Pandangan Ulama Tentang Takbir Muqayyad Hari Raya Adha

Zikir dan Doa Jumlah paparan: 650

Daripada ‘Ali bin Abi Tolib RA:

أنه كان يكبر من صلاة الفجر يوم عرفة إلى صلاة العصر من آخر أيام التشريق ويكبر بعد العصر

Maksudnya: “bahawa beliau dahulunya bertakbir bermula dari solat Fajar (Subuh) hari ‘Arafah (9 Zulhijjah) sehingga solat ‘Asar hari Tasyriq yang terakhir. Beliau bertakbir selepas solat ‘Asar hari tersebut.” (Riwayat Ibn Abi Syaibah dengan dua sanad, salah satunya Jayyid. Diriwayatkan juga oleh al-Baihaqi, dan beliau juga meriwayatkan seumpama ini dari Ibn ‘Abbas, dan Sanadnya Sahih. Al-Hakim juga meriwayatkan seumpama ini dari Ibn ‘Abbas dan Ibn Mas’ud. Lihat Irwa’ al-Ghalil 3/125))

Kata al-Imam Ibn Qudamah di dalam al-Kafi 152:

وأما المقيد فهو التكبير في أدبار الصلوات من صلاة الصبح يوم عرفة إلى العصر من آخر أيام التشريق ، قيل لأحمد: بأي حديث تذهب إلى التكبير من صلاة الفجر يوم عرفة إلى العصر من آخر أيام التشريق؟ قال: بالإجماع عن عمر وعلي وابن عباس وابن مسعود

Maksudnya: “Dan adapun (takbir) muqayyad iaitulah takbir di penghujung solat fardhu bermula dari solat Subuh hari ‘Arafah (9 Zulhijjah) sehingga solat ‘Asar hari Tasyrik terakhir. Ditanya kepada Imam Ahmad: “Berdasarkan hadis apa, dikau berpandangan bertakbir bermula selepas solat Fajar (Subuh) hari ‘Arafah sehingga solat Asar hari Tasyriq terakhir?” Jawab beliau: “Dengan Ijma’ daripada ‘Umar, Ali, Ibn ‘Abbas dan Ibn Mas’ud.” 

Kata Imam al-Syafi’ie RH di dalam al-Umm 1/276-277:

ويكبر الحاج خلف صلاة الظهر من يوم النحر إلى أن يصلوا الصبح من آخر أيام التشريق ثم يقطعون التكبير إذا كبروا خلف صلاة الصبح من آخر أيام التشريق، ويكبر إمامهم خلف الصلوات فيكبرون معا، ومتفرقين ليلا ونهارا ، وفي كل هذه الأحوال لأن في الحج ذكرين يجهر بهما التلبية، وهي لا تقطع إلا بعد الصبح من يوم النحر ، والصلاة مبتدأ التكبير، ولا صلاة بعد رمي الجمرة يوم النحر قبل الظهر ثم لا صلاة منى بعد الصبح من آخر أيام منى، ويكبر الناس في الآفاق والحضر والسفر كذلك، ومن يحضر منهم الجماعة، ولم يحضرها والحائض والجنب وغير المتوضئ في الساعات من الليل والنهار ويكبر الإمام، ومن خلفه خلف الصلوات ثلاث تكبيرات وأكثر، وإن ترك ذلك الإمام كبر من خلفه ويكبر أهل الآفاق كما يكبر أهل منى، ولا يخالفونهم في ذلك إلا في أن يتقدموهم بالتكبير فلو ابتدءوا بالتكبير خلف صلاة المغرب من ليلة النحر قياسا على أمر الله في الفطر من شهر رمضان بالتكبير مع إكمال العدة، وأنهم ليسوا محرمين يلبون فيكتفون بالتلبية من التكبير لم أكره ذلك، وقد سمعت من يستحب هذا، وإن لم يكبروا، وأخروا ذلك حتى يكبروا بتكبير أهل منى فلا بأس إن شاء الله تعالى، وقد روي عن بعض السلف أنه كان يبتدئ التكبير خلف صلاة الصبح من يوم عرفة، وأسأل الله تعالى التوفيق

Maksudnya: “Dan orang yang melaksanakan haji (mula) bertakbir selepas solat Zohor hari Nahr (10 Zulhijjah) sehingga menunaikan solat Subuh hari tasyriq yang terakhir, setelah itu berhenti bertakbir apabila mereka bertakbir selepas solat Subuh hari tasyriq terakhir. Imam bertakbir selepas setiap solat, dan mereka (Jemaah) bertakbir bersamanya, (demikian juga) ketika bukan berjemaah pada malam ataupun siang hari, dan pada semua keadaan ini kerana ketika melaksanakan haji terdapat dua zikir yang perlu dizahirkan iaitulah bertalbiah yang tidak dihentikan melainkan setelah solat Subuh hari Nahr (10 Zulhijjah), dan solat yang bermula dengan takbir, dan tiada solat selepas melontar jamrah (‘Aqabah) pada hari Nahr sebelum Zohor, kemudian tiada solat di Mina (hari-hari tasyriq) selepas solat Subuh pada hari akhir tasyriq. Dan orang ramai yang di luar miqat makani haji bertakbir  ketika tidak bermusafir, atau bermusafir demikian itu juga. Siapa dalam kalangan mereka yang hadir mahupun yang tidak hadir solat jamaah, wanita berhaid, orang berjunub, orang yang tidak berwudhu, pada mana-mana waktu di malam atau di siang hari. Dan imam (solat) bertakbir selepas solat serta orang-orang yang berada di belakangnya (makmum) sebanyak tiga kali takbir atau lebih. Jika imam meninggalkan takbir (selepas solat) makmum hendaklah bertakbir. Ahl al-Afaq أهل الآفاق (orang-orang yang berada di luar kawasan miqat makani haji) bertakbir sepertimana bertakbirnya ahli Mina (Jemaah haji di Mina), dan tidak berbeza dengan mereka dalam hal ini melainkan (boleh) mendahului mereka dalam melakukan takbir. Jika mereka (orang-orang yang di luar miqat haji) mendahulukan takbir selepas solat Maghrib pada malam hari al-Nahr (malam hari raya) kerana qiyas dengan perintah Allah (bertakbir) pada hari raya fitri dari bulan Ramadan setelah sempurna bilangan puasa, dan mereka bukan dalam kalangan orang berihram yang berpada dengan bertalbiah berbanding takbir, daku tidak memakruhkan demikian itu. Sesungguhnya daku pernah mendengar orang yang menggalakkan hal ini. Jika mereka tidak bertakbir (pada malam raya haji tersebut) dan mereka lewatkan sehingga mereka bertakbir (sama seperti) dengan takbir Jemaah haji di Mina, maka tidak mengapa insya Allah Taala. Dan sesungguhnya telah diriwayatkan juga daripada sebahagian Salaf yang memulakan takbir selepas solat subuh hari ‘Arafah (9 Zulhijjah). Dan daku memohon taufiq dari Allah SWT.”

Kata al-Imam al-Nawawi di dalam al-Azkar 293:

وأما عيد الأضحى فيكبر فيه من بعد صلاة الصبح يوم عرفة إلى أن يصلي العصر من آخر أيام التشريق ويكبر خلف هذه الصلاة ثم يقطع هذا هو الأصح الذي عليه العمل

Maksudnya: “Dan adapun hari raya Adha, maka dilaungkan takbir (muqayyad) bermula dari selepas solat Subuh hari Arafah (9 Zulhijjah) sehingga menunaikan solat Asar hari Tasyriq terakhir. Dilaungkan takbir selepas solat Asar ini kemudian berhenti, inilah yang asah yang diamalkan.”

Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah di dalam Majmu’ al-Fatawa 24/222-223 RH:

وأما التكبير في النحر فهو أوكد من جهة أنه يشرع أدبار الصلوات وأنه متفق عليه

Maksudnya: “Dan adapun takbir pada hari Nahr, ia adalah lebih diberatkan dari sudut ia disyariatkan pada penghujung solat-solat dan ianya suatu yang disepakati.” 

Di tempat lain Majmu’ al-Fatawa 24/220 beliau berkata:

أصح الأقوال فى التكبير الذى عليه جمهور السلف والفقهاء من الصحابة والأئمة أن يكبر من فجر يوم عرفة إلى آخر أيام التشريق عقب كل صلاة ويشرع لكل أحد أن يجهر بالتكبير عند الخروج إلى العيد وهذا بإتفاق الأئمة الأربعة ، وصفة التكبير المنقول عند أكثر الصحابة قد روى مرفوعا إلى النبى صلى الله عليه وسلم الله أكبر الله أكبر لا إله إلا الله والله أكبر الله أكبر ولله الحمد وان قال الله أكبر ثلاثا جاز ومن الفقهاء من يكبر ثلاثا فقط ومنهم من يكبر ثلاثا ويقول لا إله إلا الله وحده لا شريك له له الملك وله الحمد وهو على كل شىء قدير.

Maksudnya: “pandangan yang lebih asah tentang takbir berdasarkan majoriti salaf, dan para fuqaha’ dari kalangan para sahabat dan para imam ialah bertakbir dari fajar (selepas solat Subuh) hari Arafah (9 Zulhijjah) sehingga hari tasyriq terakhir selepas setiap solat. Dan disyariatkan bagi setiap orang menzahirkan takbirnya ketika keluar menuju ke tempat menunaikan solat hari raya, hal ini dengan kesepakatan imam mazhab yang empat. Sifat takbir yang dinukilkan di sisi kebanyakan sahabat yang meriwayatkan secara marfu’ kepada Nabi SAW: Allahu Akbar, Allahu Akbar, Lailaha Illa Allah Wallahu Akbar, ALlahu Akbar Wa Lillahil Hamd. Jika disebut Allahu Akbar tiga kali adalah harus. Dalam kalangan fuqaha ada yang bertakbir tiga kali sahaja, dalam kalangan mereka juga ada yang bertakbir tiga kali dan mengucapkan Lailaha Ilallahu Wahdah La Syarikalah Lahul Mulk Wa Lahul Hamd Wahuwa ‘Ala Kulli Syai’in Qadir.”

Cetak
Wallahu a'lam