Anak Tak Sah Taraf Di'Bin'kan Kepada Bapanya (3)

Isu dan Pemikiran Semasa Jumlah paparan: 251

Hadis riwayat alBukhari dan Muslim tentang kisah Juraij seorang ahli ibadah yang dituduh berzina oleh seorang pelacur antara bukti jelas BOLEH dinasabkan seorang anak kepada bapa zinanya.

Di dalam kisah tersebut Juraij bertanya kepada bayi yang baharu dilahirkan hasil perzinaan ibunya, Juraij bertanya:

من أبوك يا غلام؟

Maksudnya: "Siapa BAPA kamu, wahai anak (yang masih baru dilahirkan)?"

Bayi itu menjawab:

أبي الراعي

Maksudnya: "Bapaku adalah seorang pengembala (bukan Juraij yang terfitnah)."

Bayi di dalam hadis ini berkata-kata sebagai satu karamah dari Allah SWT kepada Juraij seorang ahli ibadah. Bayi itu menyatakan bapanya adalah pengembala sedangkan hubungan sipengembala dengan ibunya sehingga melahirkannya adalah hubungan zina.

Kisah yang diceritakan oleh Nabi SAW ini menthabitkan bapa bagi anak tersebut melalui hubungan zina.

Kata Ibn alQayyim:

"Penuturan ini adalah dari Allah yang tidak mungkin padanya ada pendustaan." (Zad alMa'ad 5/382)

Kata alImam alQurtubi di dalam kitab tafsirnya:

"Nabi SAW telah menceritakan tentang Juraij yang menasabkan anak zina kepada lelaki yang berzina dengan ibunya, dan Allah membenarkan penisbahan itu dengan sesuatu yang mencarik kebiasaan pada menjadikan bayi itu berkata-kata sebagai penyaksian kepada Juraij. Lalu Nabi mengkhabarkan kisah yang berlaku pada Juraij dalam bentuk pujian dan menzahirkan karamahnya. Maka ini menunjukkan penisbahan itu adalah benar dengan pembenaran dari Allah Taala dan dengan pengkhabaran dari Nabi SAW. Maka sabitlah hubungan anak (antara bayi tersebut dengan bapa zinanya), demikian juga hukum-hakam sekitarnya." (alJami' Li Ahkam alQuran 5/115)

Kata Ibn alQayyim lagi:

"Qiyas ini adalah qiyas yang benar. Kerana bapa (lelaki tersebut) adalah salah seorang dari yang berzina. Apabila sianak dinisbahkan (sabit anak) kepada ibunya (yang berzina), lalu anak itu adalah anak siibu. Siibu mewarisi anak dan sianak mewarisi ibu, dan sabit pula nisbah (hubungan) antara sianak dengan keluarga siibu sedangkan sianak itu adalah anak zina. Apabila diperolehi sianak melalui benih lelaki dan perempuan yang berzina yang mereka berkongsi benih dalam menghasilkan anak tersebut, dan bersetuju anak itu adalah anak mereka, maka apakah lagi penghalang yang menghalang dari dinasabkan sianak kepada bapa zinanya jika tiada orang lain yang membuat dakwaan yang serupa? Ini adalah qiyas yang sebenar." (Zad alMa'ad 5/381)

Cetak
Wallahu a'lam