Bulan Syawal

Glosari Jumlah paparan: 736

Syawal merupakan bulan yang ke-10 dalam tahun Hijriyyah. Ia juga merupakan bulan pertama bagi bulan-bulan haji. Dinamakan bulan ini sebagai Syawal sempena Tasywil (تشويل) berpaling dan perginya susu-susu unta (ketiadaan susu). Demikianlah keadaan unta ketika cuaca bersangatan panas dan ketiadaan hujan. Orang ‘Arab apabila menyebut: شوَّلتْ الناقة  bermaksud قل لبنها  sedikit susunya. Jika dikatakan شوَّل الوعاء  ia bermaksud: Sedikit air di dalam bekas itu (قل ما فيه من السائل). [1]

Al-Farra’ pula berkata, dinamakan bulan yang ke-10 ini sebagai Syawal kerana لِشَوَلَان الناقة فيه بذنبها   iaitulah unta betina menaikkan ekornya dalam bulan ini. Orang ‘Arab dahulunya menganggap sial melakukan akad nikah di dalam bulan Syawal. Mereka berkata: “Wanita yang dinikahi akan menghalang sesiapa (lelaki) yang menikahinya, sepertimana Unta Turuqah (طروقة الجمل)[2] menghalang (digauli) apabila ia bunting dengan menaikkan ekornya. Lalu Nabi SAW membatalkan anggapan sial mereka. ‘Aisyah RA berkata: “Aku dikahwini oleh Rasulullah SAW dalam bulan Syawal, dan baginda tinggal bersama denganku dalam bulan Syawal. Maka manakah isteri baginda yang lebih dekat di sisi baginda berbanding aku.” [3] [4]

  1. KELEBIHAN

Syawal merupakan bulan pertama bagi ibadah haji. Hari pertamanya pula merupakan Hari Raya bagi umat Islam, hari diampunkan dosa dan diberi pahala kepada mereka yang melaksanakan ibadah puasa Ramadan dengan bersungguh-sungguh. Kerana itu pada hari 1 Syawal diharamkan puasa. 1 Syawal juga merupakan hari kegembiraan dimana umat islam mengeluarkan zakat fitrah mereka sebelum menunaikan solat Hari Raya. Hal ini berperanan bagi menimbulkan suasana bergembira dan berseronok di kalangan orang-orang kaya dan miskin.

  1. BERHARI RAYA BERSAMA UMAT ISLAM

            Apabila pemerintah umat Islam mengisytiharkan tarikh hari raya. Maka wajib ke atas semua umat Islam di Negara tersebut berhari raya. Hal ini berdasarkan sebuah hadis dari Abu Hurairah RA, Nabi SAW yang bersabda:

الصَّوْمُ يَوْمَ تَصُومُونَ وَالْفِطْرُ يَوْمَ تُفْطِرُونَ وَالْأَضْحَى يَوْمَ تُضَحُّونَ

Maksudnya: “(Hari) puasa itu adalah hari yang semua kamu berpuasa, dan hari raya itu adalah hari semua kamu berhari raya, dan hari korban (raya Adha) itu adalah hari semua kamu berkorban.” (HADIS RIWAYAT al-Tirmizi di dalam Sunannya.)

Setelah menyenaraikan hadis ini, beliau berkata: “Sebahagian ulama menerangkan hadis ini dengan berkata: “Ia bermaksud berpuasa dan berhari raya adalah bersama dengan jamaah dan kesemua orang ramai.”

Al-San’aniy di dalam Subul al-Salam 2/131 berkata: “Hadis ini adalah bukti bahawa diambil kira dalam penetapan hari raya adalah bertepatan dengan orang ramai.”

  1. HUKUM PUASA SYAWAL

            Puasa Syawal atau Puasa 6 Syawal hukumnya adalah sunat. Dalilnya adalah seperti berikut:

  1. Daripada Abu Ayyub RA, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian menurutinya 6 hari puasa dalam bulan Syawal, maka dia seperti berpuasa selama setahun.” (Hadis Riwayat Muslim)

  1. Daripada Thauban Maula Rasulillah SAW katanya, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ صَامَ سِتَّةَ أَيَّامٍ بَعْدَ الْفِطْرِ كَانَ تَمَامَ السَّنَةِ

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa 6 hari selepas berhari raya, dia seperti berpuasa setahun sempurna.” (Hadis Riwayat Ibn Majah. Al-Sindiy ketika mensyarahkan hadis ini berkata: “Dan di dalam al-Zawa’id hadis ini diriwayatkan oleh Ibn Hibban di dalam Sahihnya, dimaksudkan hadis ini Sahih. Dan katanya (penulis al-Zawa’id): Bagi hadis ini juga memiliki penyokong (Syahid).”

  1. Di dalam Sunan al-Nasa’ie, Nabi SAW bersabda:

صِيَامُ شَهْرِ رَمَضَانَ بِعَشَرَةِ أَشْهُرٍ وَصِيَامُ سِتَّةِ أَيَّامٍ بِشَهْرَيْنِ فَذَلِكَ سَنَةٌ

Maksudnya: “Puasa bulan Ramadan (seperti puasa) 10 bulan. Manakala puasa 6 hari seperti berpuasa 2 bulan, maka jadilah seperti puasa setahun.”

Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah:

“Pada puasa 6 Syawal terdapat rahsia yang indah, iaitulah puasa itu berada seperti penampung kepada puasa Ramadan, ia menampung sebarang kekurangan dalam puasa Ramadan. Ia juga berada pada kedudukan solat sunat selepas solat fardhu, dan berada pada kedudukan seperti 2 sujud sahwi. Kerana itu Nabi SAW bersabda: “dan menurutinya (menuruti Syawal dengan Ramadan)” iaitulah menggabungkan sunat 6 Syawal dengan Ramadan.” [5]

  1. PERSOALAN-PERSOALAN BERKAITAN PUASA SUNAT 6 SYAWAL

Pertama: Sunat menyegerakan puasa 6 Syawal sebaik sahaja selesai berhari raya. Iaitulah pada 2 syawal. Hal ini berdasarkan hadis daripada Abu Ayyub RA, yang mana baginda bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudiaan menurutinya 6 hari puasa dalam bulan Syawal, maka dia seperti berpuasa selama setahun.” (Hadis Riwayat Muslim)

Afdhal juga jika dilakukan secara berturut-turut, kerana dengan cara sebegini terdapat unsur bersegera melakukan kebaikan. Sekalipun demikian harus juga dilewatkan puasa sunat 6 Syawal selagi bulan Syawal masih berbaki. Namun al-Imam Ibn Qudamah di dalam al-Mughniy berpandangan tiada perbezaan dalam bab ini, beliau berkata:

فلا فرق بين كونها متتابعة أو متفرقة في أول الشهر أو في آخره لأن الحديث ورد بها مطلقاً من غير تقييد، ولأن فضيلتها لكونها تصير مع الشهر ستة وثلاثين يوماً، والحسنة بعشر أمثالها فيكون ذلك كثلاثمائة وستين يوماً

Maksudnya: “Tiada perbezaan diantara dilakukan berturutan atau tidak, di awal bulan atau di akhirnya, kerana hadis yang ada tentangnya secara mutlak tanpa dikaitkan (dengan sesuatu), dan demikian juga kerana kelebihannya disebabkan puasa 6 bersama sebulan Ramadan itu menjadikan jumlah hari berpuasa sebanyak 36 hari. maka sesuatu kebaikan digandakan menjadi 10, maka jadilah 36 hari itu seumpama 360 hari (bersamaan setahun).” 

Kedua: Hukum Puasa 6 Syawal Sebelum Qada Ramadan. Dalam persoalan ini para ulama berbeza pandangan:

Adapun ulama mazhab Maliki dan Syafie berpandangan harus berpuasa sunat sebelum qadha ramadan beserta dengan makruh. Hal ini kerana puasa sunat  akan menyibukkan seseorang dari menunaikan puasa Qada yang wajib.

من صام تطوعاً وعليه من رمضان شيء لم يقضه فإنه لا يقبل منه حتى يصوم

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa sunat sedang dia memiliki qada Ramadan yang belum ditunaikannya, maka tidak diterima daripadanya (puasa sunat tersebut) sehinggalah dia berpuasa qada.”

Namun hadis ini tidak sahih seperti yang dinyatakan oleh Ibn Abi Hatim. Di dalam sanadnya ada Ibn Lahi’ah. Di samping itu terdapat riwayat kedua dari Imam Ahmad yang menyatakan puasa sunat sebelum qada adalah harus dan sah. Kata al-Mardawi di dalam al-Insaf: “Dan ianya benar.” Maka pandangan yang rajih adalah pandangan majoriti ulama. Antara dalilnya ialah firman Allah SWT yang bermaksud:

“Maka sesiapa yang sakit atau bermusafir, maka gantikanlah pada hari-hari yang lain.” (al-Baqarah: 185) Di dalam ayat ini Allah SWT tidak menetapkan qada tersebut mesti berturutan dengan Ramadan dan tidak juga mesti berturutan hari-harinya. Di samping itu ‘Aisyah juga pernah berkata:

 كان يكون علي الصوم من رمضان فما أستطيع أن أقضيه إلا في شعبان

Maksudnya: “Dahulunya aku ada puasa qada Ramadan, aku tidak mampu menunaikannya melainkan dalam bulan Syaban.”

Hadis ini menunjukkan ‘Aisyah RA melewatkan qada Ramadan sehingga ke bulan Syaban. Mustahil beliau tidak menunaikan puasa sunat seperti 6 hari Syawal, puasa Muharram dan seumpamanya.

Maka tidak mengapa menunaikan puasa sunat 6 Syawal, demikian juga puasa sunat yang lainnya sebelum melaksanakan qada Ramadan. Hal ini kerana qada Ramadan diberi keluasan untuk menunaikannya selagi belum masuk Ramadan yang berikutnya. Manakala puasa 6 hanya ada di dalam bulan Syawal sahaja.

Ketiga: Bagi mereka yang menunaikan puasa sunat 6 Syawal sebelum puasa Qada, apakah dapat memperolehi kelebihan pahala seperti puasa setahun kerana Nabi SAW bersabda: “Siapa yang menyusuli Ramadan dengan 6 Syawal, maka dia seperti berpuasa selama setahun.”? Dalam persoalan ini terdapat 2 pandangan ulama:

Pandangan yang lebih hampir dengan kebenaran adalah pandangan yang kedua. Di mana kelebihan puasa 6 Syawal dapat diperolehi oleh orang yang menunaikannya sebelum menunaikan puasa Qadha Ramadan yang ditinggalkan disebabkan keuzuran. Ini kerana kelebihan tersebut tidak bergantung kepada orang yang telah menunaikan qada sahaja. Sebaliknya kelebihan tersebut berhak diperolehi bagi sesiapa yang berpuasa Ramadan dan memperolehi pahala seperti puasa sebanyak 10 bulan sama ada secara tunai ataupun Qada. Apatah lagi Allah SWT telah meluaskan waktu qada puasa pada hari-hari yang lain dalam setahun. Wallahu a’lam.

Keempat: Apakah boleh menggabungkan niat qada dengan niat puasa 6 serentak? Persoalan ini juga menimbulkan perbezaan pendapat di kalangan ulama. Namun pandangan  yang lebih kuat ialah tidak disyariatkan menggabungkan niat puasa qada dengan puasa 6 Syawal. Ini kerana kedua-dua puasa tersebut adalah ibadah yang dimaksudkan atau yang dikehendaki dilaksanakan dengan sendirinya. Maka ibadah yang seumpama ini tidak boleh digabungkan niat. Ia sama seperti sunat sebelum dan selepas fardhu Zohor sebagai contoh, kedua-duanya adalah ibadah yang dimaksudkan untuk ditunaikan.

  1. BEBERAPA KESALAHAN YANG DILAKUKAN DALAM BULAN SYAWAL

وأما اتخاذ موسم غير المواسم الشرعية كبعض ليالي شهر ربيع الأول التي يقال: إنها ليلة المولد ، أو بعض ليالي رجب ، أو ثامن عشر ذي الحجة ، أو أول جمعة من رجب ، أو ثامن شوال الذي يسميه الجهال عيد الأبرار : فإنها من البدع التي لم يستحبها السلف ، ولم يفعلوها . والله سبحانه وتعالى أعلم

Maksudnya: “Dan adapun menjadikan sesuatu musim selain dari musim-musim perayaan yang ditetapkan oleh Syariat seperti musim beberapa malam awal dalam bulan Rabi’ al-Awwal yang dikatakan malam Maulid, atau musim beberapa malam dalam bulan Rejab, atau musim pada hari ke-18 Zulhijjah, atau Jumaat pertama Rejab, atau hari ke-8 Syawal yang orang-orang jahil menamakannya dengan ‘Ied al-Abrar. Maka sesungguhnya kesemuanya termasuk di dalam bid’ah yang tidak dianjur dan tidak dilakukan oleh generasi salaf. Wallahu SWT A’lam.” (Majmu’ al-Fatawa 25/298)

Terdapat solat yang dilakukan di dalam bulan Syawal selepas Hari Raya. Saya maksudkan malam kedua dalam bulan Syawal, demikian juga malam ke-4 dalam bulan yang sama sepanjang puasa sunat 6 Syawal. Solat ini dinamakan sebagai Solat Tasbih yang ditunaikan selepas solat ‘Isya’, sebanyak 4 rakaat, dan ada salam antara dua rakaat, qiyamnya amat panjang, demikian juga ketika rukuk dan sujud. Di dalam solat itu juga terdapat bilangan tertentu bagi bertasbih, bertahmid dan bertahlil  untuk dibaca sehingga menjadikan solat ini panjang. Apakah solat ini ada asalnya? Dan apakah pula hukum dalam permasalahan ini?

Jawapan:

Tidak thabit dari Nabi SAW yang baginda mensyaritakan solat 4 rakaat pada pada malam-malam hari yang disunatkan puasa  6 Syawal. Tidak juga dalam sebahagian malam-malamnya. Maka solat tersebut adalah bid’ah[6], demikian juga menetapkan masa tertentu untuk ditunaikan solat tersebut adalah bid’ah, menjadikan solat tersebut dengan kaifiat yang dinyatakan juga adalah bid’ah. Telah thabit dari Nabi SAW yang bersabda:

من أحدث في أمرنا هذا ما ليس منه فهو رد

Maksudnya: “Sesiapa yang mengada-adakan dalam urusan agama ini, apa-apa yang bukan daripadanya maka ianya adalah ditolak.”  (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Dalam riwayat lain baginda bersabda:

من عمل عملاً ليس عليه أمرنا فهو رد

Maksudnya: “Sesiapa yang mengamalkan satu amalan yang bukan dari perintah kami, maka amalan itu tertolak.” (Hadis Riwayat Muslim)

Wallahu a’lam.

“Ziarah Kubur adalah sunnah Rasulullah SAW. Telah thabit di dalam hadis baginda bersabda:

كنت نهيتكم عن زيارة القبور، ألا فزوروها فإنها تذكركم بالآخرة

Maksudnya: “Dahulunya aku pernah melarang kamu semua dari menziarahi kubur, akan tetapi sekarang ini ziarahlah kubur, kerana ia dapat mengingatkan kamu semua kepada hari akhirat.” (Hadis Riwayat Muslim)

Akan tetapi agama tidak menentukan hari tertentu untuk menziarahi kubur. Oleh yang demikian perbuatan mengkhususkan hari raya untuk menziarahi kubur adalah Bid’ah Makruhah (Bid’ah yang makruh), kadang-kadang pula boleh menjadi haram jika disertai dengan perkara-perkara mungkar seperti yang kita saksikan pada hari ini terdiri dari perkara-perkara seperti perginya wanita ke tanah perkuburan dalam keadaan bertabarruj dan bercampur dengan orang-orang lelaki yang ajnabi. Demikian juga berlakunya perkara-perkara haram lain seperti duduk di atas kubur, memijak kubur dan seumpamanya yang menyalahi petunjuk Nabi SAW di tanah perkuburan. Maka mesti diketahui bahawa tidak boleh mengkhususkan sesuatu masa atau tempat dengan sesuatu ibadat melainkan dengan adanya dalil atau bukti. Oleh itu mengkhususkan hari raya sebagai  hari untuk menziarahi kubur adalah perkara yang tidak terdapat dalil dari Rasulullah SAW. Tidak termasuk dari petunjuk  Rasulullah SAW dan para sahabat baginda menziarahi kubur pada hari raya. Sesungguhnya sebaik-baik petunjuk itu adalah petunjuk Rasulullah SAW, dan sesungguhnya sebaik-baik perkara kebaikan ialah mengikuti sunnah Rasulullah SAW dan seburuk-buruk keburukan ialah mengada-adakan sesuatu perkara di dalam agama.” (terjemahan beserta sedikit olahan dari http://islamway.net, fatwa bilangan: 27819)

  1. HADIS-HADIS DHOIF TENTANG KELEBIHAN SYAWAL

Terdapat beberapa hadis dhoif yang diriwayatkan tentang kelebihan Syawal antaranya:

  1. من صام رمضان وشوالا والأربعاء والخميس والجمعة دخل الجنة

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan, Syawal, hari Rabu, Khamis dan Jumaat, dia akan masuk ke dalam syurga.” (Dikeluarkan oleh Ahmad 3/416. Hadis ini Dhoif seperti yang dinyatakan di dalam al-Silsilah al-Dhoifah oleh al-Albani 4612)  

  1. إن لأهلك حقا ، صم رمضان والذي يليه ، وكل أربعاء وخميس ، فإذا أنت قد صمت الدهر

Maksudnya: “Sesungguhnya bagi keluargamu ada hak mereka, berpuasalah dalam bulan Ramadan dan bulan selepasnya (Syawal) dan setiap hari Rabu dan Khamis. Maka kamu seperti telah berpuasa setahun.” (Dikeluarkan oleh Abu Daud 2432, al-Tirmizi 748. Hadis ini Dhoif seperti yang dinyatakan di dalam Dhoif Abi Daud oleh al-Albani 420)

  1. أن أسامة بن زيد رضي الله عنه كان يصوم أشهر الحرم فقال له رسول الله صلى الله عليه وسلم : " صم شوالا " فترك صيام أشهر الحرم ، ثم لم يزل يصوم شوالا حتى مات

Maksudnya: “Bahawa Usamah bin Zaid RA dahulunya berpuasa dalam bulan-bulan yang haram (yang dimuliakan). Lalu Rasulullah SAW bersabda kepadanya: “Puasalah pada bulan Syawal.” Lalu beliau meninggalkan puasa dalam bulan-bulan haram dan berterusan berpuasa dalam bulan syawal sehinggalah beliau meninggal dunia.” (Dikeluarkan oleh Ibn Majah 1744. Hadis ini dinilai Dhoif oleh Ibn Rejab di dalam Lata’if al-Ma’arif 392. Al-Albani juga menilai hadis ini Dhoif di dalam Dhoif Sunan Ibn Majah 133).  

  1. من صام ستة أيام بعد الفطر متتابعة ، فكأنما صام السنة كلها

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa 6 hari selepas hari raya berturut-turut, maka dia seperti telah berpuasa setahun penuh.” (Dikeluarkan oleh al-Tabarani di dalam al-Awsath. Hadis ini Dhoif seperti yang dinyatakan di dalam Dhoif al-Targhib wa al-Tarhib oleh al-Albani 1/309)

  1. من صام رمضان وأتبعه ستا من شوال ، خرج من ذنوبه كيوم ولدته أمه

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan dan diturutinya dengan puasa 6 hari dalam bulan syawal, dia bebas dari dosa-dosanya seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya.” (Dikeluarkan oleh al-Tabaraniy di dalam al-Awsath. Hadis ini Dhoif seperti yang dinyatakan di dalam Dhoif al-Targhib wa al-Tarhib oleh al-Albani 1/309)

  1. أن النبي صلى الله عليه وسلم تزوج أم سلمة في شوال، وجمعها إليه في شوال

Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW mengahwini Ummu Salamah dalam bulan Syawal, dan bersama dengannya juga dalam bulan Syawal.” (Hadis ini dinilai Lemah oleh al-Albani di dalam Dhoif Sunan Ibn Majah 432)

  1. ‏أن رسول الله صلى الله عليه وسلم لم يعتمر إلا ثلاثاً، إحداهن في شوال، واثنتين في ذي القعدة

Maksudnya: “Bahawa Rasulullah SAW tidak melakukan umrah melainkan tiga kali. Salah satunya dalam bulan Syawal, dan dua kali lagi di dalam bulan Zulkaedah.” (di dalam al-Tamhid oleh Ibn ‘Abd al-Barr dinyatakan hadis ini Mursal)

-------------------------------------------------- 

[1] Lihat al-Ra’id

[2] Unta Turuqah ialah unta betina yang telah sampai umur untuk bunting. Lihat Fath al-Bari – Kitab al-Zakah – Bab Zakah al-Ghanam. Lihat juga Mirqah al-Mafatih Syarh Misykah al-Masabih.

[3] Lihat Lisan al-‘Arab

[4] HADIS RIWAYAT Ibn Majah dan al-Nasa’ie. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih Ibn Majah dan Sahih al-Nasa’ie. Hadis ini juga dinilai Sahih oleh Ibn Hibban di dalam kitab Sahihnya.

[5] Lihat Manar al-Munif

[6] Terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama tentang hukum Solat al-Tasbih. Sebahagian beranggapan ianya bid’ah seperti pandangan yang dipilih oleh Lajnah Fatwa ini dan sebahagian mengatakan tidak bid’ah bahkan termasuk di dalam sunnah. Lihat Thalatha Solawat Mahjurah oleh al-Syeikh ‘Adnan Muhammad ‘Ar’ur. Namun menetapkan dan mengkhususkan Solat al-Tasbih atau apa-apa solat pada mana-mana hari dan waktu yang tidak ditetapkan atau dikhususkan oleh Nabi SAW dan dilakukan secara berterusan, tetap termasuk di dalam bid’ah yang ditegah. Wallahu a’lam.

Cetak