SDI 1277: Hukum Isteri Cium Jenazah Suami

Assalamualaikum, Ustaz

Soalan;  Apakah hukum  isteri mencium jenazah suaminya atau sebaliknya.  Adakah batal wudhu jenazah tersebut? Segelintir masyarakat kita mempunyai dogma mengatakan ianya batal jika berbuat demikian.

Mohon pencerahan ustaz.

 

Jawapan:

Wa'alaikumussalam warahmtullah wabarakatuh.

TIADA HALANGAN seorang isteri mencium jenazah suaminya demikian juga suami mencium jenazah isterinya. Kematian tidak meleraikan ikatan perkahwinan berdasarkan sabit hukum-hakam pewarisan antara suami isteri apabila salah seorang daripada mereka meninggal dunia.

Demikian juga anggapan batal wudhu jenazah dengan ciuman dari pasangannya juga TIDAK BENAR. Hal ini sedemikian kerana, tiada lagi hukum ambil wudhu dan batal wudhu pada nisbah jenazah, kerana hukum taklif telah terangkat dari sesuatu jenazah. Inilah yang dinyatakan oleh para ulama termasuk ulama mazhab Syafi’e seperti yang dapat dirujuk antaranya dari kitab Tuhfah al-Muhtaj Fi Syarh al-Minhaj oleh Ibn Hajar al-Haitami, Fath al-Rahman bi Syarh Zubad Ibn Ruslan oleh al-Ramli dan lainnya. Mandi yang dilakukan ke atas jenazah umat Islam adalah mandi ta‘abbudi iaitulah mandi kerana mematuhi perintah agama, juga membersih dan memuliakan jenazah, bukan mandi mengangkat hadas.


Cetak  
Wallahu a'lam