SDI 1237: Benarkah Istighfar Selepas Solat Hanya Dengan أستغفر الله Sahaja?

Soalan: 

Assalamu’alaikum ustaz. Benarkan istighfar selepas solat hanya boleh dengan sebutan astaghfirullah sahaja? Bila sebut lebih dari itu ia boleh jadi bid’ah?

Jawapan:

Tidak jadi bid’ah jika beristighfar selepas sebaik sahaja memberi salam dari solat dengan lafaz istighfar yang lain. Saya nukilkan huraian dari buku terbaru saya yang akan dicetak dalam waktu terdekat ini insyaAllah bertajuk: Merungkai Persoalan-Persoalan Zikir Selepas Solat, halaman: 40-42 di bawah ini:

Sebelum itu, dalil pandangan yang menolak lafaz istighfar lebih dari أستغفر الله ialah antaranya: 

riwayat Al-Imam Muslim daripada Thauban RA yang berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا انْصَرَفَ مِنْ صَلَاتِهِ اسْتَغْفَرَ ثَلَاثًا وَقَالَ:

Maksudnya: “Dahulunya Rasulullah SAW apabila berpaling (selesai) dari solat, baginda akan beristighfar tiga kali dan mengucapkan:

اللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلَامُ وَمِنْكَ السَّلَامُ تَبَارَكْتَ ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ

Setelah itu al-Walid berkata: “Aku bertanya kepada al-Auza’ie: “bagaimana Istighfar itu?” beliau menjawab: “kamu ucapkan: أَسْتَغْفِرُ الله، أَسْتَغْفِرُ الله.” (Sahih Muslim beserta syarah al-Nawawi: Kitab al-Masajid Wa Mawadhi’ al-SolahBab Istihbab al-Zikr Ba’d al-Solah Wa Bayan Sifatih, hadis bilangan 591)

Di dalam hadis ini tidak dinyatakan sighah al-Istighfar yang dibaca oleh Nabi SAW sebaik sahaja memberi salam solat fardhu. Hadis ini juga jelas menunjukkan yang menyebut أستغفر الله itu adalah dari perkataan al-Imam al-Auza'ie bukan dari Nabi SAW. Justeru sukar untuk kita menghukum bid'ah bagi lafaz istighfar yang lain. 

Kita boleh katakan bahawa, di dalam Hadis Muslim ini menunjukkan tiada penetapan sighah al-Istighfar tertentu dari Nabi SAW untuk dibaca selepas memberi salam solat. Kerana itu al-Walid bin Muslim bertanya kepada al-Imam al-Auza’ie: “Bagaimana istighfar itu?” Soalan beliau ini menunjukkan tidak terdapat sighah al-Istighfar tertentu yang diriwayatkan dari Nabi SAW, khas untuk dibaca selepas solat fardhu. Jika terdapat riwayat berkaitan sighah tertentu, maka tiada keperluan al-Walid bin Muslim bertanyakan soalan tersebut kepada al-Auza’ie, kerana sudah tentu sighah tersebut akan diamalkan secara meluas di kalangan ulama.

Oleh itu jawapan dari al-Imam al-Auza’ie ini difahami beliau memaksudkan kepada sighah al-Istighfar dalam qadar yang paling kurang bagi terlaksananya al-Istighfar iaitulah أستغفر الله. Kata al-Mubarakfuri:

“Dikatakan (istighfar itu) sekurang-kurangnya أستغفر الله dan yang lebih sempurna, dengan tambahan: أستغفر الله العظيم الذي لا إله إلا هو الحي القيوم وأتوب إليه  .

al-Syeikh Soleh bin ‘Abd Allah bin Hamad al-‘Usaimi (semoga Allah memelihara beliau di dalam kesihatan dan terus menyampaikan ilmu) menghuraikan dengan menarik dalam persoalan ini. Beliau berkata:

“Perkataan Thauban RA: “Baginda beristighfar tiga kali” dan tidak terdapat di dalam hadis penjelasan sighah yang terlaksana istighfar dengan menyebutnya. Kerana itu al-Walid bin Muslim berkata kepada al-Awza’ie yang meriwayatkan hadis di dalam sahih Muslim: “Bagaimana al-Istighfar (tersebut?)” Jawab al-Awza’ie: أستغفر الله. Kalaulah ada sighah (al-Istighfar) tertentu (untuk dibaca selepas solat) antara mereka yang diriwayatkan dari Nabi SAW, sudah tentu al-Walid bin Muslim tidak perlu bertanya tentangnya disebabkan sudah tentu ia menjadi amalan yang neluas diamalkan ketika itu oleh umat Islam. Lalu al-Awza’ie menjawab pertanyaan al-Walid tersebut dengan sighah al-Istighfar yang paling ringkas (القدر الأقل) iaitulah seseorang yang baru selesai solat berkata: أستغفر الله.”   Diriwayatkan di sisi Abu Daud daripada ‘Ali RA bahawa Nabi SAW apabila memberi salam daripada solat akan membaca:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي مَا قَدَّمْتُ وَمَا أَخَّرْتُ وَمَا أَسْرَرْتُ وَمَا أَعْلَنْتُ....  

dan para perawinya adalah thiqat. Akan tetapi asal hadis ini ada di dalam (sahih) Muslim dan ia termasuk dari doa Nabi SAW yang mutlaq tanpa dikaitkan dengan (bacaan) solat. Ayat di dalam hadis: ”Apabila memberi salam daripada solat” adalah satu kekeliruan dan yang lebih terpelihara ialah baginda membaca istighfar tersebut di dalam solat. Hadis ini terdapat penetapan sighah istighfar jika ia sahih. Akan tetapi ia hadis yang tidak sahih dari Nabi SAW.

                 Ketika mana telah thabit asas beristighfar (selepas solat) tanpa terdapat sighah tertentu untuk diamalkan, maka berbezalah pandangan para ulama berkaitan sighah istighfar yang mana didahulukan untuk dibaca selepas solat. Di antara mereka ada yang berpandangan didahulukan sighah: أَسْتَغْفِرُ اللَه الْحَيَّ اْلقَيُّوم , ada pula yang berpandangan أستغفر الله العلي العظيم dan pandangan-pandangan lain.        

                 Dan pandangan yang lebih baik ialah mendahulukan istighfar Nabi SAW yang sering dilazimi oleh baginda di penghujung usia. Telah thabit di dalam Sahih Muslim dari hadis ’Aisyah RA bahawa Nabi SAW selepas turunnya surah al-Nasr, baginda sering beristighfar dengan menyebut:

أَسْتَغْفِرُ اللهَ وَأَتُوْبُ إِلَيْهِ

Maksudnya: “Daku beristighfar kepada Allah dan bertaubat kepada-Nya.” Maka istighafar yang paling sempurna ialah yang menggabungkan antara pemuhonan maghfirah (keampuan) dan pengistiharan taubat kepada Allah. Inilah yang dimaksudkan oleh penulis. Jika seseorang berpada dengan menyebut: أَسْتَغْفِرُ اللَه, maka dia juga seorang yang mengikut sunnat Nabi SAW. Mengutamakan sighah أَسْتَغْفِرُ اللهَ وَأَتُوْبُ إِلَيْهِ (untuk dibaca selepas memberi salam solat) tidaklah digoyahkan dengan hadis Syaddad bin Aus di sisi al-Bukhari bahawa Nabi SAW bersabda: “Penghulu al-Istighafar ialah: اَللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّيْ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، خَلَقْتَنِيْ وَأَنَا عَبْدُك... dan seterusnya sehingga sempurna. Zikir ini adalah zikir penghulu al-Istighfar. Akan tetapi kita tidak mengutamanya (untuk dibaca selepas solat) kerana keagungannya adalah dari sudut kandungan maknanya, maka ia adalah penghulu al-Istighfar, iaitulah istighfar yang lebih agung. Akan tetapi dari sudur amalan, telah ada penetapan bacaannya iaitulah pada pagi dan petang hari. Adapun istighfar yang menjadi kebiasaan dan yang banyak diucapkan oleh baginda ialah أَسْتَغْفِرُ اللهَ وَأَتُوْبُ إِلَيْهِ, maka ia diutamakan berbanding sighah lainnya.”

 


Cetak  
Wallahu a'lam