Antara faedah dari perkataan al-Tirmizi: "Hadis itu menjadi amalan para ulama"

Hadis dan Ulumnya Jumlah paparan: 378

Takbiratul Ihram dan Hukumnya

Kata al-Syeikh Idris al-Marbawi di dalam Bahrul Mazi: “Kata Abu Isa – lalu beliau (Syeikh Idris) nukilkan perkataan al-Imam al-Tirmizi yang berkata – dan bermula amal atas hadis di dalam masalah 259 itu di sisi ahli ilmu daripada sahabat-sahabat Nabi SAW dan mereka yang demikian daripada mereka itu.”

Perkataan seperti ini, memberi beberapa faedah. Antara faedah yang boleh diambil iaitulah, beramal dengan hadis pada masalah 259 itu adalah amalan para ulama terdiri dari kalangan ulama sahabat, ulama tabi’in dan ulama zaman berzaman sehinggalah zaman kita ini.

Demikian juga faedah lain yang boleh diambil dari perkataan syeikh Idris ini: “Menjadi amalan di sisi ahli ilmu” menunjukkan perkara itu tidak berlaku mansukh. Barangkali tuan-tuan perasan, dalam kuliah kita selama ini, kita dapat tahu dalam perkara-perkara berkaitan hukum-hakam syarak ini, ada beberapa perkara yang berlaku padanya mansukh atau pembatalan hukum. Demikian juga pada ayat al-Quran, pada hadis, ada berlaku pada sesuatu ayat al-Quran atau hadis mansukh atau pembatalan hukum.

Maka apabila ulama kata: “Amalan itu diamalkan oleh para sahabat dan ulama” menunjukkan ia tidak mansukh, kerana ia diamalkan oleh para sahabat Nabi dan para ulama.

Itu antara faedah yang boleh kita ambil dari perkataan al-Tirmizi yang dinukilkan oleh syeikh Idris di sini. Kemudian kata dia: “Dan dengan dialah – yakni dengan pandangan tentang takbiratul ihram itu, iaitulah dalam masalah 259, tentang hadis مفتاح الصلا الطهور، تحريمها التكبير و وتحليلها التسليم anak kunci kepada solat itu adalah bersuci, mula solat dengan bertakbir dan menghabiskan solat dengan memberi salam. Itu yang dimaksudkan yang menjadi amalan para ulama, maknanya ia hukum yang kekal sehingga ke hari ini. Kata dia lagi: “Dan dengan dialah berkata Sufyan al-Thauri” apa yang dimaksudkan dengan “dengan dialah” itu? Iaitulah yang mengatakan anak kunci kepada solat itu adalah dengan bersuci, memulakan solat dengan bertakbir, habis solat dengan memberi salam. Dengan perkara inilah yang dinytakan oleh Sufyan al-Thauri, Ibn al-Mubarak, al-Syafie dan Ahmad dan Ishak, lima ulama yang dia sebut. Jadi perkara yang sedang kita belajar ini, kita akan rasa selesa, kerana ianya menjadi amalan para ulama dahulu dalam memahami hadis Nabi SAW. Kerana mustahil para ulama beramal dengan sesuatu yang bertentangan dengan hadis Nabi SAW.

Cetak
Wallahu a'lam