SDI 1407: Ahlul Bait Nabi SAW

Wednesday, November 12, 2008


Soalan:

Minta penjelasan dari Ustaz, siapakah yang dinamakan Ahlul Bait Nabi saw ?

Jawapan:

Terdapat beberapa pendapat ulama dalam menentukan siapakah Ahl al-Bait (أهل البيت) Nabi SAW. Sebahagian ulama mengatakan Ahl al-Bait ialah Isteri-isteri Nabi SAW, anak-anak baginda, Bani Hashim, Bani Abdul Mutallib dan Maula-Maula mereka. Sebahagian para ulama yang lain pula tidak memasukkan Isteri Nabi  dalam Ahl al-Bait. Manakala sebahagian yang lain pula mengatakan Ahl al-Bait Nabi SAW ialah kaum Quraisy. Terdapat juga di kalangan para ulama yang mengatakan Ahl al-Bait Nabi SAW ialah orang-orang yang bertaqwa di kalangan umat baginda. Sebahagain yang lain lagi mengatakan mereka ialah kesemua umat nabi SAW.

Berdasarkan pendapat yang lebih kuat (القول الراجح) di sisi sebahagian ulama. Isteri-isteri Nabi SAW termasuk di dalam Ahl al-Bait baginda. Ini kerana ALLAH SWT selepas menyuruh isteri Nabi SAW memakai hijab, berfirman:

إنما يريد الله ليذهب عنكم الرجس أهل البيت ويطهركم تطهيرا

Maksudnya: "Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu wahai "AhlulBait" dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji)." (al-Ahzab ayat 33)

Adapun Bani Abdul Mutallib, terdapat riwayat daripada Imam Ahmad yang menunjukkan mereka itu termasuk Ahl al-Bait Nabi SAW. Ini juga merupakan pendapat al-Imam as-Syafi'e RH.

Akan tetapi Imam Abu Hanifah dan Imam Malik tidak memasukkan Bani Abdul Mutallib ke dalam Ahl al-Bait Nabi SAW. Pendapat ini juga mewakili salah satu riwayat daripada Imam Ahmad RH.

Berdasarkan pendapat yang dinilai lebih kuat oleh sebahagian ulama, Bani Abdul Mutallib juga termasuk di dalam Ahl al-Bait Nabi SAW. Dalilnya adalah riwayat daripada Jubair bin Mut'im (جبير بن مطعم) RA :

Maksudnya: "Aku dan 'Uthman bin 'Affan pergi berjumpa Rasulullah SAW lalu kami bertanya: "Wahai Rasulullah. Anda telah memberi kepada Bani Abdul Mutallib dan anda meninggalkan kami, sedangkan kami dan mereka dengan Anda dalam satu kedudukan." Maka sabda Nabi SAW: "Adapun Bani Abdul Mutallib dan Bani Hashim sesuatu yang sama." (Hadith riwayat al-Bukhari 2907, an-Nasa-i 4067)

Termasuk juga di dalam Ahl al-Bait itu Bani Hashim bin Abdul Manaf. Mereka ialah keluarga 'Ali, keluarga 'Abbas, keluarga Ja'far, keluarga 'Uqail dan keluarga al-Harith bin Abdul Mutallib. Terdapat riwayat daripada Imam Ahmad bahawasanya ditanya kepada Zaid bin Arqam RA siapakah keluarga Nabi SAW wahai Zaid? Apakah bukan isteri-isteri baginda itu daripada keluarga baginda?" Jawab Zaid:

"Sesungguhnya isteri-isteri baginda sememangnya dari keluarga baginda, akan tetapi Ahl al-Bait baginda adalah sesiapa yang diharamkan sedekah selepas (kewafatan) baginda." Ditanya kepadanya lagi : "Siapakah mereka itu ?" Jawab Zaid : "Mereka ialah keluarga 'Ali, keluarga 'Uqail, keluarga Ja'far dan keluarga 'Abbas." Ditanya kepadanya : "Apakah semua mereka diharamkan daripada sedekah?" Jawab Zaid : "Ya !" (Riwayat Ahmad bil. 18464)

Adapun Maula-Maula mereka terdapad riwayat daripada Mihran Maula nabi SAW katanya: Sabda rasulullah SAW: "Sesungguhnya kami keluarga Muhammad tidak dihalalkan kepada kami sedekah, dan Maula bagi sesuatu kaum itu termasuk daripada mereka." (Riwayat Ahmad bil. 15152)

Maka keluarga Nabi SAW ialah: Isteri-isteri baginda, zuriat-zuriat baginda, Bani Hashim, Bani Abdul Mutallib dan Maula-Maula mereka."

Cetak  
Wallahu a'lam