SDI 0637: Cara Bersalaman Yang Menepati Sunnah

Soalan:
Assalammualaikum ust, maaf m'ggu, sy ade kemuskilan, bgaimanakah bersalam yg menepati sunnah? di tempat sy bekerja bmcm2 jenis bersalam, adakah salam tersebut juga mendapat pahala.. mohon ust huraikan, terima kasih ust .

Jawapan:

Wa'alaikumussalam warahmatullah.

Bersalaman (المصافحة) adalah satu perbuatan bagi melambangkan rasa kasih dan keakraban sesama orang yang bersalaman. Ia merupakan suatu kebiasaan dan masyhur dilakukan dalam kalangan para shabat RA. Daripada Qatadah katanya: "Aku pernah berkata kepada Anas bin Malik RA:

هَلْ كَانَتْ الْمُصَافَحَةُ فِي أَصْحَابِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya: "Apakah bersalaman itu dilakukan dalam kalangan para sahabat Nabi SAW?" Jawab Anas: "Ya." (Riwayat alBukhari 6263)

Cara Bersalaman

Berdasarkan bahasa 'Arab, bersalaman المصافحة terlaksana dengan seseorang meletakkan permukaan tangannya (telapak tangan) pada telapak tangan sahabatnya. (Lihat Mu'jam Maqayis alLughah 3/229)

Namun para ulama berbeza pandangan bagaimanakah cara bersalaman yang disunnahkan? apakah dengan kedua-dua belah tangan atau sebelah sahaja bersesuaian dengan maksudnya dari sudut bahasa?

Ulama mazhab Hanafi dan sebahagian ulama Maliki berpandangan sunat bersalaman dengan kedua-dua belah tangan, dengan cara setiap orang yang bersalaman menggabungkan telapak tangan kanannya dengan telapak tangan kanan orang yang bersalam dengannya, dan meletakkan telapak tangan kirinya di atas belakang tangan kanan orang yang bersalam dengannya. Mereka menyatakan inilah cara bersalaman yang dapat dikenal-pasti berlaku dalam kalangan para sahabat dan tabi'ien. Antara dalil mereka:

1) Berdasarkan perkataan Ibn Mas'ud RA:

Maksudnya: "Nabi SAW pernah mengajarkan aku alTasyahhud, (ketika itu) telapak tanganku berada di antara kedua telapak tangan baginda (bersalaman)..." (riwayat alBukhari dan Muslim)

2) Demikian juga berdasarkan pernyataan alBukhari pada "Bab alAkhz Bi alYadain Wa Safaha Hammad bin Zaid Ibn alMubarak Bi Yadaih." Bab Membicarakan Mengambil Kedua-dua Tangan dan Telah Bersalaman Hammad bin Zaid Akan Ibn alMubarak Dengan Kedua Tangannya."

Bab ini pada sebahagian ulama merupakan isyarat dari alImam alBukhari bahawa bersalaman dengan kedua-dua tangan merupakan suatu yang sedia diketahui dan diamalkan dalam kalangan para sahabat dan Tabi'ien.

3) Berdasarkan riwayat daripada Abdul Rahman bin Razin yang berkata: "Kami pernah bersama Rabazah, lalu dikatakan kepada kami, di sinilah Salamah bin alAkwa' RA. Maka aku mendatangi beliau, dan kami memberi salam kepadanya. Lalu beliau mengeluarkan kedua-dua telapak tangannya dan berkata: "aku pernah berbai'ah dengan dua telapak tangan ini kepada Nabi SAW." (Dinilai Hasan oleh alAlbani)

4) berdasarkan hadis:

ما من مسلمين التقيا فأخذ أحدهما بيد صاحبه إلّا كان حقّاً على اللّه عزّ وجلّ أن يحضر دعاءهما ولا يفرّق بين أيديهما حتّى يغفر لهما

Maksudnya: "tiada dua orang muslim yang bertemu lalu salah seorang mengambil sebelah tangan sahabatnya bersalaman, melainkan Allah azza wa jall akan mengurniakan rahmat kepada mereka berdua dan Dia tidak akan memisahkan antara tangan-tangan mereka berdua sehinggalah Dia memberi keampunan kepada mereka." 

Dalam sebahagian riwayat lain disebut dengan lafaz jamak (tangan-tangan) yang tidak dapat difahami melainkan dengan kedua-dua belah tangan.

Sebahagian ulama lain pula berpandangan bahawa cara bersalaman yang disyariatkan hendaklah tidak melampaui dari makna bersalaman menurut bahasa atau lughah iaitulah memadai dengan menggabungkan telapak sebelah tangan dengan telapak sebelah tangan orang yang bersalaman. Antara dalil mereka:

1) Maksud alMusafahah dari sudut lughah iaitulah memadai bersalaman dengan sebelah tangan.

2) Perkataan Hassan Ibn Nuh Himshi ( حَسَّانُ بْنُ نُوحٍ . حِمْصِيٌّ ) yang berkata:

رَأَيْتُ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ بُسْرٍ يَقُولُ : تَرَوْنَ كَفِّي هَذِهِ فَأشْهدُ أَنِّي وَضَعْتُهَا عَلَى كَفِّ مُحَمَّدٍ -صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya: "Aku pernah melihat Abdullah bin Busr berkata: "kamu semua lihat telapak tanganku ini, aku bersaksi bahawa aku pernah meletakkan sebelah telapak tanganku ini di atas sebelah telapak tangan Muhammad SAW (bersalaman dangan baginda)..." (alMubarakfuri di dalam Tuhfah alAhwazi menyatakan Sanad hadis ini Sahih)

3) Hadis Huzaifah secara marfu':

إن المؤمن إذا لقي المؤمن فسلم عليه وأخذ بيده فصافحه تناثرت خطاياهما كما يتناثر ورق الشجر

Maksudnya: "sesungguhnya seseorang yang beriman apabila bertemu dengan seorang yang beriman lain, lalu memberi salam seraya mengambil sebelah tangannya lalu bersalaman, akan saling berguguran dosa-dosa mereka berdua sepertimana bergugurannya daun-daun pokok."

Kata alMunziri 3/270: "diriwayatkan oleh alTabarani dalam alAwsath dan para periwayatnya tidak aku ketahui ada yang dikritik." Kata alAlbani di dalam alSahihah 1/22: "bagi hadis ini terdapat sokongan-sokongan yang menjadikan hadis ini naik ke darjat sahih."

alMubarakfuri di dalam Tuhfah alAhwazi menyatakan, bersalaman dengan sebelah tangan inilah sunnah. Beliau berkata:

اعلم أن السنة أن تكون المصافحة باليد الواحدة، أعني اليمنى من الجانبين، سواء كانت عند اللقاء أو عند البيعة

Maksudnya: "ketahuilah bahawa berdasarkan sunnah bersalaman adalah dengan sebelah tangan, tangan kanan dari kedua-dua belah pihak, sama ada ketika bertemu mahupun ketika berbaiah..."

Sekalipun begitu, suka ditekankan di sini bahawa bersalaman dengan dua belah tangan TIDAK BOLEH dikategorikan sebagai bidaah, bahkan ia termasuk dalam perkara yang harus. Apatah lagi ia merupakan pandangan para ulama yang mulia dan mereka mandatangkan dalil-dalil mereka. Hal ini sedemikian kerana maksud dari bersalaman adalah bertujuan merapatkan pertautan hati dan memperkukuhkan kasih sayang sesama muslim.

Di bawah ini saya sertakan anjuran-anjuran lain dalam bab bersalaman:

- Disunatkan juga bersalaman ketika sebaik sahaja bertemu tanpa dilewat dan ditunda. Demikian juga tidak dipisahkan antara bersalaman dgn bertemu melainkan ucapan salam, berdasarkan hadis Nabi SAW:

"Tiada dua orang muslim yang saling bertemu, lalu saling bersalaman melainkan diberi keampunan kepada mereka berdua sebelum mereka berpisah."

Hadis ini ada petunjuk untuk menyegerakan huluran tangan untuk bersalaman sebaik sahaja berlaku pertemuan. Huruf ف pada kalimah فيتصافحان adalah menunjukkan berturutan dan segera. Justeru ia menunjukkan waktu yang disunatkan bersalaman ialah pada permulaan pertemuan atau sebaik sahaja bertemu.

- Memulakan salam terlebih dahulu sebelum bersalaman, buktinya melalui hadis daripada alBara bin 'Azib RA yang mendengar Nabi SAW bersabda:

"Tiada dua orang muslim yang bertemu, lalu salah seorang memberikan salam ke atas sahabatnya yang seorang lagi, lalu mengambil sebelah tangannya untuk bersalaman, tidak dia lakukan itu melainkan kerana Allah azza wa jall, mereka berdua tidak berpisah melainkan Allah akan memberi keampunan kepada mereka berdua."

-Disunatkan dua pihak yang bersalaman tangan tetap bersalaman peda kadar selesai memberi salam dan percakapan yang dimaksudkan. Dimakruhkan merungkaikan salaman tangan dengan segera berdasarkan riwayat daripada Anas RA yang berkata:

"Tidak pernah aku melihat seorang lelaki yang berbisik kepada Rasulullah SAW dan baginda menjauhkan kepala baginda sehinggalah lelaki itu yang terlebih dahulu menjauhkan kepalanya dari baginda. Aku juga tidak pernah melihat seorang lelaki mengambil tangan baginda untuk bersalaman, lalu baginda melepaskannya sehinggalah lelaki itu yang terlebih dahulu melepaskan tangan baginda."

Dalam riwayat lain dinyatakan: "Dahulunya baginda Nabi SAW, apabila bertemu seorang lelaki (lalu bersalaman), baginda tidak akan menarik tangan baginda terlebih dahulu sehingga lelaki itu yang menarik tangannya, baginda juga tidak akan memalingkan wajah baginda daripada lelaki itu sehinggalah lelaki itu yang memalingkan wajahnya terlebih dahulu."

Kerana itu sebahagian ulama mazhab Hanbali berpandangan makruh bagi seseorg menarik tangannya dari tangan orang yang bersalaman dengannya sebelum orang itu yang menariknya melainkan jika disebabkan segan atau bimbangkan kelewatan. Sebahagian mereka berpandangan makruh hanya kepada orang yang tidak memulakan huluran salam melainkan hendaklah dibiarkan orang yang mula menghulurkan salam yang menarik tangannya.

Kata Ibn Taimiyyah: "Panduannya ialah sesiapa yang pada berat sangkaanya menyatakan orang yang bersalaman dengannya itu akan mula menarik tangan, maka tidak perlu dia menarik tangannya. Jika disunatkan kekal bersalaman dari kedua-dua pihak akan membawa kepada terus bersalaman."

Setelah itu beliau menganggap baik pandangan ulama yang mengatakan tarikan tangan dimulakan dari pihak yang mula menghulur tangan untuk bersalaman.

- Orang yang bersalaman mengambil dan memegang ibu jari orang yang bersalaman dengannya. Adapun meramas atau menggengam kuat tangan orang yang bersalam, di sisi ulama mazhab Maliki ada dua pandangan. Satunya berpandangan sunat dan satu lagi berpandangan makruh.

- Mencium tangan sendiri selepas salam, ada dua pandangan di sisi ulama Maliki. Akan tetapi alJuzuli (الجزولي) berkata: "sifat bersalaman iaitulah setiap seorang menggabungkan telapak tangannya dengan seorang lagi, tidak perlu menggengam kuat dan setiap orang tidak perlu mencium tangannya dan tangan orang lain, kerana demikian itu makruh."


Cetak  
Wallahu a'lam