al-Imam al-Syafi'ie RH

Beliau dilahirkan pada fasa-fasa awal daulah Bani 'Abbasiyyah iaitulah pada tahun 150H dan meninggal dunia pada tahun 204H.  Beliau ialah al-Imam Abu 'Abd Allah, Muhammad bin Idris bin al-'Abbas bin 'Uthman bin Syafi' bin Sa-ib bin 'Ubaid bin 'Abd Yazid bin Hashim bin al-Muttalib bin 'Abd Manaf al-Muttalabi al-Qurashi. 

Nasab beliau betemu dengan nasab Nabi SAW pada 'Abd Manaf bin Qusai. Bapa al-Imam al-Syafi'ie iaitulah Idris bin al-'Abbas tidak banyak ditulis tentang biodatanya di dalam kitab-kitab tarajim, selain dinyatakan satu ketika beliau menetap di Madinah dan mendapati beberapa perkara yang tidak disukainya menyebabkan beliau berpindah ke 'Asqalan di Palestin. Beliau bermuqim di sana dan meninggal dunia di Palestin, setelah kelahiran al-Imam al-Syafi'ie tidak berapa lama.

Demikian juga datuk al-Imam al-Syafi'ie al-'Abbas bin 'Uthman tiada banyak maklumat yang ditulis tentangnya. Manakala 'Uthman bin Syafi' dinyatakan hidup sehingga khilafah Abu al-'Abbas al-Saffah, khalifah pertama Bani 'Abbasiyyah dari tahun 132H - 136H. 

Manakala datuk al-Imam al-Syafi'ie yang ke-3 yang bernama Syafi' bin Sa-ib, yang dinisbahkan al-Imam al-Syafi;ie kepadanya adalah seorang Sahabat Nabi SAW seperti yang dinukilkan oleh kebanyakan ulama tarajim dan siyar.  Saudara lelaki kepada datuk al-Imam al-Syafi'ie yang bernama Syafi'ie ini yang bernama 'Abd Allah bin Sa-ib adalah seorang pemimpin di Mekah di zamannya juga merupakan seorang Sahabi atau Sahabat Nabi SAW.  Hal ini berdasarkan riwayat al-Hafidz Abu Bakr al-Baihaqi dengan sanadnya sampai kepada al-Imam Muslim bin al-Hajjaj penulis kitab Sahih Muslim yang berkata: "Abdullah bin Sa-ib seorang pemimpin Mekah juga seorang sahabi, sahih hadisnya, dia juga merupakan saudara lelaki kepada al-Syafi' bin al-Sa-ib, datuk Muhammad bin Idris." Demikian juga yang dinukilkan oleh al-Fakhr al-Razi daripada al-Imam al-Bukhari  dan selainnya.

Datuk al-Imam al-Syafi'ie ke-4 bernama Sa-id bin 'Ubaid juga merupakan seorang Sahabi, memeluk Islam selepas peperangan Badr dan kuat beralam dengan ajaran Islam. Beliau memiliki irupa paras iras seperti Nabi SAW. Adapun datuk beliau ke-5 yang bernama 'Ubaid bin 'Abd Yazid juga seorang Sahabi, ibunya bernama al-Syifa' الشفاء binti al-Arqam. 'Abd Yazid bin Hashim bin al-Muttalib sempat berjumpa dengan Nabi SAW ketika usia tua menjadikan beliau juga tergolong dalam kalangan sahabat Nabi SAW. Adapun ibunya al-Syifa' binti Hashim bin 'Abd Manaf saudara perempuan kepada 'Abd al-Muttalib bin Hashim, datuk Nabi SAW.   


Cetak  
Wallahu a'lam