Kesudahan Anak Orang Kafir Yang Mati Sebelum Baligh

Syurga dan Neraka Jumlah paparan: 1947

 

Wa’alaikumussalam warahmatullah wabarakatuh

Soalan dari Haji Nazri. Soalan berkaitan dengan pandangan Islam ke atas anak-anak orang kafir yang meninggal dunia masa kecil atau belum baligh. Apakah mereka memperolehi syurga atau kebaikan di akhirat atau sebaliknya?

Jawapan:

Pertama untuk menjawab soalan ini, saya sebut bahawasanya kesemua para ulama sepakat anak-anak orang Islam yang mati sebelum baligh, mereka adalah ahli syurga. Adapun berkaitan dengan soalan Tuan Haji Nazri. Dalam persoalan tersebut, para ulama berbeza pandangan. Terdapat lebih kurang empat atau lima pandangan ulama dalam masalah ini.

Secara ringkasnya, pandangan pertama di kalangan ulama, mereka berpandangan dengan mengatakan anak-anak bukan Islam akan masuk ke dalam syurga. Pandangan pertama mengatakan anak-anak orang bukan Islam yang mati sebelum baligh akan masuk ke dalam syurga. Itu pandangan pertama.

Pandangan kedua, mengatakan anak-anak orang yang bukan Islam yang meninggal sebelum baligh, mereka bersama dengan ibu dan bapa mereka di dalam neraka. Ini pandangan yang kedua.

Pandangan yang ketiga pula iaitulah para ulama yang mengambil pendirian tawaqquf atau pendirian tak nak bicara tentang perkara ini. Mereka serahkan perkara itu kepada Allah SWT. Itu pendirian yang ketiga.

Manakala pandangan ulama yang keempat, mereka mengatakan anak-anak orang kafir yang mati sebelum baligh akan menjadi khadam kepada ahli syurga.

Dan yang kelima mengatakan anak-anak orang kafir yang mati sebelum baligh akan diuji di akhirat kelak, siapa yang taat kepada perintah Allah di akhirat kelak, maka dia akan masuk ke dalam syurga dan sesiapa yang engkar dia akan masuk ke dalam neraka.

Wallahu taala a’lam. Inilah pandangan yang dinyatakan oleh kebanyakan ulama Ahli Sunnah wal Jamaah seperti yang dinukilan oleh al-Imam Abu Hasan al-Asy’ari dan selain beliau. Inilah juga pandangan yang paling kuat penghujahannya dan memiliki bukti yang jelas. Antara bukti yang kuat, disebut oleh para ulama pandangan yang kelima ini, iaitulah berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA, hadis ini diriwayatkan oleh Abu Ya’la dan hadis ini juga mempunyai sokongan yang banyak seperti yang disebut oleh al-Imam Ibn Kathir di dalam tafsir dia. Hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik ini, beliau berkata Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Akan didatangkan empat golongan pada hari kiamat kelak. Yang pertama iaitulah kanak-kanak yang mati sebelum baligh. Yang kedua golongan yang kurang akal. Yang ketiga golongan yang mati pada zaman fatrah - iaitulah yang tidak sampai seruan Islam kepada mereka. Yang keempat orang yang sangat tua. Maka setiap mereka, akan mendatangkan hujah mereka. Lalu tuhan ‘Azza wa jalla akan berfirman kepada neraka: “Maraklah” yakni Allah taala memerintahkan kepada neraka agar memarakkan apinya. Lalu Allah SWT berfirman kepada mereka semua, yakni keempat-empat golongan tersebut, salah satu golongan adalah anak-anak orang kafir yang mati sebelum baligh. Allah taala berfirman kepada mereka: “Sesungguhnya, sebelum ini Aku telah mengutuskan kepada para hamba-Ku, yakni di dunia, seorang rasul dari kalangan mereka sendiri dan sekarang akulah utusan kepada kamu semua. Lalu Allah perintahkan kepada mereka semua: “Masuklah kamu semua ke dalam neraka ini.” Lalu baginda Nabi SAW bersabda: “berkatalah orang-orang yang telah ditetapkan kesengsaraan untuknya: “Wahai tuhan bagaimana aku perlu memasuki neraka sedangkan kami dahulunya lari daripadanya.” Yakni mereka enggan mematuhi peritah Allah taala tersebut. Berikutnya Nabi SAW bersabda: “dan orang-orang yang telah ditetapkan untuknya kebahagiaan..” yakni di kalangan empat golongan tersebut. “Akan terus taat dan pergi memasuki neraka dengan segera.” Baginda Nabi SAW seterusnya menyambung dengan bersabda, Allah Taala berfirman: “Kamu semua ini, - yakni yang tidak mahu taat perintah Allah -, sudah pasti akan tidak mahu taat kepada perintah rasul-Ku, jika kamu diberi peluang mendengar seruan rasul di dunia dahulu.” Lalu Allah memasukkan mereka – yakni yang taat perintah-Nya ke dalam syurga dan yang engkar dan enggan ke dalam neraka.”

Hadis ini seperti yang saya sebut di awal tadi, iaitulah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Ya’la. Hadis ini memaksudkan, anak-anak orang kafir yang mati sebelum baligh demikian juga orang gila yang tidak memahami dakwah, orang bisu yang pekak dan lainnya, akan diuji di akhirat kelak, dalam bentuk Allah SWT sendiri yang memerintahkan kepada mereka untuk masuk ke dalam neraka. Sebahagian mereka taat, lalu segera bergerak menuju ke neraka dan sebahagian lagi enggan dan engkar kerana mereka berkata di hadapan Allah: “Bagaimana kami perlu masuk neraka sedangkan kami belum diberi kesempatan untuk diuji.” Lalu Allah SWT berfirman kepada mereka: “jika hari ini, Aku sendiri yang berfirman kepada kamu, kamu engkar. Maka bagaimana kamu akan mematuhi perintah utusan-Ku di dunia jika kamu diberi pelung untuk diuji di dunia?” Lalu mereka yang enggan, dicampak ke dalam neraka. Manakala yang taat, dikeluarkan dari neraka, yakni mereka tidak merasai kesengsaraan, kerana Allah telah memerintahkan api neraka agar segera sejuk dan tidak mengazab mereka. al-Imam Ibn al-Qayyim RH berkata: “Inilah pandangan yang lebih adil. Padanya berhimpun seluruh dalil dan hadis dalam bab ini. Maka sebahagian mereka, yakni anak-anak orang kafir yang mati sebelum baligh ada yang masuk ke syurga seperti yang disebut dalam hadis daripada Samurah. Ada pula sebahagian yang berada di dalam neraka seperti yang dinyatakan di dalam hadis daripada Aisyah RA.” Jadi itu kesudahan anak-anak orang kafir yang mati sebelum baligh.

Baca juga: 

Apa Kesudahan Orang Gila Di Akhirat Kelak?

SDI 0756: Apakah Semua Anak Kecil Yang Meninggal Dunia Ahli Syurga?

Kedudukan Kanak-Kanak Yang Mati Sebelum Baligh

Cetak
Wallahu a'lam