Makna Munafik

Glosari Jumlah paparan: 1197

Ulama lughah berbeza pandangan berkaitan asal-usul kalimah al-Nifaq النفاق. Sebahagian mereka berpandangan ia dinisbahkan kepada al-Nafaq النفَق iaitulah al-Sarab السرَب yang merujuk kepada lubang yang memiliki jalan masuk yang tersembunyi atau terlindung di bumi. Ia sempena perbuatan orang munafiq yang menyembunyi dan memendamkan kekufurannya. Lalu diumpamakan mereka dengan haiwan yang masuk ke dalam lubang dan bersembunyi di dalamnya.

Ada juga di kalangan ulama lughah yang berpandangan ia berasal dariنافقاء اليربوع  Nafiqa’ al-Yarbu’ (al-Yarbu’اليربوع  ialah haiwan yang menyerupai tikus yang hidup di padang pasir dan tinggal di dalam lubang (memiliki jalan masuk dan jalan keluar) yang digalinya. al-Nafiqa’ النافقاء ialah nama salah satu jalan masuk ke lubang yang digali oleh Yarbu’, lubang yang satu lagi dinamakan al-Qasi‘a’ القاصعاء). Jika ia diburu dari arah qasi‘a’ dia akan masuk dan keluar dari nafiqa’. Lalu disamakan perbuatan orang munafik yang keluar dari keimanan melalui jalan yang berbeza untuk memasukinya.

Ada pula di kalangan ulama lughah yang mengatakan penyamaan dengan nafiqa’ al-Yaubu’ dari sudut orang munafiq menzahirkan sesuatu yang berbeza dengan apa yang disembunyikannya, kerana sama dengan perbuatan yarbu’ yang mengorek lubang di bumi sehingga hampir sampai ke permukaan, dia akan biarkan tanah itu melindungi jalan keluarnya (نافقاء) agar tidak dapat dikesan. Apabila ada sesuatu yang meragukannya, dia akan menjengukkan kepalanya dari lubang tersebut dan keluar. Pada penglihatan zahir ia nampak seperti permukaan bumi biasa, sedangkan di dalamnya terdapat lubang persembunyian. Kerana itu diumpamakan dengan orang munafik, zahirnya iman dan di dalam dirinya kekufuran. (Lihat Mu’jam al-Lughah untuk kalimah تفق. Lisan al-‘Arab 10/358. Juga Syarh Sunnah al-Nabawiah oleh al-Baghawi 1/71-72, Tafsir al-Qurtubi 1/195)

                Pada istilah pula Nifak ia merujuk kepada perkataan dan perbuatan berbeza dengan iktikad di dalam hati. (Lihat ‘Aridhah al-Ahwazi 10/97) atau merujuk kepada orang yang menyembunyikan kekufurannya dan menzahirkan keimanan. Nifak dengan maksud ini diperkenalkan oleh Islam dan ia tidak pernah digunakan dengan maksud khusus ini oleh orang ‘Arab. (Lihat al-Iman oleh Ibn Taimiyyah, hal.: 284)

                Disebabkan orang munafik pasti akan menzahirkan sesuatu yang berbeza dengan apa yang ada di dalam hati mereka, Allah SWT mensifatkan mereka dengan pendustaan atau pembohongan. Sedangkan orang yang beriman Allah SWT sifatkan sebagai orang-orang yang benar. Allah SWT berfirman tentang orang munafik:

وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ بِمَا كَانُوا يَكْذِبُونَ

Maksudnya: “Dan untuk mereka azab yang pedih kerana mereka berdusta.” (al-Baqarah: 10), dan juga firman Allah SWT:

  وَاللَّهُ يَشْهَدُ إِنَّ الْمُنَافِقِينَ لَكَاذِبُونَ

Maksudnya: “dan Allah menyaksikan sesungguhnya orang-orang munafik itu benar-benar orang yang pembohong.” (al-Hasyr: 11)

                Ciri-ciri penting munafik ialah zahirnya berbeza dengan batin, demikian juga dakwaan yang dilakukannya berbeza dengan hakikat seperti firman Allah SWT:

 وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَقُولُ آمَنَّا بِاللَّهِ وَبِالْيَوْمِ الآخِرِ وَمَا هُمْ بِمُؤْمِنِينَ 

“dan di kalangan manusia, orang-orang yang berkata kami telah beriman dengan Allah dan hari kiamat, sedangkan mereka bukanlah orang-orang yang beriman.” (al-Baqarah: 8)

Kata al-Imam al-Tabari: “Telah sepakat ahli takwil (tafsir) bahawa ayat ini diturunkan pada satu kaum dari orang-orang munafiq, dan inilah sifat mereka.”

                Ibn Taimiyyah RH menyatakan sebahagian fuqaha menggunakan lafaz Zindik untuk memaksudkan munafik. Kata beliau:

 أن (الزنديق) في عرف هؤلاء الفقهاء، هو المنافق الذي كان على عهد النبي صلى الله عليه وسلم، وهو أن يظهر الإسلام ويبطن غيره  

maksudnya: “Bahawa zindik pada kebiasaan penggunaan para fuqaha ialah sama dengan munafik di zaman Nabi SAW, iaitulah menzahirkan Islam dan menyembunyikan kekufuran.” (al-Iman al-Awsat hal.: 13)

Kata Ibn al-Qayyim ketika menerangkan martabat manusia di akhirat:

الطبقة الخامسة عشر: طبقة الزنادقة، وهم قوم أظهروا الإسلام ومتابعة الرسل، وأبطنوا الكفر ومعاداة الله ورسله، وهؤلاء المنافقون، وهم في الدرك الأسفل من النار

maksudnya: “peringkat kelima belas iaitulah peringkat orang-orang zindik. Mereka ialah orang-orang yang menzahirkan Islam dan mengikut rasul, sedangkan menyembunyikan kekufuran dan permusuhan mereka terhadap Allah dan para rasul-Nya. Merekalah golongan munafiq yang berada di dasar neraka.”

(Tariq al-Hijratain hal.: 374)

Cetak