SDI 1470: Bolehkah Berdoa Dengan Doa Nabi Sulaiman Ini?

Zikir dan Doa Jumlah paparan: 1388

Soalan:

Assalammualaikum ustaz, ada kah boleh kita menggunakan doa2 dari nabi2 seperti di atas?? Kerana ada yg berkata ada antara doa2 hanya khas utk nabi2 dan bkn manusia biasa

 

Jawapan:

Doa yang seperti ini adalah khas untuk Nabi Allah Sulaiman dan kita kena tahu, dalam berdoa kita dilarang melampau dalam berdoa. Allah SWT berfirman dalam surah al-A’raf ayat 55:

ادْعُوا رَبَّكُمْ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

Maksudnya: “Berdoalah kepada tuhan kamu, dalam bentuk rendah diri dan suara yang perlahan, sesungguhnya Allah tidak suka kepada mereka yang melampaui batas.”

Jika kita dibolehkan berdoa, tetapi kita disuruh menjauhi tindakan melampaui batas, bahkan Nabi SAW juga telah bersabda dalam hadis yang sahih:

إنه سيكون في هذه الأمة قوم يعتدون في الطهور والدعاء

Maksudnya: “Sesungguhnya akan ada dalam kalangan umatku, satu kaum yang melampau dalam bersuci dan berdoa.”

Kata para ulama, termasuk dalam tindakan melampau dalam berdoa ialah: أن طلب المحال من الاعتداء في الدعاء “bahawa meminta sesuatu yang mustahil adalah termasuk dalam perbuatan melampau dalam berdoa.”

Maka dalam doa yang ditanya tadi, iailah doa Nabi Sulaiman AS, terdapat permintaan yang melampau pada nisbah orang lain, tidak pada nisbah Nabi Sulaiman AS. Baginda meminta “kerajaan yang tidak dimiliki oleh seseorangpun sesudahku.”

Lalu Allah SWT memustajabkan doa Nabi Sulaiman itu. Maknanya tidak akan ada lagi orang yang akan dapat kerajaan yang sama seperti dikurniakan kepada baginda. Maka jika kita minta dengan doa Nabi Sulaiman tersebut, maka kita meminta dengan sesuatu yang mustahil. Jadilah ia satu permintaan yang melampau yang ditegah dalam ayat al-Quran dan hadis Nabi SAW.

Maka kita tidak boleh meminta atau berdoa sama seperti doa dan permintaan Nabi Sulaiman tersebut, kerana meminta sesuatu yang mustahil adalah tindakan yang melampau dalam berdoa yang dilarang dan ditegah oleh syarak.

Cuma perlu juga untuk saya jelaskan di sini, bahawasanya kita dilarang membuat permintaan seperti permintaan Nabi Sulaiman tersebut. Tetapi kita boleh mengambil cara atau fekah dari doa Nabi Sulaiman tersebut. Apa maksudnya? Katakan kita nak minta supaya Allah anugerahkan kepada kita rezeki sebagai contoh. Atau kita nak minta Allah SWT anugerahkan kepada kita harta sebagai contoh, kekayaan sebagai contoh, lalu kita mulakan doa kita dengan permulaan doa yang diucapkan oleh Nabi Sulaiman, sehingga doa baginda dimustajabkan oleh Allah SWT. Apa permulaan doa Nabi Sulaiman tersebut? Iaitulah pada ungkapan:  

رَبِّ اغْفِرْلِيْ وَهَبْ لِيْ

Maksudnya: “Wahai tuhanku, anugerahkanlah kepadaku…” kita tak sambung dengan permintaan baginda berikutnya: ملكا لا ينبغي لأحد من بعدي “kerajaan yang tidak dikurniakan kepada seorangpun selepas daripadaku.” Tapi kita minta sesuai dengan apa yang kita perlukan. Saya berikan contoh di sisi bagi seorang yang hendak minta kepada Allah dianugerahkan harta, maka dia memulakan doa seperti permulaan doa Nabi Sulaiman tersebut dengan berkata:

رَبِّ اغْفِرْلِيْ وَهَبْ لِيْ مَالًا إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّاب

Maksudnya: “Tuhanku berilah keampunan kepadaku dan anugerahkanlah harta kepadaku, sesungguhnya Dikaulah tuhan Yang Pemberi Anugerah.” Al-Wahhab adalah tuhan yang apabila memberi, Dia memberi tanpa ada batasan dan Dia tidak mengharapkan apa-apa balasan semula.

Maka kita ambil dalam doa Nabi Sulaiman ini, adanya fekah doa, ada ciri-ciri bijak dalam berdoa. Lalu kita ambil ciri-ciri itu, kita ambil ungkapan awal dan akhir doa, manakala perkara yang diminta oleh Nabi Sulaiman dalam doanya itu kita tak ambil kerana ia satu yang mustahil untuk kita, lalu kita ubah menurut kesesuaian permintaan kita.

Cetak
Wallahu a'lam