong

Fiqh Munakahat Jumlah paparan: 713

Wednesday, May 15, 2013

Soalan:
Apa hukum orang yang mengaku sudah menceraikan isterinya secara bohong?

 

Jawapan:

Berbohong termasuk salah satu dari dosa-dosa besar.

Para ulama ada membicarakan hukum seorang yang telah berkahwin, lalu ditanya kepadanya: "Kamu ada isteri?” lalu dia menjawab: “Tidak.” Dengan niat berbohong. Dia berdosa kerana berbohong. Namun tiada apa-apa kesan terhadap hubungan dia dengan isterinya. Hal ini kerana lafaz “Tidak” adalah termasuk dalam lafaz kinayah yang memerlukan niat. Sedangkan niatnya adalah berbohong, bukan talak. Sama halnya jika dia berkata: “Saya tiada isteri” termasuk di dalam lafaz kinayah.

Selebih itu, para ulama berbeza pandangan tentang orang yang berbohong mengaku dengan lafaz yang jelas telah bercerai atau telah mentalakkan isterinya. Sebahagian ulama berpandangan talak atau cerai itu terlaksana secara Diyanatan[1] dan Qadha’an[2]. Pandangan ini seperti yang disebut oleh Ibn Muflih dari mazhab Hambali di dalam al-Furu’ yang berkata:

“Jika seseorang ditanya: “Kamu telah mentalakkan isterimu?” lalu dia menjawab: “Ya!” Atau dia ditanya: “Kamu ada isteri?” Lalu dia menjawab: “Aku telah talakkan dia.” Sedangkan dia berbohong, maka talak itu terlaksana.”

Manakala para ulama mazhab Hanafi, Syafie dan selainnya berpandangan sesiapa yang mengaku bercerai secara dusta, maka cerai itu terlaksana secara Qadha’an tidak secara Diyanatan. Di dalam al-Bahr al-Ra’iq dari mazhab Hanafi dinyatakan:

“Sekiranya dia mengaku talak secara berbohong, maka terlaksana talak itu dari sudut Qadha'an (zahir/penghakiman).”

Di dalam Asna al-Matolib Syarh Raudh al-Tolib dari ulama mazhab al-Syafie dinyatakan pula:

“Sekiranya dia mengaku talak secara dusta, tidak tertalak isterinya batinan (Diyanatan), hanya berlaku talak zahiran (Qadha’an).”

 

Pandangan pilihan:

Pandangan yang menjadi pilihan ialah pandangan ulama mazhab al-Syafie dan Hanafi. Hal ini kerana sesuatu pengakuan mengandungi kebarangkalian sama ada benar atau dusta. Maka orang yang membuat pengakuan dusta dikenakan tindakan berdasarkan zahirnya di mahkamah. Manakala yang didustakan itu tidak berlaku pengakuan tersebut di sisi Allah. Justeru talak itu tidak terlaksana. Inilah pandangan yang lebih rajih.

[1] Diyanatan (ديانة): iaitulah talak yang benar-benar jatuh di sisi Allah SWT. Sekalipun dari sudut perundangan tidak thabit talak tersebut disebabkan ketiadaan bukti yang jelas. Sebagai contoh seorang isteri benar-benar yakin suaminya telah mentalakkannya sebanyak tiga kali, maka dari sudut diyanatan isteri tersebut adalah haram buat suaminya sehinggalah suaminya berkahwin dengan wanita lain terlebih dahulu. Maka siisteri tadi wajib menjauhi suaminya dan tidak membiarkan berlaku hubungan suami-isteri antara mereka, sekalipun dia tidak mampu menthabitkan perceraian tersebut di hadapan hakim, sekalipun suaminya mengingkari dan mendatangkan bukti palsu.

[2] Qadha’an (قضاء): iaitulah talak yang dihukumkan jatuh oleh hakim atau Qadhi berdasarkan zahir disebabkan ketiadaan bukti menunjukkan tidak ada niat atau seperti seseorang yang melafazkan talak kerana terlajak cakap.

Cetak
Wallahu a'lam