Nasihat al-Syeikh ‘Abd al-Muhsin ‘Abbad kepada al-Syeikh Rabi’ al-Madkhali

Friday, August 5, 2011

Soalan:

Keluar khabar angin dari sebahagian orang yang berpenyakit hatinya, mendakwa secara dusta bahawa tuan telah mengkritik al-Syeikh Rabi’ dalam salah satu kuliah tuan. Kami beranggapan mereka melakukan perkara tersebut hanya bertujuan untuk melaga-lagakan sesama ulama, apakah pandangan tuan dalam perkara ini? apa pula nasihat tuan kepada orang-orang seperti ini? kami akan mengambil rakaman dan akan menyebarkannya sebagai penjelasan kepada kebatilan mereka.

Jawapan:

Al-Syeikh Rabi’ termasuk dari kalangan mereka yang menyibukkan diri dengan ilmu pada zaman ini, beliau memiliki kesungguhan yang baik dan besar dalam beramal dengan sunnah, demikian juga penulisannya yang baik dan besar manfaatnya. Akan tetapi akhir-akhir ini beliau sibuk dengan perkara-perkara yang tidak sepatutnya, sebaliknya beliau sepatutnya menyibukkan diri dengan perkara yang dilakukannya dahulu iaitulah kesungguhan menghasilkan penulisan yang bermanfaat. Akhir-akhir ini beliau melakukan beberapa perkara yang kami tidak menyetujuinya, kami memohon kepada Allah ‘Azza wa jalla agar memberikan taufik kepada kami dan beliau kepada setiap kebaikan, demikian juga untuk diberikan taufaik kepada semua kepada setiap perkara yang memberi kebaikan. Saya tidak mencela beliau, tidak juga menjauhkan orang daripada beliau. saya katakana beliau termasuk dari kalangan ulama yang berkemampuan, sekiranya beliau menyibukkan diri dengan ilmu dan bersungguh sudah tentu ianya memberi manfaat kepada orang ramai. Dahulunya kesungguhan beliau lebih besar dari kesungguhannya ketika ini. Saya menganggap al-Syeikh Rabi’ termasuk dari kalangan ulama yang diambil ilmu darinya, dan kebaikan mereka adalah besar, akan tetapi setiap orang boleh diambil perkataannya, demikian juga boleh ditolak perkataannya, tiada seorangpun yang maksum. Kami tidak bersetuju dengan beliau dalam sebahagian perkara yang berlaku terutamanya pada masa ini yang menimbulkan fitnah (keburukan) yang besar dan tersebar. Sehingga menjadikan pada penuntut ilmu saling tidak bertegur-sapa, saling bertengkar dan saling bertikai sesama mereka disebabkan apa yang berlaku diantara beliau (al-Syeikh Rabi’) dan tokoh lain, sehingga orang ramai terbahagi kepada dua golongan, tersebarnya fitnah dan merebak. Beliau dan orang-orang selain beliau sepatutnya meninggalkan dari berterusan dalam perkara ini yang menimbulkan fitnah, dan sepatutnya setiap orang menyibukkan diri dengan ilmu yang bermanfaat dan mengabaikan perkara ini yang menimbulkan perpecahan dan berpuak. Saya memohon kepada Allah ‘azza wa jalla untuk dikurniakan taufik kepada semua. (Syarh al-Arba’ien al-Nawawiah [18] oleh al-Syeikh ‘Abd al-Muhsin al-‘Abbad)


Cetak  
Wallahu a'lam