SSI 0647: Ucapan Tahniah Kpd Yg Baru Dpt Anak

Soalan:
Ustaz, apakah doa/ucapan tahniah utk org yg br dpt cahaya mata?

Jawapan:

Tidak terdapat lafaz ucapan tahniah yang khusus daripada Nabi SAW. namun terdapat riwayat daripada al-Hasan al-Basri yang menganjurkan supaya diberikan ucapan tahniah dengan menyebut:

بَارَكَ اللهُ لَكَ فِي الْمَوْهُوبِ لَكَ، وَشَكَرْتَ الْوَاهِبَ، وَبَلَغَ أَشُدَّهُ، وَرُزِقْتَ بِرَّهُ

Mafhumnya: “Semoga Allah memberi berkat kepadamu dengan anugerah ini, dan semoga engkau bersyukur kepada tuhan yang menganugerahkannya, dan semoga dia (bayi ini) sampai ke umur dewasa, dan semoga direzekikan kepadamu kebaikannya (anak itu) .”

Al-Imam al-Nawawi berkata di dalam al-Azkar:

“Disunatkan mengucap tahniah kepada yang dikurniakan anak (dengan ucapan ini), dan para sahabat kami berkata: disunatkan mengucap tahniah dengan ucapan dari al-Husain ini , yang diajarnya kepada orang ramai… dan disunatkan pula kepada orang yang diberikan ucapan ini membalasnya dengan menyebut:

بَارَكَ اللّهُ لَكَ وَبَارَكَ عَلَيْكَ وَجَزَاكَ اللّهُ خَيْراً وَرَزَقَكَ اللّهُ مِثْلَهُ أوْ أَجْزَلَ اللّهُ ثَوَابَكَ

Mafhumnya: “Semoga Allah memberi dan menurunkan berkat kepadamu, dan membalas kebaikan kepadamu, merezkikan kepadamu seperti permintaanmu itu, dan melipat-gandakan pahalamu.”

Di dalam al-Hawi li al-Fatawi oleh al-Imam al-Suyuti dinyatakan juga, al-Imam al-Tobari di dalam al-Doa mengeluarkan satu riwayat lain yang menyebut al-Hasan al-Basri menganjurkan ucapan tahniah kepada orang yang dikurniakan anak dengan menyebut:

جَعَلَهُ اللَّهُ مُبَارَكًا عَلَيْكَ وَعَلَى أُمَّةِ مُحَمَّدٍ

Mafhumnya: “Semoga Allah menjadikan keberkatan ke atasmu dan ke atas umat Muhammad (SAW)”

Seperti yang telah dinyatakan bahawa, lafaz-lafaz ucap tahniah dan jawabnya ini bukan diriwayatkan dari Nabi SAW. Sebaliknya ia merupakan lafaz cadangan dari para ulama. Oleh itu kita dibenarkan untuk mencontohinya dengan syarat tidak mengganggapnya dari Nabi SAW. Boleh juga diucapkan dengan sebarang bentuk ucapan seumpamanya yang lain.


Cetak  
Wallahu a'lam