SDI 1272: Hukum Perkataan Anak: “Jika arwah (sibapa) ada berhutang, boleh buat tuntutan dari saya.”

Soalan:

Seorang yang berdiri bercakap di hadapan jemaah solat jemaah dengan berkata: “Jika arwah (ayah saya) ada berhutang dengan sesiapa yang belum dilangsaikan. Tuan-tuan boleh datang dan tuntut hutang itu dari saya.” Apa hukum ucapan begini ustaz?

Jawapan:

Pertama: Jika jenazah ada meninggalkan harta, maka perkara pertama yang wajib dilangsaikan segera dari harta simati adalah hutangnya. Sekalipun dengan terpaksa menjual harta kekal seperti tanah, rumah dan seumpamanya. Sekalipun sehingga habis seluruh harta yang ditinggalkannya. Perkara ini berdasarkan hadis Nabi SAW:

نَفْسُ المُؤْمِنِ مُعَلَّقَةٌ بِدَيْنِهِ حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ

Maksudnya:  “Jiwa seorang yang beriman tergantung dengan sebab hutangnya sehinggalah hutang tersebut diselesaikan.” (HR al-Tirmizi)

Tergantung dengan ertikata terhalang dari mendapat kedudukan yang mulia. Kata al-‘Iraqi: “iaitulah urusannya tergantung tidak dapat diselesaikan sama ada berjaya atau binasa sehingga diperhatikan apakah hutangnya akan diselesaikan ataupun tidak.” (Lihat Qut al-Mughtazhi ‘Ala Jami’ al-Tirmiz 1/326)

Kedua: Jaminan bayaran hutang termasuk dalam bab al-Kafalah yang merupakan tabarru’ dan berbuat baik. Syarat untuk seseorang penjamin hendaklah dia dari kalangan orang yang berkeahlian melakukan tabbarru’ atau amalan baik tersebut, demikian juga hendaklah seorang yang berakal, baligh dan matang (rasyid). Disyaratkan juga sipenjamin mengetahui kadar dan jenis hutang yang ditanggung oleh peminjam. Di dalam Mukhtasar al-Muzani (8/207) dinyatakan:

وقال الشافعي: ولو ضمن دين ميت بعدما يعرفه، ويعرف لمن هو: فالضمان لازم، ترك الميت شيئاً أو لم يتركه

Maksudnya: “Dan telah berkata al-Syafie: “Dan jika seseorang menjamin hutang jenazah setelah dia mengetahuinya (kadar dan jenis hutang) dan tahu milik siapa hutang tersebut. Maka ia adalah jaminan yang lazim (wajib dilaksanakan). Sama ada jenazah ada meninggalkan sesuatu (harta pusaka) atau tiada.”  

Di dalam Asna al-Matalib 2/394 dinyatakan:

لا يصحّ ضمان المجهول، ولا غير المعين كأحد الدينين...، وبه مع ما مرّ أيضاً يُعلَم أنه يشترط العلم بالجنس والقدر والصفة

Maksudnya: “Tidak sah dhaman atau jaminan yang tidak diketahui (kadar dan jenisnya), tidak sah juga jaminan yang tidak ditentukan seperti jaminan salah satu dari dua hutang… dan dengan perkara ini bersama apa-apa yang telah dinyatakan juga dapat diketahui bahawa disyaratkan mengetahui jenis, kadar dan sifat (sesuatu yang hendak dijamin oleh seseorang itu).”

Justeru, jika seseorang anak menyatakan kesediaannya menjamin hutang bapanya, maka kesediaannya itu adalah suatu akad yang wajib dilaksanakan dari hartanya jika memenuhi syarat-syarat yang dinyatakan di atas. Jika jaminannya itu memaksudkan sianak akan melangsaikan hutang tersebut dari harta peninggalan bapanya, maka dia berhak melakukan perkara tersebut. Namun jika sianak meniatkan dia hendak berbuat baik kepada bapanya dengan menyelesaikan hutang tersebut dari harta sianak sendiri, maka dia wajib melangsaikan hutang sibapanya dengan hartanya dan dia tidak boleh tarik diri dari akad tersebut kerana ia adalah akad yang lazim.

Jika sianak memberi jaminan akan melangsaikan hutang bapanya sedangkan sianak tidak mengetahui kadar, jenis dan sifat hutang, maka sianak tidak wajib melangsaikan hutang tersebut. Namun sunat jika dia melangsaikannya.


Cetak  
Wallahu a'lam