SDI 1194: Boleh tak ustaz ringkaskan jawapan tentang WAHABI agar dapat merasa sedikit ketenangan...

Soalan: 

Mohon pencerahan dan komen dari Ustad tentang Wahabi. Kami orang awam ni dah keliru, mana satu yang betul? Ada ustaz yang kata Wahabi sesat dan kafir, ada ustaz lain kata Wahabi betul dan ahli sunnah wal jamaah? ..semoga Allah melindungi kami dari kecelaruan pada kami yg amat daif di dalam ilmu Allah ini...TQ uztad kadir..

Buat sementara waktu...bolih tak uztad pendekkan jawapan seberapa ringkas agar saya dapat merasa sedikit ketenangan...

TQ uztad..

Jawapan:

Mudah-mudahan ALlah bimbing kita semua ke jalan yang diredhai-Nya. Di bawah ini jawapan ringkas dari saya, agar dapat meredakan kecelaruan tuan yang bertanya.

Asas masalah berkaitan Wahabi adalah maklumat yang berkecamuk tentang Wahabi itu sendiri. Ia timbul disebabkan Muhammad bin Abdul Wahab, indvidu yang dikatakan sebagai pengasas fahaman Wahabi, melawan arus di zamannya, menentang amalan-amalan syirik, khurafat dan bidaah pada nilaian beliau yang meluas di negara-negara umat Islam termasuk di Mekah dan Madinah ketika itu.

Bila kita faham situasi ini, maka sudah tentu Wahabi ini, berdepan dengan serangan dari pihak yang kontra dengannya, yang juga dari kalangan umat Islam seluruh dunia termasuk di Mekah dan Madinah, di zaman itu.

Wujudlah dua golongan dalam berdepan dengan isu Wahabi:

1. Golongan yang bersetuju dengannya. Terdiri dari kalangan: 

i. Ulama Ahli al-Sunnah wa al-Jam'ah, yang sama pemikiran dengan Muhammmad bin Abdul Wahab dalam persoalan khilaf bidaah,

ii. Mereka yang belajar di Mekah atau Madinah setelah terbentuknya kerajaan Sa’udi,

iii. Mereka yang menerima dan menilai maklumat tanpa berpada dengan sebelah pihak sahaja,

iv. Ada juga dari kalangan orang yang bertaklid buta dengan maklumat yang sampai kepadanya sahaja.

2. Golongan yang tidak bersetuju, dari kalangan orang Islam juga, termasuk di Mekah dan Madinah ketika itu yang sebahagiannya memang dari kalangan:

i. Pelaku perbuatan yang boleh membawa kepada syirik,

ii. Pelaku amalan yang dinilai bidaah dan khurafat oleh Wahabi,

iii. Golongan ulama Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah yang berbeza pemahaman dan penilaian dalam persoalan-persoalan khilaf dengan Muhammad bin Abdul Wahab, sama ada dalam isu furu' akidah ataupun fiqah,

iv. Pihak dii luar Saudi dari kalangan golongan yang menerima maklumat dari pihak yang tak suka dan bermusuh dengan Muhammad bin Abdul Wahab dari kalangan golongan yang disebut sebelum ini,

v. Golongan taklid buta dengan maklumat yang sampai kepada mereka sahaja.   

Saya percaya, Kebanyakan ulama-ulama Melayu duhulu menerima maklumat dari pihak yang tidak bersetuju dengan Wahabi. Mungkin ada yang bertanya: “sebab apa ulama Melayu ambil maklumat dari pihak yang tak bersetuju dengan Wahabi?” Jawabnya: "Mungkin ada beberapa sebab, antaranya:

i. Kerana yang tidak bersetuju dengan Muhammad bin Abdul Wahab adalah ramai ketika itu.

ii. Mungkin juga sememangnya berbeza pemikiran dan penilaian dalam isu-isu khilaf, sama ada dalam persoalan furu’ akidah mahupun fekah.

iii. Ditambah dengan propaganda musuh kononnya Wahabi berusaha nak menjatuhkan khalifah umat Islam ketika itu di Turki untuk kembalikan kepimpinan orang Arab. Maka sudah tentu khalifah yang memang dah lemah pada ketika itu takut dengan propaganda seperti ini.

Cuba bayangkan kalau ulama Melayu dulu terima surat dari Turki atau wakilnya tentang bahaya Wahabi. Kalu kita berada di zaman itu kita terima atau tidak? Tak mustahil kita juga akan terima. Maka samalah dengan situasi ulama-ulama kita dahulu, ditambah dengan beberapa perbezaan pemikiran yang sememangnya ada antara mereka sama ada dalam isu furu’ akidah ataupun fekah, ditambah lagi dengan fitnah-fitnah ke atas Muhammad bin Abdul Wahab yang dibuat, merumitkan lagi keadaan.

Isu Wahabi hari ini lebih rumit… saya sendiri berhadapan dengan USTAZ-USTAZ di whatsapp groups yang berkeyakinan menyesatkan Wahabi itu seperti jihad terbesar zaman ini. Bila ditanya apa bukti tuduhan beliau Wahabi menolak ijmak dan qiyas? Ternyata dia gagal datangkan bukti melainkan bukti kejahilannya semata-mata. Dituduh Wahabi sebagai Mujassimah, ketika ditanya mujassimah macamana yang dia maksudkan? Apakah mujassimah itu kesimpulan dari pihak yang tidak bersetuju dengan Wahabi? Atau memang Muhammad bin Abdul Wahab yang nyatakan? Malangnya ustaz ini, tidak tahu sama sekali. Bahkan ternyata erti mujassimahpun dia tidak tahu. Dia tidak sedar, banyaknya nukilan ulama yang menghukum kafir mujassimah termasulah nukilan dari al-Imam al-Syafie dan Ibn Taimiyyah sendiri. Dalam masa yang sama dia kata dia tak kafirkan Wahabi. Lihatlah betapa dia sendiri jahil dalam perkara yang dia nak lawan.

Muhammad bin Abdul Wahab ada tulis beberapa buku dan risalah. Kalau kita baca risalah-risalah beliau, kita akan dapat rasankan beliau juga merasai dan menjangkakan fitnah yang dikenakan ke atas dirinya.

Apapun Muhammad bin Abdul Wahab juga seorang manusia. Beliau seorang tokoh umat Islam dan ada sumbangan yang telah beliau lakukan untuk umat Islam. Manusia tetap seorang manusia, pandangan dan pendirian dia berhak dinilai semula, mana yang baik dan sesuai dengan kita, diambil, mana yang silap dan tidak sesuai, diketepikan. Tapi untuk sesatkan beliau, saya tidak berani.

Pada pandangan saya, sebahagian fatwa-fatwa yang dikongsi tentang Muhammad bin Abdul Wahab adalah fatwa lama atau oleh ahli-ahli fatwa yang masih berpegang dengan maklumat-maklumat lama yang mereka terima.

Yang pasti sampai hari ini, tiada kenyataan JAKIM yang kata Wahabi sesat setakat maklumat saya, melainkan yang ada mereka kata tidak sesuai dengan suasana Malaysia, pada zaman YB Jamil Khir hari tu jadi menteri agama.

Sukar untuk kita menyesatkan Wahabi dalam keadaan berbagai tokoh ulama kemudian yang membela Wahabi dan memuji gerakan yang dibawanya seperti al-Syeikh ‘Atiah Saqr (Mesir), al-Syeikh Muhammad al-Ghazali (Mesir), al-Syeikh al-Qaradhawi, Dr. Wahbah al-Zuhaili dan ramai lagi.

Di sini sahaja komentar ringkas saya, mudah-mudahan bermanfaat.


Cetak  
Wallahu a'lam