SDI 0641: Apakah Sunnah Cuti Hari Jumaat?

Soalan:
Bukankah perlis hendak hidupkan sunnah? tapi kenapa tak bagi cuti hari Jumaat? yahudi kristianpun bagi cuti hari besar mereka sabtu dan ahad.

Ada org kata, bukan saya kata ust... mohon komen ust.

Jawapan:

Tidak dinafikan terdapat banyak hadis-hadis Sahih yang menunjukkan Jumaat adalah penghulu bagi hari-hari dalam seminggu. Namun memuliakan hari Jumaat bukan dengan bercuti. Bercuti pada hari Jumaat tidak termasuk dalam tunjuk ajar Nabi SAW bagi membesar dan memuliakannya. Bahkan jika bercuti pada hari Jumaat kerana Yahudi dan Kristian membesarkan hari Sabtu dan Ahad dengan bercuti, lalu kita juga hendak cuti pada hari Jumaat seperti mereka, maka ini adalah termasuk perbuatan jelas menyerupai Yahudi dan Kristian yang dilarang oleh Nabi SAW.

Di zaman Nabi SAW, hari Jumaat adalah HARI BEKERJA, bukan hari bercuti, buktinya:

1. Ayat alQuran di dalam surah alJumaah 9-10:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ فَإِذَا قُضِيَتِ الصَّلَاةُ فَانتَشِرُوا فِي الْأَرْضِ وَابْتَغُوا مِن فَضْلِ اللَّهِ وَاذْكُرُوا اللَّهَ كَثِيرًا لَّعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: "wahai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kepada mengingati Allah, DAN TINGGALKAN JUAL BELI, demikian itu lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui. Maka apabila selesai menunaikan solat (Jumaat), bertebaranlah kamu semua di atas muka bumi, carilah dari kelebihan yang Allah sediakan untuk kamu dan ingatlah akan Allah banyak-banyak, mudah-mudahan kamu beroleh kejayaan."

2. Hadis alBukhari dan Muslim daripada 'Aisyah RA berdasarkan lafaz Muslim menyatakan:

كان الناس أهل عمل ولم يكن لهم كُفاة فكانوا يكون لهم تفل فقيل لهم: لو اغتسلتم يوم الجمعة؟

Maksudnya: "Dahulunya orang ramai (para sahabat di Madinah) melakukan kerja mereka sendiri, mereka tidak memiliki khadam untuk melakukan kerja-kerja tersebut, sehingga menjadikan mereka berbau busuk peluh. Lalu dikatakan kepada mereka: "(alangkah baik) jika kamu semua mandi terlebih dahulu (sebelum hadir solat Jumaat) pada hari Jumaat."

Dalam riwayat Abu Daud, 'Aisyah berkata:

كَانَ النَّاسُ مُهَّانَ أَنْفُسِهِمْ فَيَرُوحُونَ إِلَى الْجُمُعَةِ بِهَيْئَتِهِمْ فَقِيلَ لَهُمْ لَوْ اغْتَسَلْتُمْ

Maksudnya: "Dahulunya para sahabat bekerja sendiri, mereka hadir ke solat Jumaat dengan keadaan mereka itu (berpeluh dan berbau). Lalu dikatakan kepada mereka: "Kalaulah kamu semua mandi terlebih dahulu (bagi kebersihan dan menghilangkan bau)"

Ayat alQuran dan hadis ini menunjukkan hari Jumaat di zaman Nabi SAW adalah hari bekerja bukan hari bercuti.

Kerana itu Imam Malik bin Anas RH, salah seorg guru Imam alSyafie berpandangan Makruh bercuti pada hari Jumaat, beliau berkata:

لا ينبغي للإمام أن يمنع أهل الأسواق من البيع يوم الجمعة .

Maksudnya: "Tidak sepatutnya bagi pemerintah menghalang para peniaga dari berniaga pada hari Jumaat."

Beliau juga berkata:

وبلغني أن بعض أصحاب رسول الله صلى الله عليه وسلم كانوا يكرهون أن يترك الرجل العمل يوم الجمعة ، كما تركت اليهود والنصارى العمل في السبت والأحد

Maksudnya: "Telah sampai kepadaku bahawa sebahagian para sahabat Rasulullah SAW membenci seseorang lelaki meninggalkan kerja (tidak bekerja atau bercuti) pada hari Jumaat, sepertimana orang-orang Yahudi dan Kristian meninggalkan kerja pada hari Sabtu dan Ahad." (alMudawwanah 1/235)

Tidak dinafikan, semeangnya terdapat pandangan lain dalam kalangan ulama yang mengharuskan cuti pada hari Jumaat bagi tujuan memberi kesempatan untuk berwangian, membersihkan diri dan datang awal ke masjid. Ia seperti pandangan dari Ibn Hajar alHaitami di dalam alFatawa alFiqhiyyah alKubra 2/411 dan selainnya.

Hal ini menunjukkan cuti atau bekerja pada hari Jumaat TIDAK BOLEH dijadikan sebagai kayu ukur berpegang dengan sunnah atau tidak. Sebaliknya ia kembali kepada pemerintah untuk memilih mana-mana hari dalam seminggu sebagai cuti mingguan.


Cetak  
Wallahu a'lam