Benarkan Orang Yang Mati Syahid Tidak Merasa Sakit?

Hadis dan Ulumnya Jumlah paparan: 3790

Soalan: 

adakah benar dakwaan yg mngatakn org yg mati syahid ni tidak akn merasakn sakit mati

Jawapan:

Thabit di dalam hadis menyatakan orang yang mati syahid tidak merasai kesakitan sakit dibunuh. Antara hadis tersebut ialah apa yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, al-Tirmizi, al-Nasa’ie, Ibn Majah, Ibn Hibban dan al-Baihaqi daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَا يَجِدُ الشَّهِيدُ مِنْ مَسِّ الْقَتْلِ، إِلَّا كَمَا يَجِدُ أَحَدُكُمْ مَسِّ الْقَرْصَةِ

Maksudnya: “seorang yang mati syahid tidak mendapati rasa sakit dibunuh melainkan sepertimana seseorang daripada kamu merasai rasa qarsah.”  (hadis ini dinilai Sahih oleh al-Tirmizi, al-Suyuthi, Ahmad Syakir dan al-Albani)

Qarsah ialah rasa dicubit berdasarkan pengertian yang diberikan di dalam al-Qamus al-Muhith yang menyebut: أخْذُكَ لَحْمَ الإِنْسَانِ بإصْبعَيْكَ حتى تُؤْلِمَهُ yang bermaksud: ”Kamu mengambil daging seseorang dengan dua jari kamu sehingga menyakitkannya.” Ada juga ulama yang mengatakan ia seperti gigitan semut

Ibn Hibban di dalam kitabnya menyenaraikan hadis ini di bawah tajuk: ذِكْرُ وَصْفِ مَا يَجِدُ الشَّهِيدُ مِنْ أَلَمِ الْقَتْلِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ جَلَّ وَعَلَا Sebutan sifat apa yang diperolehi oleh seseorang syahid dari kesakitan terbunuh di jalan Allah Jalla wa ‘Ala”  

Perletakan bab oleh Ibn Hibban ini menunjukkan keistimewaan ini diperolehi oleh mereka yang syahid terbunuh di dalam jihad fisabilillah sahaja, tidak merangkumi semua jenis mati syahid.

Cetak
Wallahu a'lam