Tarikh Kelahiran Nabi Muhammad SAW

Berkaitan dengan bilakah Nabi Muhammad SAW dilahirkan, ada perkara yang disepakati oleh para ulama, ada pula perkara yang diperselisihkan.  Perkara yang boleh kita kata semua para ulama sepakat, iaitulah berkaitan dengan hari apa baginda dilahirkan. Ini kerana terdapat hadis sendiri yang menyebut dengan jelas tentang hari baginda dilahirkan. 

Imam Muslim meriwayatkan daripada Abu Qatadah al-Ansari RA yang berkata: 

وَسُئِلَ عن صَوْمِ يَومِ الاثْنَيْنِ، قالَ: ذَاكَ يَوْمٌ وُلِدْتُ فِيهِ، وَيَوْمٌ بُعِثْتُ، أَوْ أُنْزِلَ عَلَيَّ فِيهِ

Maksudnya: "Nabi SAW pernah ditanya tentang puasa pada hari Isnin, baginda menjawab: hari tersebut adalah hari aku dilahirkan...: 

Hadis ini dengan jelas menunjukkan baginda lahir pada hari Isnin, kerana itu saya sebut perkara ini ulama sepakat. Sekalipun saya tidak nafikan ada juga pandangan yang kata Nabi SAW lahir pada hari Jumaat. Pandangan ni dinukilkan oleh beberapa ulama ahli sunnah. Tetapi setelah disemak oleh ulama lain ternyata pandangan yang kata baginda dilahirkan pada hari Jumaat ini adalah pandangan Syi'ah.  Pandangan ini salah, bukan setakat lemah, bahkan ia salah. Kerana ia jelas bertentangan dengan sesuatu fakta yang jelas di sebut oleh Nabi SAW sendiri. 

Setahu saya ini sahaja, iaitulah berkaitan hari sahaja yang disepakati oleh para ulama. Selain daripada hari, seperti berapa haribulan, bulan apa, tahun apa? semuanya menimbulkan perbezaan pendapat dalam kalangan ulama.   

Saya juga tidak nafikan ada nukilan yang mendakwa telah berlaku ijmak ulama, Nabi SAW dilahirkan pada tahun gajah. Akan tetapi dakwaan ini tidak tepat kerana terdapat dakwaan lain, antaranya oleh al-Imam Ibn Kathir yang mengatakan pandangan Nabi SAW lahir pada tahun gajah adalah pandangan majoriti bukan ijmak. Bahkan ada beberapa pandangan, di mana sebahagian ulama sirah ada yang berpandangan Nabi SAW dilahirkan 10 tahun setelah berlaku peristiwa tentera bergajah menyerang Kaabah. Ada juga pandangan lain, sehingga ada yang berpandangan Nabi SAW lahir 40 tahun setelah berlaku peristiwa tentera bergajah. Ini menunjukkan wujud perbezaan pendapat dalam menetapkan tahun sebenar baginda SAW dilahirkan. 

Namun, mungkin kita boleh kata, pandangan yang kata Nabi SAW dilahirkan 40 tahun setelah berlaku peristiwa tentera bergajah, agak sukar nak diterima. Kenapa? Kalau kita perhatikan sejarah, ketika berlaku peristiwa serangan tentera bergajah itu, datok baginda SAW, iaitulah 'Abdul Muttalib masih hidup. Abdul Muttalib meninggal dunia ketika Nabi SAW berumur lebih kurang lapan tahun. Abdul Muttalib juga orang yang bermimpi dan tunjukkan kedudukan sebenar telaga Zam-zam dan mengepalai projek menggali semual telaga zam-zam yang telah tertimbus. 

Ketika Abdul Mutallib mengepalai projek gali semula telaga zam-zam ini, beliau hanya ada anak lelaki seorang atau dua orang. Ketika itu juga beliau bernazar, jika Allah kurniakan kepadanya 10 orang anak, dia akan menyembelih salah seorang anaknya sebagai nazar. Ternyata selepas peristiwa itu ALlah kurniakan kepada Abdul Mutallib 10 orang anak, kesemuanya lelaki, yang paling bungsu adalah Abdullah, bapa kepada Nabi Muhammad SAW. 

Tuan-tuan, 

Abdul Mutallib sebagai seorang pemimpin, dan kita kena tahu Arab dahulu, tidak akan memilih pemimpin yang sebarangan, melainkan pemimpin itu mesti memiliki beberapa sihat terpuji, seperti memenuhi janji, tidak berbohong, berani, kuat dan seumpamanya. Kita biasa dengar kisah Abu Sufian yang pergi berniaga di Rom, dan dipanggil oleh maharaja Rom untuk bertanya tentang Nabi Muhammad SAW. Abu Sufian yang ketika itu masih seorang kafir dan bermusuh dengan Nabi SAW. Ketika ditanya oleh maharaja Rom tentang Muhammad bin Abdillah SAW, Abu Sufian berkata kalaulah bukan karana aku malu akan ditohmah oleh para pengikut aku sebagai seorang ketua yang berbohong, sudah tentu aku akan berbohong, kerana Nabi SAW ketika itu adalah musuhnya. Namun disebabkan malu di hadapan pengikut yang akan melihat dia berbohong, maka dia tetap bercakap benar tentang musuhnya, Nabi SAW kepada maharaja Rom.  Selain itu mereka juga berani, memenuhi janji dan seumpamanya.

Kembali kepada kisah Abdul Mutallib yang telahpun bernazar hendak menyembelih salah seorang anaknya jika dikurniakan anak seramai 10 orang, lalu Abdul Muttalib, masuk ke dalam Kaabah, yang ketika itu bahagian dalam Kaabah, antara peranannya adalah untuk menilik nasib. Abdul Muttalib mengambil alat untuk bertilik, dia tulis 10 nama semua anaknya pada setiap kayu tilikan. Lalu dia lontarkan, dan keluarlah nama Abdullah, bapa Nabi Muhammad SAW. Maknanya dia terpaksa menyembelih Abdullah. Sedangkan Abdullah adalah anak paling bungsu dan yang paling disayangi. 

Tiba hari nak sembelih Abdullah, orang ramaipun berhimpun di sekitar Kaabah. Semua orang bangun dan membantah hasrat Abdul Mutallib. Kata beliau aku mesti memenuhi janji aku kepada ALlah setelah dia memperkenankan permintaan aku. Sebahagian orang membantah Abdul Muttalib dan berkata jika kamu menyembelih anak kamu kerana nazar, sudah pasti orang ramai akan mengikut langkah kamu ini. Akhirnya kita tidak akan berkembang.  Lalu ada cadangan supaya Abdul Muttalib pergi berjumpa dengan seorang tukang tilik perempuan yang memiliki تابع atau jin yang memberitahukan perkara-perkara ghaib. Abdul Mutallib setuju dengan cadangan itu, lalu berjumpa dengan tukang tilik yang dimaksudkan. Setelah mengadu masalahnya, tukang tilik itu berkata: "Hari ini kamu balik dahulu, kerana pada hari ini syaitan aku tidak datang kepada aku." 

Keesokan harinya Abdul Muttalib datang semula kepada tukang tilik tersebut.  Kata tukang tilik, berapa nilai diat satu nyawa manusia yang terbunuh dalam masyarakat kamu? Kata Abdul Muttalib, bersamaan dengan 10 ekor unta. Kata tukang tilik, jika begitu buatkan undian lagi antara anak kamu Abdullah dengan 10 ekor unta. Jika hasil undian keluar nama anak kamu, maka gantikan dengan 10 ekor unta. Abdul Muttalib setuju dengan cadangan tukang tilik tersebut, dan dia lakukan seperti yang dicadang. 

Kali pertama undian dibuat, keluar nama Abdullah, kali kedua undian keluar nama Abdullah, setiap kali keluar nama Abdullah, maka 10 ekor untuk menjadi galang-gantiannya. Sehinggalah undian kali ke-10, masih tetap keluar nama Abdullah, menjadikan galang-gantikan Abdullah adalah sebanyak 100 ekor unta. Dilakukan undian kali berikutnya, barulah keluar undian unta. Maka Abdul Muttalib menyembelih 100 ekor unta sebagai menunaikan nazarnya kepada Allah SWT. 

 


Cetak  
Wallahu a'lam