SDI 1421: Apakah Doa Minta Keburukan Boleh Ditarik Balik?

Adab dan Akhlak Jumlah paparan: 532

Soalan: 

Assalamualaikum ustaz, bolehkah doa buruk atau doa yang kita tak suka dimakbulkan boleh dibetulkan? Dan kalau boleh, boleh saya bagitahu caranya?

Jawapan:

1. Terdapat doa yang tidak dimakbulkan oleh Allah SWT seperti yang telah dinyatakan oleh Nabi SAW dalam hadis Abu Hurairah RA:

لَا يَزَالُ يُسْتَجَابُ لِلْعَبْدِ مَا لَم يَدْعُ بِإِثْمٍ أَوْ قَطِيْعَةِ رَحِمٍ، مَا لَمْ يَسْتَعْجِل

Maksudnya: “Sentiasalah diperkenankan doa dari seseorang hamba, selagi dia tidak berdoa melakukan dosa atau memutuskan silaturahim, dan selagi dia tidak gopoh.” (Muslim)

2. Demikian juga doa keburukan yang dipohon dalam keadaan dipengaruhi perasaan marah dan tidak akan dimustajabkan, Allah SWT berfirman:

وَلَوْ يُعَجِّلُ اللَّهُ لِلنَّاسِ الشَّرَّ اسْتِعْجَالَهُمْ بِالْخَيْرِ لَقُضِيَ إِلَيْهِمْ أَجَلُهُمْ فَنَذَرُ الَّذِينَ لَا يَرْجُونَ لِقَاءَنَا فِي طُغْيَانِهِمْ يَعْمَهُونَ

Maksudnya:   “Dan jika Allah segerakan bagi manusia keburukan yang mereka minta disegerakan, sebagaimana mereka minta disegerakan kebaikan, sudah pasti binasalah mereka. Maka Kami biarkan mereka yang tidak mengharapkan pertemuan dengan Kami bergelumang di dalam kemelampauan mereka.” (Yunus: 11)

Ketika menafsirkan ayat ini, al-Imam Ibn Kathir berkata:

يُخْبِرُ تَعالى عَنْ حِلْمِهِ ولُطْفِهِ بِعِبادِهِ: أنَّهُ لا يَسْتَجِيبُ لَهُمْ إذا دَعَوْا عَلى أنْفُسِهِمْ أوْ أمْوالِهِمْ أوْ أوْلادِهِمْ فِي حالِ ضَجَرِهِمْ وغَضَبِهِمْ، وأنَّهُ يَعْلَمُ مِنهُمْ عَدَمَ القَصْدِ إلى إرادَةِ ذَلِكَ، فَلِهَذا لا يَسْتَجِيبُ لَهُمْ -والحالَةُ هَذِهِ -لُطْفًا ورَحْمَةً، كَما يَسْتَجِيبُ لَهُمْ إذا دَعَوْا لِأنْفُسِهِمْ أوْ لِأمْوالِهِمْ وأوْلادِهِمْ بِالخَيْرِ والبَرَكَةِ والنَّماءِ؛ ولِهَذا قالَ: ﴿ولَوْ يُعَجِّلُ اللَّهُ لِلنّاسِ الشَّرَّ اسْتِعْجالَهُمْ بِالخَيْرِ لَقُضِيَ إلَيْهِمْ أجَلُهُمْ﴾ أيْ: لَوِ اسْتَجابَ لَهُمْ كُلَّ ما دَعَوْهُ بِهِ فِي ذَلِكَ، لَأهْلَكَهُمْ، ولَكِنْ لا يَنْبَغِي الإكْثارُ مِن ذَلِكَ

Maksudnya: “Allah mengkhabarkan berkaitan kesantunan dan kehalusan-Nya terhadap para hamba: bahawa Dia tidak akan memustajabkan untuk mereka apabila mereka berdoa keburukan untuk diri, harta atau anak-anak ketika dalam keadaan tertekan dan marah. Dia Maha Mengetahui, mereka tidak bermaksud mahu diperkenankan apa yang dipinta tersebut. Kerana itu Dia tidak akan memustajabkan untuk mereka dalam keadaan tersebut, kerana sifat kehalusan dan belas-Nya, sepertimana Dia memustajabkan untuk mereka apabila berdoa kebaikan, keberkatan yang melimpah untuk diri, harta dan anak-anak. Kerana itu Allah berfirman: ““Dan jika Allah segerakan bagi manusia keburukan yang mereka minta disegerakan, sebagaimana mereka minta disegerakan kebaikan, sudah pasti binasalah mereka…” Iaitulah jika Allah memustajabkan untuk mereka setiap yang mereka minta (sekalipun keburuan), sudah tentu perkara itu akan membinasakan mereka. Sekalipun begitu, (kita) tidak sepatutnya banyak membuat permintaan seperti itu…”

3. Anda juga dianjurkan agar memperbanyakkan istighfar dan permohonan dilindungi dan dijauhkan dari sebarang keburukan, di samping memohon dilimpahkan kebaikan dan kurniaan yang banyak. Isyarat bagi perkara ini terdapar di dalam hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim: 

اَللَّهُمَّ إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ فَأَيُّ الْمُسْلِمِيْنَ لَعَنْتُهُ، أَوْ سَبَبْتُهُ فَاجْعَلْهُ لَهُ زَكَاةً وَأَجْراً

Maksudnya: "Ya Allah, daku ini hanyalah seorang manusia. Maka mana-mana dari kalangan orang Islam yang daku melaknat dan mencelanya, jadikanlah untuknya pembersihan dosa dan pahala." 

Dalam riwayat Muslim yang lain. 'Aisyah menceritakan:  دَخَل عَلَى رَسولِ الله صلَّى اللهُ عليه وسلَّم رَجُلانِ، فكلَّماه بشَيْءٍ لا أَدرِي ما هو، فأَغْضَبَاهُ، فلَعَنَهما وسبَّهما maksudnya: "Ada dua orang lelaki masuk menemui Rasulullah SAW, mereka berdua berbicara dengan baginda berkaitan satu perkara yang daku tidak tahu apa perkara tersebut. Mereka berdua telah menjadikan baginda marah, maka baginda memaki dan mencela dan mencerca mereka berdua." Celaan dan cercaan baginda kepada mereka berdua disebabkan keduanya melakukan perkara yang dimurkai oleh Allah SWT berdasarkan perkataan 'Aisyah di dalam al-Bukhari dan Muslim: ما انتقم رسولُ الله صلَّى اللهُ عليه وسلَّم لنَفْسِه في شَيءٍ قطُّ، إلَّا أن تُنتَهَكَ حُرمةُ اللهِ، فيَنتَقِمُ بها للهِ maksudnya: "Tidak pernah baginda marah kerana mempertahankan diri baginda sama sekali, melainkan baginda akan marah jika membabitkan kemuliaan ALlah, maka bagida marah kerana Allah." 

Hadis ini menunjukkan sekalipun celaan dan cercaan baginda tersebut tidak dimakbulkan, kerana baginda mengungkapkannya dalam keadaan marah, namun baginda tetap mengharapkan ia ditukar kepada penghapusan dosa, pahala dan rahmat.

Kesimpulan

Seseorang yang berdoa meminta keburukan ketika dalam suasana marah atau dipengaruhi sesuatu yang negatif, termasuk dalam kumpulan doa yang tidak akan dimustajabkan. Oleh yang demikian, sesiapa yang pernah berdoa memohon keburukan tidak perlu runsing dengan doa tersebut. Sebaliknya hendaklah berusaha memperbaiki diri terutamanya dalam beragama.

Dalam masa yang sama hendaklah memperbanyakkan taubat dan istighfar, memperbaiki diri dalam berdoa dengan meminta perkara-perkara yang dapat mendatangkan kebaikan di dunia dan akhirat. Selain itu hendaklah berhenti dari berdoa meminta perkara yang buruk sama ada untuk diri sendiri, harta, keluarga atau orang lain. Nabi SAW bersabda:

لا تَدْعُوا عَلَى أنْفُسِكُمْ وَلَا تَدْعُوْا عَلَى أَوْلَادِكُمْ، وَلَا تَدْعُوا عَلَى أمْوَالِكُمْ، لَا تُوافِقُوا مِنَ اللَّهِ تَعالى ساعَةً يُسأَلُ فِيْهَا عطاءٌ فَيَسْتَجِيبَ لكم

Maksudnya: “jangan kamu semua meminta keburukan untuk diri sendiri, anak-anak dan harta kamu, tidak bertepatan satu masa yang dimustajabkan oleh Allah, melainkan akan diperkenankan untuk kamu (apa yang kamu minta tersebut).” (Muslim)

Cetak
Wallahu a'lam