SDI 1342: Apakah Qabil Dari Kalangan Ahli Neraka Atau Ahli Syurga?

Sirah dan Kisah Umat Terdahulu Jumlah paparan: 1905

Soalan:

Ustaz. Anak Nabi Adam AS, Qabil yang membunuh Habil, apakah kesudahannya? Apakah dia dari kalangan ahli syurga atau neraka?

Jawapan:

Tidak terdapat bukti secara pasti sama ada dari al-Quran ataupun al-Sunnah yang menerangkan kesudahan Qabil, apakah beliau dari kalangan ahli syurga ataupun neraka.

Al-Quran hanya menceritakan maksiat yang dilakukan oleh Qabil iaitulah membunuh saudaranya Habil. al-Quran juga tidak menceritakan kesudahan Qabil, apakah beliau seorang yang mati dalam keadaan kafir atau dalam keadaan beriman.

Ramai di kalangan ulama yang berpandangan beliau mati dalam keadaan berdosa kepada Allah, bukan seorang kafir. Kata al-Imam al-Qurtubi RH:

وقال عبد الله بن عمرو وجمهور الناس : كان هابيل أشد قوة من قابيل ولكنه تحرج. قال ابن عطية : وهذا هو الأظهر ، ومن ههنا يقوى أن قابيل إنما هو عاص لا كافر ؛ لأنه لو كان كافرا لم يكن للتحرج هنا وجه ، وإنما وجه التحرج في هذا أن المتحرج يأبى أن يقاتل موحدا ، ويرضى بأن يظلم ليجازى في الآخرة ؛ ونحو هذا فعل عثمان رضي الله عنه

Maksudnya: “Kata Abdullah bin ‘Amr dan majoriti orang (ulama) bahawa Habil adalah lebih kuat berbanding Qabil, akan tetapi Habil tidak mahu terjebak di dalam dosa jika mencederakan Qabil. Kata Ibn ‘Atiyyah: Inilah yang lebih zahir, maka dari sini menjadi kuat bahawa Qabil adalah seorang pelaku maksiat bukan seorang kafir. Hal ini kerana jika Qabil seorang kafir, tidak memberi makna Habil bimbang berdosa jika mencederakan Qabil, sebaliknya kebimbangan itu dapat diterima jika keengganan itu kerana tidak mahu saling berbunuhan dengan seorang yang mentauhidkan Allah, lalu Habil rela dizalimi agar mendapat pahala di akhirat. Inilah perumpamaan tindakan yang diambil  oleh ‘Uthman RA.”

Al-Imam al-Qurtubi juga ada membuat bantahan terhadap dalil pandangan yang mengatakan Qabil seorang kafir dengan katanya:

وقد استدل بقول هابيل لأخيه قابيل : { فتكون من أصحاب النار } على أنه كان كافرا ؛ لأن لفظ أصحاب النار إنما ورد في الكفار حيث وقع في القرآن. وهذا مردود هنا بما ذكرناه عن أهل العلم في تأويل الآية. ومعنى { من أصحاب النار } مدة كونك فيها

Maksudnya:”Perkataan Habil kepada Qabil (yang dirakam di dalam al-Quran): “Maka kamu akan tergolongan dari kalangan Ashab al-Nar (para pemilik neraka)” menunjukkan Qabil seorang kafir, kerana lafaz Ashab al-Nar di dalam al-Quran hanya digunakan untuk orang-orang kafir. Pandangan ini di sini tertolak dengan apa yang telah kami sebutkan takwilannya oleh para ulama. Maksud “dari kalangan Ashab al-Nar” ialah merujuk kepada tempoh keberadaan (Qabil) di dalam neraka.”

Ibn ‘Atiyyah di dalam al-Muharrar al-Wajiz pula  berkata:

واختلف العلماء في قابيل هل هو من الكفار أو من العصاة، والظاهر أنه من العصاة، وروي عن النبي صلى الله عليه وسلم أنه قال: إن الله ضرب لكم ابني آدم مثلا فخذوا من خيرهما ودعوا الشر

Maksudnya:   “Dan para ulama berbeza pandangan tentang Qabil apakah dia dari kalangan orang-orang kafir atau dari kalangan ahli maksiat. Dan yang jelas, dia dari kalangan ahli maksiat. Ada diriwayatkan daripada Nabi SAW yang bersabda: “Sesungguhnya Allah telah memberikan contoh kepada kamu semua dengan dua orang anak Adam. Maka ambillah contoh dari yang terbaik antara mereka berdua dan tinggalkan kejahatan (yang dilakukan oleh salah seorang daripada mereka berdua)”

Cetak
Wallahu a'lam