Yusa’ bin Nun (يوشع بن نون) bin Afranim bin Yusuf bin Ya’qub bin Ishak bin Ibrahim AS (بن أفرانيم بن يوسف بن يعقوب بن إسحاق بن إبراهيم) adalah pemuda yang bersama Nabi Musa AS dalam perjalanan menemui Khadhir AS (الخَضِر). Al-Quran menyebut kisah ini dalam surah al-Kahf tanpa menyatakan namanya. Namun namanya disebut dalam hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim:
ثُمَّ انْطَلَقَ هُوَ وَفَتَاهُ يُوشَعُ بْنُ نُونٍ، حَتَّى إِذَا أَتَيَا الصَّخْرَةَ وَضَعَا رُءُوسَهُمَا
Maksudnya: “Kemudian baginda (Nabi Musa AS) bergerak bersama dengan pemuda yang menyertai baginda bernama Yusa’ bin Nun, sehingga mereka berdua sampai ke satu batu dan meletakkan kepala di atasnya (berehat).”
Setelah kewafatan Nabi Musa AS, Allah SWT memilih Yusa’ bin Nun sebagai seorang Nabi. Baginda memimpin Bani Israil dan membawa mereka masuk ke Baitul Maqdis. Al-Imam Ibn Kathir RH dalam al-Bidayah wa al-NIhayah berkata:
ولما استقرت يد بني إسرائيل على القدس استمروا فيه وبين أظهرهم نبي الله يوشع يحكم بينهم بكتاب الله التوراة حتى قبضه الله إليه وهو ابن مائة وسبع وعشرين سنة، فكان مدة حياته بعد موسى سبعا وعشرين سنة
Maksudnya: “Apabila Bani Israil berjaya mendapatkan al-Quds, mereka kekal berada di dalamnya. Dalam kalangan mereka terdapat seorang Nabi Allah iaitulah Yusa’ bin Nun yang berhukum dengan kitab Allah, Taurat sehingga baginda diwafatkan oleh Allah ketika berumur 127 tahun. Tempoh hayat baginda selepas kewafatan Nabi Musa ialah selama 27 tahun.”
Al-Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:
إِنَّ الشَّمْسَ لَمْ تُحْبَسْ لِبَشَرٍ إِلَّا لِيُوْشَعَ لَيَالِيَ سَارَ إِلَى بَيْتِ الْمَقْدِسِ
Maksudnya: “Sesungguhnya matahari tidak pernah di tahan (dari terbenam) kepada seorang manusia sama sekali melainkan kepada Yusa’ pada malam-malam (hari-hari) baginda bergerak memasuki Baitul Maqdis.” (al-Musnad. Para pentahkik kitab al-Musnad menyatakan hadis ini sahih berdasarkan syarat al-Bukhari. Demikian juga Ibn Kathir dalam al-Bidayah wa al-NIhayah 1/301. Demikian juga dinilai sebagai sahih oleh Ibn Hajar dalam Fath al-Bari 6/255 dan al-Albani dalam al-Silsilah al-Sahihah 2226)
Maksud perkataan Nabi SAW: “Matahari tidak pernah ditahan…” iaitulah matahari tidak pernah dilewatkan dari pusingan dan pergerakannya sehingga tenggelam di ufuq. Manakala perkataan Nabi SAW: “Pada malam-malam baginda bergerak memasuki Baitul Maqdis” iaitulah berlaku ketika baginda berperang membebaskan Baitul Maqdis dari golongan al-Jabbarin. Peperangan tersebut berlaku pada hari Jumaat, ia berterusan sehingga hampir waktu tenggelam matahari. Nabi Yusa’ bin Nun AS bimbang apabila matahari tenggelam bermakna masuk hari Sabtu, sedangkan mereka dilarang berperang pada hari Sabtu. Lalu baginda Yusa’ AS memandang ke arah matahari dan berkata:
إِنَّكِ مَأْمُورَةٌ وَأَنَا مَأْمُورٌ، اللَّهُمَّ احْبِسْهَا عَلَيَّ سَاعَةً، فَحُبِسَتْ لَهُ سَاعَةً حَتَّى فَتَحَ اللَّهُ عَلَيْهِ
Maksudnya: “Sesungguhnya engkau (matahari) makhluk yang diberi perintah (oleh Allah SWT), demikian juga denganku. Ya Allah tahanlah matahari ini beberapa ketika.” (Nabi SAW bersabda:) "Lalu Allah menghalang matahari beberapa ketika sehingga baginda berjaya menawan Baitul Maqdis.” (Sahih Ibn Hibban hadis bil: 3104. Al-Albani juga menilai hadis ini sebagai sahih dalam al-Ta’liqat al-Hisan ‘Ala Sahih Ibn Hibban 7/172)