SDI 1907: Hukum Cukur Rambut Bayi Perempuan Baru Lahir

Adab dan Akhlak Jumlah paparan: 86

Soalan:
Adakah rambut bayi perempuan juga sunat dicukur dan bersedekah?

Jawapan:

Para ulama berbeza pendapat mengenai mencukur rambut bayi perempuan.

Mazhab Syafi‘e dan Maliki berpendapat mencukur rambut bayi perempuan adalah sunat, sebagaimana bayi lelaki.

Disebutkan dalam al-Majmu‘ Syarh al-Muhadhdhab:

يستحب حلق رأس المولود يوم سابعه، قال أصحابنا: ويستحب أن يتصدق بوزن شعره ذهبا، فإن لم يفعل ففضة، سواء فيه الذكر والأنثى، هكذا قاله أصحابنا، واستدلوا بحديث رواه مالك، والبيهقي وغيرهما مرسلا، عن محمد بن علي بن الحسين قال: وزنت فاطمة بنت رسول الله صلى الله عليه وسلم، شعر حسن، وحسين، وزينب، وأم كلثوم، فتصدقت ِبزِنَةِ ذلك فضة...

“Disunatkan mencukur kepala bayi pada hari ketujuh. Para sahabat kami berkata: Disunatkan bersedekah dengan berat rambutnya dalam bentuk emas, dan jika tidak, maka perak; sama ada bayi lelaki atau perempuan. Beginilah yang dinyatakan oleh para sahabat kami. Mereka berdalilkan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Malik, al-Bayhaqi dan selain mereka secara mursal daripada Muhammad bin ‘Ali bin al-Husayn yang berkata: Fatimah binti Rasulullah menimbang rambut Hasan, Husayn, Zaynab dan Umm Kulthum, lalu beliau bersedekah dengan kadar timbangan tersebut dalam bentuk perak …”

Dan disebutkan dalam al-Sharh al-Kabir oleh al-Dardir:

(و) ندب، ولو لم يعق عنه، حلق رأس المولود، ولو أنثى...

“Dan disunatkan, walaupun tidak dilakukan aqiqah, mencukur kepala bayi, walaupun bayi perempuan …” Tamat.

Dalam al-Mawsu‘ah al-Fiqhiyyah pula disebutkan:

حلق رأس المولود: ذهب جمهور الفقهاء، إلى أنه يستحب حلق رأس المولود في اليوم السابع, ويتصدق بوزن الشعر وَرِقا ( فضة) ثم اختلفوا في حلق شعر المولود الأنثى, فذهب المالكية، والشافعية إلى أنه لا فرق في ذلك بين الذكر والأنثى؛ لما روي أن فاطمة بنت رسول الله صلى الله عليه وسلم، وزنت شعر الحسن، والحسين، وزينب، وأم كلثوم, وتصدقت بزنة ذلك فضة. ولأن هذا حلق فيه مصلحة من حيث التصدق، ومن حيث حسن الشعر بعده، وعلة الكراهة من تشويه الخلق غير موجودة هنا. وأما الحنابلة: فيرون عدم حلق شعر المولود الأنثى؛ لحديث سمرة بن جندب مرفوعا: كل غلام رهينة بعقيقته، تذبح عنه يوم السابع, ويحلق رأسه. وعن أبي هريرة مثله. ولقول النبي صلى الله عليه وسلم لفاطمة لما ولدت الحسن: احلقي رأسه، وتصدقي بوزن شعره فضة على المساكين، والأوفاض. يعني أهل الصفة. أما الحنفية: فذهبوا إلى أن حلق شعر المولود في سابع الولادة، مباح، لا سنة، ولا واجب

“Mencukur kepala bayi: Jumhur fuqaha berpendapat bahawa disunatkan mencukur kepala bayi pada hari ketujuh, dan bersedekah dengan berat rambutnya dalam bentuk perak. Kemudian mereka berbeza pendapat tentang mencukur rambut bayi perempuan. Mazhab Maliki dan Syafi‘e berpendapat bahawa tidak ada perbezaan antara bayi lelaki dan perempuan dalam hal ini, berdasarkan riwayat bahawa Fatimah binti Rasulullah menimbang rambut Hasan, Husayn, Zaynab dan Umm Kulthum, lalu bersedekah dengan berat timbangan tersebut dalam bentuk perak. Juga kerana perbuatan ini mengandungi maslahah dari sudut sedekah, dan dari sudut kecantikan rambut selepas itu, dan sebab makruh kerana mencacatkan kejadian tidak wujud di sini. Adapun mazhab Hanbali, mereka berpendapat tidak disunatkan mencukur rambut bayi perempuan, berdasarkan hadis Samurah bin Jundub رضي الله عنه secara marfu‘: “Setiap bayi lelaki tergadai dengan aqiqahnya; disembelih baginya pada hari ketujuh dan dicukur kepalanya. Dan hadis daripada Abu Hurairah رضي الله عنه  dengan makna yang sama. Juga berdasarkan sabda Nabi kepada Fatimah ketika melahirkan Hasan: “Cukurlah kepalanya dan bersedekahlah dengan berat rambutnya dalam bentuk perak kepada orang miskin dan golongan awfaq,” iaitu Ahli Suffah. Manakala mazhab Hanafi pula berpendapat bahawa mencukur rambut bayi pada hari ketujuh kelahiran adalah harus, bukan sunat dan bukan wajib.”

 

Cetak
Wallahu a'lam