SDI 1432: Benarkah Kisah Yang Menyebut Kerajaan Nabi Sulaiman Bergantung Kepada Cincin Baginda?

Sirah dan Kisah Umat Terdahulu Jumlah paparan: 627

Soalan:

Saya ingin bertanya berkenaan cincin Nabi Sulaiman AS. Benarkah ada hadis yang menyebut tentang cincin Nabi Sulaiman? Apakah benar cincin yang dipakai oleh Nabi Sulaiman yang menjamin baginda menguasai sekalian makhluk seperti yang kita ketahui?

Jawapan:

Terdapat beberapa hadis Nabi SAW yang menyebut tentang cincin Nabi Sulaiman AS, antara hadis tersebut:

 

  1. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

تَخْرُجُ الدَّابَّةُ وَمَعَهَا خَاتَمُ سُلَيْمَانَ بْنِ دَاوُدَ، وَعَصَا مُوسَى بْنِ عِمْرَانَ - عَلَيْهِمَا السَّلَامُ - فَتَجْلُو وَجْهَ الْمُؤْمِنِ بِالْعَصَا، وَتَخْطِمُ أَنْفَ الْكَافِرِ بِالْخَاتِمِ، حَتَّى أَنَّ أَهْلَ الْحِوَاءِ لَيَجْتَمِعُونَ، فَيَقُولُ: هَذَا يَا مُؤْمِنُ, وَيَقُولُ هَذَا: يَا كَافِرُ

Maksudnya:  “Akan keluar nanti seekor haiwan besar (Dabbah), bersamanya cincin Sulaiman bin Daud dan tongkat Musa bin ‘Imran AS. Akan berseri-seri wajah orang yang beriman dengan tongkat tersebut (apabila dipukulkan kepada muka mereka), dan akan dicop hidung (muka) orang kafir dengan cincin tersebut, sehingga ahli Hiwa’ (dalam sebahagian riwayat disebut al-Khiwan الخوان merujuk kepada kain yang dibentang untuk diletakkan makanan di atasnya. Ahli Hiwa, merujuk mereka yang duduk untuk menjamah makanan) akan berhimpun dan berkata sebahagian mereka kepada sebahagian yang lain: “orang ini (tertulis padanya) wahai orang beriman.” dan berkata yang lain pula: “orang ini (tertulis di wajahnya) wahai kafir.” (al-Tirmizi: Hadis Hasan, Ahmad Syakir Isnadnya Sahih. Dinilai sebagai lemah oleh al-ALbani di dalam Silsilah al-Ahadith al-Dhaiefah 1108)

Hadis ini menimbulkan perbezaan pendapat dalam kalangan ulama berkaitan darjatnya. Namun ia tidak menunjukkan kelebihan cincin Nabi Sulaiman AS sehingga menjamin kekuasaan baginda. 

  1. Terdapat satu kisah yang menunjukkan kelebihan dan keistimewaan cincin Nabi Sulaiman. Kisah ini ada diriwayatkan oleh al-Nasa’ie di dalam al-Sunan al-Kubra 6/287/10993, Ibn Abi Hatim di dalam al-Tafsir, Ibn Kathir juga ada menyebut kisah ini di dalam tafsirnya 1/346, demikian juga Ibn Jarir 1/357 dari jalan Abu Mu‘awiyah. Kisah tersebut ialah:

“Daripada al-A’masy daripada al-Minhal bin ‘Amr daripada Sa’id bin Jubair daripada Ibn ‘Abbas yang berkata:

كانَ الَّذِي أصابَ سُلَيْمانَ بْنَ داوُدَ فِي سَبَبِ أُناسٍ مِن أهْلِ امْرَأةٍ يُقالُ لَها: جَرادَةُ، وكانَتْ مِن أكْرَمِ نِسائِهِ عَلَيْهِ، قالَ: فَكانَ هَوى سُلَيْمانَ أنْ يَكُونَ الحَقُّ لِأهْلِ الجَرادَةِ فَيَقْضِيَ لَهُمْ، فَعُوقِبَ حِينَ لَمْ يَكُنْ هَواهُ فِيهِمْ واحِدًا. قالَ: وكانَ سُلَيْمانُ بْنُ داوُدَ إذا أرادَ أنْ يَدْخُلَ الخَلاءَ أوْ يَأْتِيَ شَيْئًا مِن نِسائِهِ أعْطى الجَرادَةَ خاتَمَهُ. فَلَمّا أرادَ اللَّهُ أنْ يَبْتَلِيَ سُلَيْمانَ بِالَّذِي ابْتَلاهُ بِهِ، أعْطى الجَرادَةَ ذاتَ يَوْمٍ خاتَمَهُ، فَجاءَ الشَّيْطانُ فِي صُورَةِ سُلَيْمانَ فَقالَ لَها: هاتِي خاتَمِي. فَأخَذَهُ فَلَبِسَهُ، فَلَمّا لَبِسَهُ دانَتْ لَهُ الشَّياطِينُ والجِنُّ والإنْسُ. قالَ: فَجاءَها سُلَيْمانَ فَقالَ: هاتِي خاتَمِي. فَقالَتْ: كَذَبْتَ، لَسْتَ بِسُلَيْمانَ. قالَ: فَعَرَفَ سُلَيْمانَ أنَّهُ بَلاءٌ ابْتُلِيَ بِهِ. قالَ: فانْطَلَقَتِ الشَّياطِينُ فَكَتَبَتْ فِي تِلْكَ الأيّامِ كُتُبًا فِيها سِحْرٌ وكُفْرٌ ثُمَّ دَفَنُوها تَحْتَ كُرْسِيِّ سُلَيْمانَ، ثُمَّ أخْرَجُوها فَقَرَءُوها عَلى النّاسِ، وقالُوا: إنَّما كانَ سُلَيْمانَ يَغْلِبُ النّاسَ بِهَذِهِ الكُتُبِ. قالَ: فَبَرِئَ النّاسُ مِن سُلَيْمانَ وأكْفَرُوهُ، حَتّى بَعَثَ اللَّهُ مُحَمَّدًا ﷺ؛ فَأنْزَلَ جَلَّ ثَناؤُهُ: ﴿واتَّبَعُوا ما تَتْلُوا الشَّياطِينُ عَلى مُلْكِ سُلَيْمانَ﴾ [البقرة ١٠٢]، يَعْنِي الَّذِي كَتَبَ الشَّياطِينُ مِنَ السِّحْرِ والكُفْرِ، ﴿وما كَفَرَ سُلَيْمانَ ولَكِنَّ الشَّياطِينَ كَفَرُوا﴾ [البقرة ١٠٢]، فَأنْزَلَ اللَّهُ جَلَّ وعَزَّ وعَذَرَهُ»

Maksudnya:  “Apa yang telah menimpa Sulaiman bin Daud AS dahulu adalah disebabkan sekumpulan manusia dari keluarga isteri baginda yang digelar Jaradah. Dia adalah isteri yang paling dimuliakan (dicintai) oleh Sulaiman. (Berlaku perbalahan antara keluarga isteri baginda tersebut dengan satu kaum lain) Ketika itu Sulaiman cenderung agar hak berada keluarga al-Juradah, maka baginda memutuskan hak atau kebenaran untuk mereka. Disebabkan itu baginda dikenakan hukuman. Baginda dahulu jika mahu memasuki tandas atau mendatangi salah seorang isteri, baginda akan serahkan cincin baginda kepada Jaradah. Ketikamana Allah hendak menguji baginda dengan apa yang telah berlaku tersebut, satu hari baginda memberi cincin kepada al-Jaradah. Pada ketika itu, syaitan datang kepada Jaradah dalam rupa Nabi Sulaiman dan berkata: “berikan kepadaku cincinku.” Setelah syaitan mengambil cincin tersebut dan memakainya, setelah itu datang dekat kepadanya semua syaitan, jin, manusia. Apabila Sulaiman datang kepada isteri baginda dan berkata: “berikan kepadaku cincinku.” Jaradah menjawab: “Kamu berdusta, kamu bukan Sulaiman.” Sedarlah Nabi Sulaiman, apa yang berlaku itu berupa satu ujian ke atasnya. Syaitan yang mengambil cincin tersebut terus pergi dan setelah berlalu beberapa hari, dia menulis buku-buku yang mengandungi ilmu sihir dan kekufuran. Setelah itu menanamnya di bawah kursi Sulaiman, setelah itu dia keluarkan buku-buku sihir dan kekufuran yang ditulisnya itu dan membacanya di hadapan orang ramai. Berkata orang ramai setelah mendengar isi kandungan buku-buku tersebut: “Sulaiman menguasai manusia hanya dengan ilmu di dalam buku-buku ini.” Lalu orang ramai berlepas diri dan mengkufuri Sulaiman sehinggalah Allah mengutuskan Muhammad SAW dan menurunkan wahyu: “Mereka mengikut apa yang dibacakan oleh Syaitan ketika  masa pemerintahan Nabi SUlaiman…” (al-Baqarah: 102) iaitulah ajaran sihir dan kekufuran yang ditulis oleh syaitan, “bukanlah Sulaiman itu yang kufur, akan tetapi para syaitanlah yang kufur.” (al-Baqarah: 102), lalu Allah menurunkan kemaafan-Nya (kepada Nabi Sulaiman AS).” (Lihat Tafsir al-Tabari 2/324)

Dalam sebahagian riwayat lain dinyatakan juga: “Ketika mana para syaitan merampas kerajaan Nabi Sulaiman AS, mereka menulis sihir ketika ketiadaan baginda. Ditulis dalam buku-buku sihir tersebut: “Siapa yang mahu melakukan sesuatu perkara tertentu, maka hendaklah dia menghadap matahari dan membaca sekian, sekian bacaan. Siapa yang mahu melakukan perkara ini dan itu, hendaklah dia membelakangi matahari dan membaca demikian dan demikian bacaan. Mereka jadikan tajuk buku itu sebagai: “Inilah apa yang telah ditulis oleh Asif bin Barkhiya (آصِفُ بْنُ بَرْخِيا) kepada raja Sulaiman bin Daud terdiri dari khazanah perbendaharaan ilmu. Setelah itu syaitan menanamnya di bawah kursi Sulaiman. Ketika mana Sulaiman wafat, Iblis berdiri berkhutbah dengan berkata: “Wahai sekalian orang, sesungguhnya Sulaiman bukanlah seorang nabi, sebaliknya beliau adalah seorang penyihir, carilah ilmu sihirnya di harta dan di rumahnya. Setelah itu Iblis tunjukkan kepada mereka tempat dia menanam buku yang ditulisnya. Lalu orang ramai berkata: “Demi Allah, sesungguhnya Sulaiman adalah seorang ahli sihir, inilah dia ilmu sihirnya, dengan inilah dia menjadikan kita patuh kepadanya dan mengawal kita….” (Lihat Tafsir al-Tabari 2/327)

Dalam al-Sunan al-Kubra oleh al-Baihaqi lebih dahsyat, sehingga terdapat riwayat yang dikatakan setelah syaitan berjaya mendapatkan cincin Sulaiman tersebut, dan menyamar sebagai Nabi Sulaiman, baginda keluar kepada orang ramai untuk menyatakan perkara sebenar yang berlaku, baginda berkata: “dakulah sebenarnya Sulaiman.” Namun orang ramai tidak mempercayainya, mereka membaling batu kepada baginda sehingga darah mengalir ke tumit kaki baginda. Hal tersebut menyebabkan baginda membawa diri ke kawasan pantai dan bekerja mengambil upah mengangkat ikan. Manakala syaitan yang menyamar sebagai baginda kekal menguasai kerajaan baginda, tinggal bersama dan meniduri para isteri baginda yang dalam keadaan berhaid dan menjatuhkan hukuman untuk orang ramai menurut kehendaknya. Sehinggalah orang ramai berada sangsi, lalu mereka berjumpa dengan para isteri Nabi Sulaiman dan bertanya apakah ada sesuatu yang ganjil dilakukan oleh Sulaiman? Para isteri Nabi Sulaiman menjawab: “Ya, baginda menyetubuhi kami dalam keadaan kami berhaid, sedangkan baginda tidak pernah melakukan hal sedemikian sebelumnya.”  

Apabila syaitan dapat merasakan penipuan dan penyamarannya akan terbongkar, dia melarikan diri ke pantai bersama cincin Nabi Sulaiman dan membuang cincin tersebut ke dalam lautan. Seterusnya cincin itu ditelan oleh seekor ikan. Sehinggalah satu hari, datang seorang lelaki kepada Nabi Sulaiman membeli sejumlah ikan termasuk ikan yang menelan cincin baginda, seterusnya orang itu meminta Nabi Sulaiman membawakan ikan yang dibelinya ke rumahnya. Sebagai upah kepada baginda, orang tersebut memberikan seekor ikan, iaitulah ikan yang telah menelan cincin baginda.  Apabila Nabi Sulaiman membelah perut ikan tersebut untuk dibakar, baginda mendapati cincin baginda di dalam perutnya, lalu segera memakainya semula dan kembalilah kerajaan kepada baginda. Setelah itu Nabi Sulaiman mengarahkan syaitan tersebut ditangkap dan dikurung di dalam batu marmar yang dikunci dengan tembaga dan dibuang ke tengah lautan. (Lihat al-Sunan al-Kubra 10/12-13 dan Tafsir al-Quran al-‘Azim 6/206-207)

  1. Hukuman para ulama terhadap kisah ini     

Kisah ini diriwayatkan dalam berbagai bentuk. Berdasarkan perkataan para ulama menunjukkan mereka menolak kisah ini disebabkan ia penuh dengan pendustaan dan penghinaan kepada Nabi Sulaiman AS. Di bawah ini perkataan beberapa ulama tentang kisah ini:

  1. Ibn Kathir 7/69:

 إسناده إلى ابن عباس قوي ، ولكن الظاهر أنه إنما تلقاه ابن عباس -إن صح عنه-من أهل الكتاب، وفيهم طائفة لا يعتقدون نبوة سليمان عليه السلام ؛ فالظاهر أنهم يكذبون عليه

Maksudnya: “Isnad kisah ini sampai kepada Ibn ‘Abbas RA adalah kuat. Akan tetapi yang zahir, beliau ambil kisah ini (jika ia sahih daripada beliau) daripada ahli kitab (Yahudi atau Kristian). Dalam kalangan mereka itu terdapat golongan yang tidak beriman dengan kenabian Sulaiman AS. Maka yang zahirnya mereka melakukan pendustaan terhadap baginda.”

 

  1. Kata al-Nasafi di dalam tafsirnya 4/42:    

وأما ما يروى من حديث الخاتم والشيطان ، وعبادة الوثن في بيت سليمان عليه السلام : فمن أباطيل اليهود

Maksudnya: “Adapun apa yang diriwayatkan daripada hadis tentang cincin Sulaiman dan syaitan, dan para penyembah berhala di rumah Sulaiman AS, adalah dari cerita-cerita batil Yahudi.”

  1. Kata al-Zamakhsyari di dalam al-Kassyaf 3/329 setelah menyebut kisah cincin Sulaiman AS ini:

ولقد أبى العلماء المتقنون قبوله، وقالوا هذا من أباطيل اليهود

Maksudnya:  “Sesungguhnya para ulama yang teliti telah menolak dari menerima kisah ini. Mereka berkata kisah ini berasal dari pemalsuan-pemalsuan orang Yahudi.”

  1. Kata al-Qurtubi di dalam tafsirnya ketika menafsirkan surah Sod 15/201:

وقد ضعف هذا القول من حيث إن الشيطان لا يتصور بصورة الأنبياء، ثم من المحال أن يلتبس على أهل مملكة سليمان الشيطان بسليمان ، حتى يظنوا أنهم مع نبيهم في حق، وهم مع الشيطان في باطل

Maksudnya:  “Sesungguhnya dinilai dhaief (lemah) cerita ini dari sudut syaitan tidak boleh menyerupai rupa para nabi. Kemudian termasuk dalam satu yang mustahil ialah mereka yang dibawah penguasaan Nabi Sulaiman boleh terkeliru menganggap syaitan sebagai nabi Sulaiman, sehingga menyangka mereka benar-benar bersama dengan nabi Sulaiman sedang mereka bersama dengan syaitan.”

  1. Kata al-Qadhi ‘Iyadh dalam al-Syifa’ 2/167:

ولا يصح ما نقله الإخباريون من تشبه الشيطان به، وتسلطه على ملكه، وتصرفه في أمته بالجور في حكمه ، لأن الشياطين لا يسلطون على مثل هذا، وقد عصم الأنبياء من مثله

Maksudnya:  “Tidak benar apa yang dinukilkan oleh tukang-tukang cerita tentang penyerupaan syaitan sebagai Nabi Sulaiman, rampasan kerajaan baginda dan mentadbir urusan umat baginda dengan hukuman yang zalim. Ini kerana syaitan tidak mampu melakukan perkara sebegini kerana para nabi telah dipelihara dari berlaku perkara sebegini kepada mereka.”

      Beliau juga berkata dalam kitab yang sama 8/158:

لا تلتفت إلى ما سطره الأخباريون من أهل الكتاب الذين بدلوا وغيروا، ونقله بعض المفسرين، ولم ينص الله تعالى على شيء من ذلك في كتابه، ولا ورد في حديث صحيح

Maksudnya:    “Jangan kamu percaya akan apa yang ditulis oleh tukang cerita dari golongan ahli kitab yang telah menukar dan merubah (kitab suci mereka, seterusnya dinaqalkan oleh sebahagian para ulama tafsir. Allah tidak pernah menyatakan sediikitpun di dalam kitab-Nya tentang kisah tersebut, tiada juga kisah tersebut walau dari satu hadis yang sahih.”

  1. Kata al-Syeikh Abu Syahbah dalam kitab al-Israiliyyat wa al-Maudhu‘at Fi Kutub al-Tafsir, menyatakan semua kisah ini datang dari sumber Israiliyyat. Setelah itu beliau menaqalkan perkataan Ibn Abi Hatim yang menyatakan, yang zahir dari kisah ini adalah ahli kitab telah melakukan pendustaan terhadap Nabi Sulaiman. Kerana itu dalam kisah ini terdapat banyak perkara mungkar, terutamanya kisah para isteri baginda yang disetubuhi ketika dalam keadaan berhaid. Perkara ini jelas menunjukkan kisah-kisah ini adalah pendustaan dan tempelan-tempelan yang direka oleh golongan Yahudi yang tidak beriman dengan para Nabi AS. Kisah-kisah tersebut juga jelas kepalsuannya yang tidak dapat diterima oleh akal yang waras dan berlawanan dengan sumber wahyu.

al-Syeikh Abu Syahmah juga menyatakan, jika benar syaitan dapat menyerupai Nabi Sulaiman atau mana-mana utusan Allah, maka bagaimanakah hendak diletakkan kepercayaan kepada agama yang dibawa kepada manusia di zaman itu selepas kewafatan baginda dan kepada syariat yang dibawa oleh para nabi yang lain selepas baginda? Demikian juga bagaimana dapat diterima kedudukan kenabian dan kekal atau runtuhnya penguasaan kerajaan seorang nabi, bergantung hanya kepada sebentuk cincin?

Jika benar cincin Nabi Sulaiman memiliki kedudukan yang begitu penting, bagaimana mungkin Allah SWT tidak menyebut sama sekali di dalam al-Quran tentang cincin tersebut walau dengan satu kalimah? Sedangkan al-Quran itu merupakan saksi akan kebenaran kitab-kitab terdahulu. Demikian juga apakah Allah telah merubah rupa paras baginda sehingga isteri baginda yang begitu rapat tidak dapat mengenali baginda yang sebenarnya? Semua ini adalah bukti jelas menunjukkan kepalsuan semua kisah ini. (Lihat al-Israiliyyat wa al-Maudhu‘at Fi Kutub al-Tafsir, hal: 271-274)     

Cetak
Wallahu a'lam