SDI 1264: Bolehkah Seorang Ibu Memberi Zakat Kepada Anaknya Yang Susah?

Soalan:

Bolehkah seorang ibu memberi zakat kepada anaknya yang susah?

Jawapan:

  • Semua ulama sepakat, seseorang tidak boleh memberi zakat kepada pihak yang wajib ke atasnya memberi nafkah kepada mereka. Atas dasar ini perlu dilihat, apakah seseorang ibu itu wajib memberi nafkah kepada anaknya atau tidak.

Jika seorang ibu itu berada dalam keadaan wajib memberi nafkah kepada anaknya yang susah, maka tidak boleh dia berikan zakat kepada anaknya sebagai lari dari kewajipan nafkahnya. Jika dia berada dalam keadaan tidak wajib memberi nafkah kepada anaknya, maka boleh pula dia memberi zakat kepada anaknya yang susah tersebut.

Ibu tidak wajib memberi nafkah kepada anak, melainkan:

  • Ketika ketiadaan bapa. Jika bapa masih ada maka nafkah kepada anak dipikul ke atas bapa sahaja. Ibn Qudamah di dalam al-Mughniy mendakwa inilah pandangan al-Imam Abu Hanifah dan al-Imam al-Syafie dengan katanya: يجب على الأم أن تنفق على ولدها إذا لم يكن له أب، وبهذا قال أبو حنيفة والشافعي maksudnya: “Dan wajib ke atas ibu memberi nafkah kepada anaknya apabila ketiadaan bapa. Inilah pandangan Abu Hanifah dan al-Syafi’ie.” Demikian juga apabila bapa seorang yang memerlukan zakat dari pihak yang lain.
  • Ibu memiliki lebihan harta dari keperluannya.
  • Anak tersebut seorang fakir dan benar-benar memerlukan bantuan ibunya.

Tiga perkara ini merupakan syarat mewajibkan seorang ibu memberikan nafkah kepada anaknya yang susah, dalam masa yang sama menjadikan dia tidak boleh lagi memberi zakat kepada anaknya tersebut. al-Hafidz Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata: نقل ابن المنذر وغيره الإجماع على أن الولد لا يُعطى من الزكاة الواجبة  maksudnya: “Ibn al-Munzir dan selainnya menukilkan ijmak (di kalangan ulama) akan seorang anak tidak boleh diberikan zakat wajib kepadanya.”    Selanjutnya Ibn Hajar memberi komentarnya dengan berkata:

وفيه نظر ، لأن الذي يمتنع إعطاؤه من الصدقة الواجبة مَنْ يلزم المعطي نفقته، والأم لا يلزمها نفقة ولدها مع وجود الأب" انتهى بتصرف

Maksudnya: “Nukilan ini perlu diperhatikan semula. Hal ini kerana yang menghalang pemberian kepada anak dari zakat yang wajib ialah ke atas sesiapa yang wajib memberi nafkah kepadanya. Maka seorang ibu tidak wajib memberi nafkah kepada anaknya ketika keberadaan bapa.”

Oleh itu, zakat dari usul (ibu-bapa dan ke atas) kepada furu’ (anak ke bawah) atau sebaliknya adalah tidak boleh jika antara mereka wajib nafkah. Inilah pandangan yang dipilih oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah RH.

Kata al-Imam al-Nawawi RH:

وأما إذا كان الولد أو الوالد فقيراً أو مسكيناً وقلنا في بعض الأحوال لا تجب نفقته فيجوز لوالده وولده دفع الزكاة إليه من سهم الفقراء والمساكين بلا خلاف؛ لأنه حينئذٍ كالأجنبي

Maksudnya: “Dan adapun apabila seorang anak atau seorang bapa seorang yang faqir atau miskin, dan kami telah nyatakan dalam beberapa keadaan tidak wajib nafkah, maka (dalam keadaan itu) boleh seorang bapa memberi zakat kepada anaknya dan seorang anak memberi zakat kepada bapanya dari bahagian fakir miskin tanpa ada perbezaan pendapat. Ini kerana pada ketika itu mereka seperti orang asing.”  (al-Majmu’ 7/275)

Di dalam al-Fatawa al-Kubra oleh Ibn Hajar al-Haitami RH dinyatakan:

سئل إذا أراد الفرع أن يعطي أصله من سهم الفقراء أو المساكين شيئاً من فطرته أو عسكه والحال أنه ليس في نفقته ذلك الوقت لكونه مستغنياً بما لا يمنع معه إطلاق الفقر أو المسكنة فهل له ذلك أم لا ؟
فأجاب بأنه: يجوز إعطاء الأصل الفرع باسم الفقر أو المسكنة إذا لم تلزمه نفقته وقت الإعطاء؛ لأنه إنما امتنع عليه إعطاؤه عند لزوم مؤنته له؛ لأن في الإعطاء حينئذ إسقاط واجب عليه فكأنه صدق مال نفسه لنفسه، وأما حيث لم تلزمه نفقته فلا محذور في إعطائه من زكاته فجاز له ذلك، بل ينبغي أن يكون إعطاؤه أفضل من إعطاء غيره كما شمله كلامهم في مواضع أخر

Maksudnya: “Ditanya, apabila seseorang furu’ (anak dan ke bawah) hendak memberi zakat fitrah bahagian fakir miskin kepada asal (bapa-ibu dan ke atas) atau sebaliknya (asal beri kepada furu’) dalam keadaan tidak wajib nafkah antara mereka ketika itu disebabkan ada sesuatu yang menghalang penisbahan fakir atau miskin, maka bolehkah perkara tersebut?

Jawab Ibn Hajar: “Boleh seorang asal memberi zakat kepada furu’ bahagian fakir atau miskin, jika tidak wajib nafkah ke atasnya pada waktu pemberian zakat tersebut. Hanya yang menghalang pemberian zakat adalah ketika wajib nafkah darinya. Ini kerana (jika dibenarkan pemberian zakat ketika wajib ke atasnya nafkah) akan menggugurkan kewajipannya iaitulah seperti dia mensedekahkan  hartanya untuk dirinya sendiri. Adapun ketika tidak wajib nafkah, maka tiada tegahan memberikan zakat antara mereka, bahkan sepatutnya pemberian zakat antara mereka adalah lebih utama kepada selain mereka.”  (3/481)


Cetak  
Wallahu a'lam