SDI 0432 (Susulan): Ada Kesejukan di Dalam Neraka?

Syurga dan Neraka Jumlah paparan: 928
Soalan:

Bagaimanakah yang dimaksudkan oleh ayat 24&25 Surah An-Naba' Ustaz Bin Sahak? لَا يَذُوقُونَ فِيهَا بَرْدًا وَلَا شَرَابًا إِلَّا حَمِيمًا وَغَسَّاقًا Mereka tidak dapat merasai udara yang sejuk di dalamnya, dan tidak pula sebarang minuman - Kecuali air panas yang menggelegak, dan air danur yang mengalir, - Mohon pencerahan ustaz. Jazakumullahu Khairan.

Jawapan:

Maksud بردا di dalam ayat tersebut ialah ahli neraka tidak merasai rasa sejuk yang nyaman, bukan bermaksud langsung tiada kesejukan. Jika tidak, ayat ini tidak boleh diserasikan dengan hadis alBukhari dan Muslim dalam SDI 0432 sebelum ini. Manakala terjemahan "udara sejuk" yang anda berikan adalah terjemahan berdasarkan kefahaman penterjemah. Ia tidak dinyatakan di dalam ayat.

Maksud penghuni neraka tidak merasai kesejukan yang nyaman ini bertepatan dengan pandangan sebahagian ulama yang mengatakan kalimah غساقا ialah sesuatu yang tidak mampu dirasai disebabkan bersangatan sejuk. Imam alTobari di dalam tafsirnya menisbahkan pandangan ini antaranya kepada Ibn 'Abbas dan Mujahid.

Di dalam hadis alBukhari Muslim juga menyatakan الزمهرير iaitulah sejuk yang bersangatan yang menjadi azab.

Terjemahan yang anda berikan itu adalah pilihan pihak penterjemah. Namun ia bukan bermaksud itulah satu-satunya terjemahan yang ada.

Selain itu, ada pula ulama tafsir lain yang berpandangan kalimah بردا di dalam ayat membawa maksud tidur. Iaitulah penghuni neraka tidak akan merasai tidur di dalam neraka. Ini kerana orang yang tidak memperolehi minuman biasanya memerlukan tidur untuk kerehatan dan menyejukkan badan.

Jika berdasarkan maksud ini. Maka tiada sebarang kontradik bagi memahami maksud ayat yang ditanya dengan hadis riwayat alBukhari & Muslim di atas.

Justeru, antara terjemahan yang boleh diberikan kepada ayat yang ditanya ialah:

"Mereka tidak merasai kesejukan yang nyaman/tidur di dalamnya (neraka), melainkan air yang bersangatan panas (mendidih dan menghancurkan muka) dan cecair kotoran yang mengalir/air yang bersangatan sejuk"

Cetak
Wallahu a'lam